Penerima Surat

Wednesday, December 21, 2011

Andai Purnama Rumahku

       Hari ini genap hari ke-15 di bulan Muharram, sebaik azan maghrib dilaungkan sekejap tadi. Kini aku menghadap purnama penuh tergantung di dada langit. Butir-butir bintang, dan galaksi bertaburan merangkumi segenap semesta. Bagaikan butir- butir permata yang bergemerlapan, yang menjadi saksi peratur-caraan Ilahi. 

       Garapan-garapan ciptaan ini jelas menunjukkan kebesaran dan kekuasaan yang Maha Esa. Segala puji bagi Tuhan semesta alam. Erti yang sering kita terjemah dalam solat lima waktu. 

       " Koordinat kini di 33 darjah Utara, 65 darjah Timur." 
       " Afghanistan." 
       " Ya, tepat sekali." 
       " Apa misi kita kali ini." Aku dan Bakri saling berpandangan. Bakri segera memadam cantuman pandangan kami. Dia masih tenggelam dalam dunia virtual foto-foto di tangannya. Sebahagiannya foto yang ditangkap muat ketika di New Delhi. Masjid Jama, Kutb Minar, dan Red Fort paling mendominasi foto-foto dalam kameranya. 

        " Kali ini aku hasrat mahu merakam figura alam di bumi Afghan." ujar Bakri sambil mengeluarkan kamera DSLRnya yang masih tersimpan rapi di dalam beg khas. Aku hanya melihat gelagatnya. Bagai tidak cukup tangan mengendali kamera dan perkakasnya. Dalam kembara kami, dia berbekal dua pasang DSLR. 

     Satu untuk merakam peninggalan sejarah Islam, dan satu lagi untuk alam ciptaan Tuhan, katanya. 

    Namun aku percaya setiap satu kamera yang dibawanya punya tahap maksima yang berbeza. Aku tanpa sebarang kamera pergi menemaninya. Almaklum, aku tidak tahu menahu soal fotografi ni. Aku lebih suka mengerti foto yang sebenar. Menerusi pancaindera. Dan apa yang ku tahu, figura alam ini sungguh indah untuk dicintai, sungguh setia untuk dikagumi. Kerana setiap yang ada disempurnakan sendiri pimiliknya. Tuhan pemilik semesta alam, Allah s.w.t.

      Bakri sempat menangkap beberapa foto dada langit Kabul malam itu, sebelum kami bergegas menaiki teksi ke hotel bajet. 

      Hotel usang retak serta bersawang melingkari tidurku malam itu. Inilah puing-puing pasca anarki. Aku cuba memaksa untuk tidur, namun penangan kopi arab yang dihirup di lapangan terbang tadi, mungkin telah membunuh ngantuk. Aku lihat Bakri sudah terliur lena. Dengkurnya memecah kesunyian Kabul. Aku seakan terpasung dengan isomnia. 

      Di penjuru bilik terdapat sebuah tingkap. Ya, satu-satunya tingkap di bilik itu. Seakan terselindung di sebalik almari buruk yang tidak berpenutup. Aku sedar ada cahaya yang menerjah malu ke dalam bilik kami. Apabila kupastikan, tingkap itu dibiar ternganga tidak ditutup. Dingin menerpa ke pipi dan tulang-belulangku segera mengecapi kesejukan malam Kabul yang beberapa darjah celcius di atas paras beku. 

      Aku ingin memastikan daun tingkap ditutup. Aku mengerah kudrat, walaupun tulang belulang mula terketar-terketar dalam kesejukan. 

      Aku memandang suasana Kabul yang sunyi. Dari jauh aku dapat lihat dengan jelas gunung-ganang yang dibelakangi Tasik Qargha. Aku segera kembali ke katil lalu mencapai selimut tebal, lalu membalut tubuhku seperti nangka. Kemudian aku segera kembali ke jendela. Ingin menyaksi keindahan ciptaan-Nya. 

    Bibir ku segera bertasbih, memuji-muji Allah. Bulan dan bintang pula mejanjikan satu sudut panorama yang indah yang belum pernah sepasang mata ini saksikan. Mungkin biasan cahaya purnama inilah yang memanggil aku supaya menyaksi keindahan Yang Maha Esa. Sungguh besar kekuasaanMu ya, Allah. 






Bersambung...

       




     


No comments: