Penerima Surat

Tuesday, August 14, 2012

Kenapa Mahu Menulis?

Assalamualaikum

Salam 25 Ramadan. Moga benih yang kita semai di bulan barakah ini akan membuahkan hasil di dalam 11 bulan yang berikutnya. Insya Allah.

Saya sudah menguliti kompilasi cerpen SN A. Samad Said yang terbaharu berjudul Tasik Syahdu. Di dalam buku itu ada Pak Samad menceritakan bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam dunia penulisan dan kesusasteraan yang penuh dengan mikro dan pemahaman-pemahaman yang menarik. 
Di awal buku itu Pak Samad tanpa segan membuka rahsia bagaimana dia dahulunya ketika kanak-kanak adalah seorang budak yang gagap. Dia akui sukar untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain yang ternyata budak-budak yang sebaya dengannya sudah hebat berbicara. 

Oleh sebab itu, zaman kanak-kanak Pak Samad, dia cenderung memencilkan diri. Mujur dia ada sahabat karib yang tidak seperti rakan-rakan yang lain yang ke hulu ke hilir bermain-main. Sahabatnya itu lebih gemar membaca majalah dan buku-buku cerita. Daripada situlah Pak Samad mula berjinak-jinak membaca sehinggalah dia menjadi ulat buku tegar. Pengalaman membaca yang panjang dan pelbagai telah mematangkan pemikiran Pak Samad. Kemudian timbul pula hasratnya hendak menghasilkan bahan yang boleh dibaca pula oleh orang lain. 

Satu inspirasi melihat fotonya terhibur di celah-celah beratus susunan buku-buku.

Bagi saya pula memang benar perkara pertama yang harus kita pakar jika hendak menulis ialah kita menjadi 'pakar membaca'. Lebih pelbagai bahan bermutu yang kita baca lagi kayalah pemikiran kita sebagai penulis. Saya juga yang agak perlahan dalam dunia penulisan ini terkesan untuk menulis bila saya membaca beberapa buku cerpen dan novel kanak-kanak, ketika di sekolah rendah dahulu. Saya lebih gemar menghabiskan waktu rehat di sekolah dengan menyembunyikan diri di perpustakaan. 

Kenapa mahu menulis?
Ya, kenapa mahu menulis? Sedang jika saya sedang memerah otak mahu menulis banyak perkara yang saya terlepas untuk lakukan. Lebih-lebih lagi komitmen saya sebagai pelajar universiti yang penuh kegiatannya.

Jika di awal sejarah kita sebagai penulis, memang wang itu memotivasikan kita untuk menulis. Hantar karya ke pihak penerbit, jika ada rezeki untuk di cetak maka dapatlah kita wang tersebut. Selain kita rasa puas karya kita di majalah dibaca rakan-rakan. 

Hendak diceritakan kenapa saya tetap mahu menulis memang boleh. Tetapi harus dimulakan begini :-
Sebenarnya saya mula mahu menulis bila membaca cerpen. Karya pertama saya ialah cerpen. Ya, ramai di kalangan penulis-penulis mapan yang bermula dengan cerpen. Cerpen menjadi medan cerita mereka, menjadi medan eksperimen mereka, menjadi medan ekspresasi. 

Saya akui dahulu saya amat lemah dalam genre sajak. Sajak tidaklah memerlukan otak kita diperah untuk 10 atau 12 muka surat penuh ditaip. Tetapi sajak itu memerlukan isi yang digambarkan dengan kata-kata yang diubah menjadi frasa. Frasa yang sepadan dengan isi tersebut. 

Ya, selain mengisi kekosongan pemikiran kita yang asyik diisi dengan hiburan yang lalai, saya juga menulis kerana inginkan sesuatu. Inginkan pergerakan dalam hidup. Saya tidak mahu hidup menjadi terlalu layu kerana terlalu lama berada dalam daerah selesa dan alpa. Bila menulis saya akui seakan ada perasaan menjelma dalam diri. Seakan saya memasuki alam penulisan itu yang ada makna, yang ada perjuangan yang ada tujuan, yang ada apa yang saya cari, kedamaian. 

Jujur saya katakan, adakalanya saya jatuh. Saya sering memikirkan seharusnya saya tidak perlu dalam dunia penulisan. Saya harus pergi cari dunia yang biasa sahaja. 

Namun pertanyaan 'mengapa mahu menulis' seringkali membantah keras. 

Allahhu mustaan. 



Wassalam.




1 comment:

shafizah said...

susunan ayat yang makin kemas dan matang =)