Saudara yang dihormati,
Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada kalian kerana kalian menjaga kesinambungan seni bina bagi abad kini. Tahniah Tuan Arkitek. Syabas.
Saya merendah diri kerana mengakui diri ini bukanlah layak memberi tunjuk ajar dalam bidang yang kalian ceburi ini. Cumanya, saya punya pendapat yang ingin dilontarkan bersama idea-idea yang tidak seberapa hebat. Tetapi, percayalah. Saya cuma beri pendapat bukan mahu menggugat.
Begini, sejak zaman-berzaman kita para karyawan seni bina Islam telah menunjukkan kepakaran yang luar biasa. Saya beri contoh sebuah Singgahsana Alhamra, Sepanyol yang begitu unik dan cantik teknologi seni binanya. Selain itu, Masjid Sultan Sulaiman ataupun ramai yang menggelar Masjid Biru di tebing Selat Bosphorus, Kota Istanbul. Memang mengagumkan seni bina Islam zaman silam.
Bagi pendapat saya, bezanya Arkitek zaman Empayar Umaiyah, Abasiyah, dan Uthmaniyah dengan Arkitek masa kini ialah kurangnya intelek bina masa kini yang hilang sahabatnya dengan alam. Maksud saya ialah, arkitek masa kini kurang mesra alam dalam membina binaan bernilai berjuta-juta ringgit.
Lihat sahaja, bagaimana air yang disalurkan ke dalam Istana Alhamra lalu menyejukkan persekitaran istana tersebut. Tanpa menggunakan kipas elektrik dan pendingin hawa yang membebaskan kabus CFC, suana di dalam bangunan itu tetap nyawan dan menawan. Malahan pakar binaan juga telah mengkaji bahan-bahan binaan yang digunakan bagi membina istana itu adalah bahan guna semula dari runtuhan Kota Greek Kuno. Secara tidak langsung memperlahankan kos pengeluaran dalam tempoh pembinaan.
Bagi saya Juru Bina terdahulu amat pakar dalam mengadunkan struktur konkrit dengan struktur bukan konkrit seperti air, angin, api, dan tanah. Mereka amat cermat membina berdasarkan angin yang bertiup, air yang mengalir, cahaya yang menembusi, serta tanah yang mengandungi pelbagai bentuk galian. Oleh sebab itulah, mereka berkarya atas dasar yang begitu patuh pada Maha Pencipta yang mencipta alam ini. Mereka patuh akan Pencipta.
Sebagai natijahnya, saya ingin menegaskan kepada kalian, Tuan-Tuan Arsitektur, supaya mengkaji pendekatan karya-karya binaan kita pada masa dahulu. Mereka lebih rapat pada alam. Mereka menjiwai hasrat alam. Saya yakin kalian adalah bijaksana dan hebat berkarya. Maka kembalilah pada Pencipta kita sekiranya kita buntu dalam pencarian. Sekian dahulu dari saya.
Kita akur kita lemah,
dalam lesu berdiri kita meredah,
mencari makna yang pasti,
menemui kembali yang hakiki.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Sebutir Pasir.
(8 Zulkaedah 1433)
Sekeping gambar dititipkan buat saudara sebagai kenangan. |
No comments:
Post a Comment