Penerima Surat

Wednesday, October 10, 2012

Surat kepada Mahasiswa

"Belajar sambil mencabar. Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang. Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpelajaran (mencabar) dan terpelajar." 


Kehadapan saudara mahasiswa,
     Sengaja saya mulakan surat kali ini dengan kata-kata Prof. Diraja Ungku Aziz pada halaman kata pengantar buku Mahasiswa Menggugat (1973) oleh Muhammad Abu Bakar. Sebenarnya quote ini bukan sengaja dicipta Prof. Diraja Ungku Aziz. Beliau berpengalaman dalam mengurus karenah-karenah mahasiswa universiti ketika memikul tugas sebagai NC Universiti Malaya. Saya percaya ungkapan ini ada benar dan logiknya.

     Mutakhir ini pada 25 September 2012, telah berjalannya proses pembuangan undi di Universiti Malaya untuk memilih pemimpin mahasiswa bagi sesi 2012/2013. Secara tuntasnya dan telus saya memperakui ada beberapa perkara yang harus diperhalusi sama ada pada gerombolan Penggerak mahupun Pro-Mahasiswa. 

     Beberapa hari sebelum Pilihanraya Kampus(PRK), TNC HEP Prof. Dato' Rohana Yusof telah mengadakan roadshow di kolej-kolej kediaman. Ketika roadshow bersama penghuni Kolej Kediaman Pertama, setelah tamat sesi soal jawab pelajar dan pihak HEP, KK 1 dikejutkan dengan sekelompok penyokong Pro-Mahasiswa yang mahu berjumpa Dato' Rohana. Mereka membuat rapat umum di pintu pagar sambil ketua desakan kecil itu Safwan Anang memegang pembesar suara. Saya tidak pasti apa matlamat mereka pada malam itu. 

     Selang beberapa hari, saya mendengar ada ketirisan pada penamaan calon bertanding memalui rakan sekuliah saya yang merupakan wakil calon sebelah pihak. Dikatakan Penggerak menghantar calon tua bertanding. Seterusnya Pro Mahasiswa mendesak, tetapi bantahan mereka dinafikan pihak pengurusan PRK. 

Pro Mahasiswa terus berontak
Saudara,
     Saya sudah memerhati bagaimana Pro Mahasiswa bergerak dalam kempen mereka. Mereka bergerak seakan-akan konvoi berkelompok yang menggerunkan. Deruman enjin kenderaan memenuhi gema ruang Lingkungan Budi.  Sama ada motosikal mahupun kereta membunyikan hon masing-masing. Ada yang kurang selesa dengan keadaan ini. Menganggu, katanya. 

     Manakala di sebelah pihak Penggerak juga tidak kurang hebatnya dalam menggugat beribu-ribu mahasiswa universiti. Mereka melebarkan perang dingin terhadap Pro-Mahasiswa. Poster-poster dan risalah-risalah keburukan Pro Mahasiswa disebarkan di kolej-kolej kediaman. Mereka mudah memasuki kolej-kolej kediaman di dalam kampus kerana kebanyakan penyokong kuat mereka terdiri daripada Pembantu Mahasiswa kolej-kolej kediaman. 

Kedua-dua pihak ada pendekatan tersendiri dalam berkempen. 

Hari pengundian
     Pengundian pada kali ini adalah kali pertama Universiti Malaya menggunakan sistem e-undi. Undian tanpa menggunakan tinta, sebaliknya menggunakan satu klik pada komputer. Setelah waktu pengundian tamat kira-kira jam 5 petang, Pro Mahasiswa memenangi 20 kerusi, manakala Penggerak menguasai 19 kerusi dan Bebas 2 kerusi. Namun terdapat 2 kerusi seri iaitu di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dan di Fakulti Pendidikan. Pengundian diadakan semula pada Jumaat 28 September 2012. Setelah pengundian semula, Pro Mahasiswa memenangi 21 kerusi, Penggerak memenangi 20 kerusi dan Bebas 2 kerusi. 

Ketirisan
      Pada kali ini pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dilihat agak tiris. Semua Ahli Majlis Tertinggi dipegang Pemimpin Penggerak dengan, YDP dari pihak Bebas. 

Situasi
     Situasi sebenarnya ialah HEP terlampau membuak dalam menguasai pelajar. Sehingga politik kampus pun, HEP masuk campur. Adakah MPP pada kali ini HEP yang memilihnya? Ataupun pengundian daripada kalangan calon yang menang? 

     Saya hanya pelajar biasa di Fakulti Alam Bina yang dipimpin dua orang pemimpin Penggerak. Saya tidak begitu ambil kisah dari pihak mana yang terpilih untuk memimpin, asalkan mereka tidak membuang kepercayaan yang kami berikan masa pembuangan undi. Saya agak kesal dengan sesetengah pihak yang selesa berada di bawah payung HEP. Apa yang HEP lakukan ialah memudahkan pelajar, menyediakan kemudahan untuk pelajar. Tetapi mereka telah melakukan yang lebih dari senarai tugas mereka. 

     Begini saudara, kita sepatutnya bekerjasama. Jangan anggap kita pelajar hanya belajar. Benar kata Prof Ungku Aziz, belajar sambil mencabar. Apa yang sepatutnya kita belajar, kita seharusnya mencabar. Dengan mencabar kita terpelajar. Kita belum boleh mengaku terpelajar selagi belum diuji dengan cabaran-cabaran getir sebagai mahasiswa. 

     Saudara saya berharap saudara membalas surat saya ini. Saya yakin saudara bijak menilai. Saya cuma mahukan kedua-dua pihak menjalankan tugasan dengan baik. Namun, jika sebelah pihak lebih menguasai tampuk pimpinan maka beratlah timbangan apabila menjalankan tugas nanti. 

Sekian, terima kasih. 

Ambil yang jernih, buang yang keruh. 




Sekeping gambar kempen Pro Mahasiswa









No comments: