Assalamualaikum.
Di sini saya membawakan sebuah cerpen berjudul "Situasi". Cerpen ini berkaitan dilema yg dihadapi oleh si ayah. Bagaimana penyelesaiannya?
Diharapkan anda sudi membaca walaupun cerpen ini agak panjang. Sila komen kalau sudi.
Situasi
Taman permainan petang itu dipenuhi kanak-kanak bermain
buaian, jongkang-jongkit, dan gelongsor. Cuaca agak baik di petang hari minggu
tersebut. Udara pun agak nyaman dan sesuai bagi mereka yang ingin mencari
ketenangan di taman rekreasi.
Andy turut bermain seperti
kanak-kanak yang lain. Dia amat tertarik dengan papan gelongsor yang berbentuk
lingkaran berputar. Sudah beberapa kali dia turun naik gelongsor bagi
memastikan dirinya puas bermain sebelum senja menjemputnya pulang ke rumah.
Tubuh kecil Andy dibasahi keringat
hingga lencun baju T warna jingga kesukaannya.
Seorang lelaki bermisai tebal
rupa-rupanya sudah lama memerhati Andy. Tidak jauh dari gelongsor tempat Andy
bermain. Lelaki itu bersembunyi di balik pokok mempelam yang rendang . Lelaki
itu berjaket hitam, berseluar jeans lusuh berwarna biru cair.
Tiada sesiapa yang perasan
gerak-geri meragukan lelaki itu.
Apabila langit semakin gelap dan
matahari hampir-hampir terbenam, lelaki itu menghampiri Andy dengan lebih
dekat. Ketika itu sudah ramai kanak-kanak dijemput ibubapa mereka untuk pulang ke rumah. Andy mahu
menghabiskan satu lagi papan gelongsor pula sebelum pulang ke rumah. Andy di
jaga neneknya yang tinggal tidak beberapa jauh dari taman tersebut. Ayah Andy
yang menghantarnya ke rumah nenek.
“Kenapa ayah hantar saya ke rumah
nenek?” soal Andy kepada ayah beberapa minggu lalu.
“Ada sebabnya. Yang penting, ada
seseorang yang akan hadir dalam hidup kita.”kata ayah ringkas sebelum
meninggalkan Andy dengan nenek. Andy hendak tanya siapa orang tersebut, tetapi
ayah lekas-lekas meninggalkan Andy. Ayah memecut laju Honda City seperti dalam
perlumbaan.
Andy memandang Nenek pula.
“Nenek tahu siapa orang yang ayah
maksudkan?” soal Andy pada nenek pula. Nenek tersenyum lalu menampakkan sedikit
bahagian gigi palsunya.
Nenek memegang bahu Andy.
“Orang itu akan menemani kamu
bermain nanti.”
“Tapi siapa?”
“Kamu akan tahu sebaik ayah
menjemput kamu .”ujar nenek ringkas.
Andy terpaksa menerima keadaan itu. Apabila orang
disekeliling mahu menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya. Dia sedar
kanak-kanak sepertinya tidak perlu tahu banyak perkara seperti orang dewasa.
Kanak-kanak mempunyai tugas mereka sendiri. Seperti kata ayah. Kanak-kanak
perlu menghabiskan masa dengan dunianya. Kerana masa kanak-kanak amat singkat.
Andy tiba-tiba terasa ada seseorang
sedang hadir ke arahnya dari arah belakang. Bunyi derap kasut semakin kuat.
Andy berpaling ke belakang.
“Oh, pak cik.”Andy agak senang
dengan kehadiran lelaki itu.
“Kamu masih ingat pakcik lagi?”Lelaki
bermisai itu berlagak baik dan mesra.
“Tentulah misai kamu seperti tidak
pernah di cukur. Lagipun saya selalu terbayang pak cik dengan jeep pak cik.
Bagaimana jeep tu adakah warnanya masih hitam?”
“Oh sudah tentu. Hitam warna
kegemaran saya.”Lelaki duduk disebelah Andy di atas bangku yang tersedia di
taman itu. Lampu taman mula menerangi kawasan tempat duduk mereka.
“ Saya juga sukakan hitam.”
“Kenapa pula? Kamu sepatutnya
sukakan warna cerah.”
“Hitam seperti rahsia. Kita hanya akan
lihat apa yang ada di sebalik kegelapan itu setelah cahaya di pancarkan.”ujar
Andy kian mesra dengan lelaki itu.
“Kamu seorang yang bijak. Dari mana
kamu belajar semua ni?”Lelaki bermisai sengaja melayan Andy supaya kanak-kanak
itu selesa dengannya.
“Saya baca dalam sebuah komik
kegemaran saya. Komik itu semuanya tentang pertarungan yang hebat. Saya banyak
belajar dari komik tu.” Andy semakin leka di samping lelaki bermisai tebal
tersebut, walaupun hari sudah lewat senja. Lelaki itu sentiasa membuat-buat
seperti mengambil perhatian supaya muslihatnya tidak diketahui Andy.
Mereka terdiam seketika apabila
lelaki itu menyalakan rokok menggunakan pemetik api. Tidak lama kemudian lelaki
bermisai tebal menghembuskan asap putih
berkepul-kepul. Andy menutup hidung lalu berlakon tercungap-cungap.
Lelaki itu tergelak melihat telatah
Andy. Dia menggosok-gosok kepala Andy. Berlakon mesra.
“Awak mahu jumpa ibu awak?”tiba-tiba
lelaki bermisai tebal mengaju soalan itu.
Andy seperti tidak percaya.
“ Sudah tentu. Ibu sudah lama tidak pulang ke rumah.”kata
Andy tidak sabar-sabar.
“Okay, kalau begitu ikut saya.
Mula-mula kita makan dulu.”
“Yeah, saya suka McD!”
“Mmm, okay cadangan diterima.”
“Tapi bagaimana nenek?”Andy menyatakan
kerisauan tentang neneknya di rumah. Lelaki itu cuba mencari alasan bagi
memastikan Andy mengikutnya.
“Jangan risau saya sudah maklumkan
pada nenek kamu. Bukankan nenek kamu pernah menumpang jeep saya? Sudah tentu
nenek kamu kenal saya.”Lelaki bermisai tebal cuba memberi alasan kukuh. Andy percaya
bulat-bulat pujukan lelaki itu.
Kemudian, mereka berjalan menuju ke
sebuah jeep berwarna hitam di parkir kereta. Andy amat teruja menaiki jeep itu.
Dia teringat satu rancangan televisyen yang mempamer aksi –aksi menarik sebuah
jeep di laluan mencabar, seperti di kawasan gurun dan pergunungan.
“Wow, saya harap jeep ini mampu
terbang.”Andy berseloroh.
“Ada-ada sahaja kamu ni.” Ujar
lelaki bermisai sambil ketawa lalu memulas
kunci. Mereka bergegas meninggalkan taman permainan itu. Waktu itu suasana persekitaran
sudah gelap. Lampu neon sudah lama menerangi sepanjang jalan di kawasan
perumahan. Ketika mereka melewati rumah nenek, Andy rasa tidak sedap hati. Dia
sedikit gelisah. Namun, dalam masa yang sama dia mahu berjumpa ibu.
Mak Cik Rosie semakin risau. Kebiasaannya
Andy akan ke rumah jiran mereka selepas bermain. Berjumpa dengan rakan
sebayanya, Syafeeq, anak pasangan Doktor
Haleem dan Doktor Fatimah. Tetapi baru sebentar tadi nenek menghubungi Doktor
Haleem. Menurut Doktor Haleem, Andy tidak datang ke rumah mereka seperti hari
biasa.
Mak Cik Rosie semakin cemas. Adakah
cucunya masih di taman?
“Ya, mungkin dia masih di taman!”dia
bingkas bangun lalu memakai selendang di kepala. Dia dengan kadar segera keluar
dari rumah lalu bergegas ke rumah Doktor Haleem.
Mak Cik Rosie mengetuk pintu utama
kediaman pasangan doktor perubatan itu yang bertugas di poliklinik tidak jauh
dari situ. Dia juga membunyikan loceng. Terdengar
suara Doktor Haleem sedang membaca Al-Quran. Kemudian suara itu terhenti. Tidak
lama kemudian pintu utama dibuka. Susuk tubuh Doktor Haleem muncul di hadapan
pintu. Kelibat Syafeeq turut kelihatan di belakang ayahnya.
“Oh, Mak Cik Rosie. Silakan
masuk.”Doktor Haleem menyambut kedatangan Mak Cik Rosie sambil tersenyum
menampakkan sebaris gigi yang putih. Dia tinggi lampai dan berjanggut pandak.
“Maafkan saya. Begini, saya fikir
Andy ke rumah kamu. Tetapi sampai sekarang dia tidak pulang kerumah.”Mak Cik
Rosie semakin runsing. Dia menekan-nekan kepalanya yang pening.
“ Kamu sudah mencari di
taman?”Doktor Haleem ingin kepastian lanjut.
“Belum. Sebab itu saya ingin
pertolongan kamu. Saya harap kamu sudi membantu.”
“Ya, mari kita periksa di taman.”
Doktor Haleem dan Mak Cik Rosie
berjalan bersama-sama ke taman. Doktor Haleem membawa sekali dua biji lampu
suluh. Doktor Fatimah turut kelihatan di muka pintu apabila suaminya bergegas
keluar dari rumah. Dia dan Syafeeq turut risau.
Di taman, Doktor Haleem dan Mak Cik
Rosie memanggil-manggil nama Andy. Mereka mencari di setiap tempat di taman.
Mak Cik Rosie menyuluh di kawasan rimbunan pokok-pokok bunga. Dia juga
memeriksa setiap alatan permainan. Usahanya hanya sia-sia kerana kelibat Andy
langsung tidak muncul.
Doktor Haleem menyarankan Mak Cik
Rosie meminta bantuan daripada pihak polis. Mak Cik Rosie tiba-tiba terduduk
kepenatan. Dia dan Doktor Haleem kemudian pulang ke rumah untuk mengambil ubat.
Mak Cik Rosie mengadu pening kepala dan rasa seperti hendak pitam.
“Richard, saya ada sesuatu hendak
beritahu kamu.”Doktor Haleem menghubungi Richard melalui telefon.
“Mengapa Haleem? Sesuatu yang
pentingkah?”
“Begini, anak kamu tidak pulang ke
rumah neneknya sejak petang tadi. Katanya dia bermain di taman. Tetapi terus
tidak pulang-pulang.”Doktor Haleem cuba menjelaskan satu-persatu.
Richard terbungkam seketika.
Lidahnya seperti kelu hendak berbicara.
“Kamu sudah mencarinya?”Richard
lantas menyoal setelah terdiam beberapa saat. Tindak balasnya agak lambat
setelah mendengar sesuatu yang di luar jangkaan.
“ Sudah di taman. Kemudian saya menghubungi
pihak polis untuk meminta bantuan. Mereka sudah pun memulakan operasi mencari.
Saya harap kamu bertenang. Ibu kamu ada di rumah saya. Dia kelihatan tidak
sihat sedikit.”
“Baiklah saya akan pulang dengan
kadar segera.”Richard mengakhiri perbualan. Dia tergesa-gesa menuju ke
keretanya. Dia mahu ke rumah ibunya di Gombak untuk mencari Andy.
Richard merasa sesuatu yang tidak
kena pada keretanya. Keretanya seperti tidak stabil.
“Ah, bocor pula!”Richard membentak
keras.
Dia lekas-lekas meluru keluar lalu menahan
teksi di tepi jalan. Dia tidak fikir untuk menukar tayar kereta pada masa itu
kerana memakan masa. Agak mudah mendapatkan teksi di tempat kerjanya. Dia
meminta pemandu teksi membawanya ke Gombak walau asalnya pemandu itu agak
keberatan.
Richard menelefon Doktor Haleem. Dia
memberitahu bahawa dia tidak boleh hadir segera kerana tayar keretanya bocor.
Dia meminta supaya Doktor Haleem memaklumkan kepadanya tentang apa-apa maklumat
terbaru mengenai kehilangan Andy.
Richard meminta supaya pemandu teksi
itu menambah kelajuan. Dia ingin segera sampai.
Richard tidak dapat duduk diam. Dia
bertambah gelisah. Adakalanya dia buntu. Hiruk-pikuk kota menambah
keresahannya. Udara nyaman di dalam teksi tidak membantu melegakan
keresahannya.
“Hello
Doktor. Saya harap awak boleh bantu saya.” Richard menelefon pula Doktor
Haleem. Kali ini nadanya agak serius. Doktor Haleem hanya mendengar sepenuh
perhatian.
“Ada kamu tanya anak kamu, adakah
dia ternampak seseorang yang mencurigakan bersama Andy?Di taman mungkin.”Richard
cuba menyoal siasat. Khuatir anaknya menjadi mangsa penculikan.
“ Oh, anak saya tidak ke taman
petang tadi. Dia ada kelas belajar Al-Quran.”
“ Kalau begitu… mungkin di hari-hari
sebelumnya? Atau dimana-mana?”
Doktor Haleem agak lama untuk
menjawab. Dia mengaju beberapa soalan berkaitan Andy kepada Syafeeq. Kemudian dia kembali dalam
perbualan.
“Mungkin perkara yang saya beritahu
ini boleh diberi perhatian. Andy pernah memberitahu kami mengenai seorang
lelaki bermisai tebal yang selalu memandu jeep hitam. Anak lelaki saya juga
pernah lihat lelaki itu. Katanya, akhir-akhir ini, lelaki itu selalu kelihatan
di kawasan sini.” Kata Doktor Haleem menyampaikan maklumat dari anaknya kepada
Richard.
Mak Cik Rosie yang turut berada di
rumah Doktor Haleem terdengar perbualan itu. Tiba-tiba fikirannya teringat
seorang lelaki bermisai tebal. Lelaki itu pernah menumpangkannya dan Andy untuk
pulang ke rumah dengan menaiki jeep hitam seperti yang Doktor Haleem katakan.
Ketika itu dia sedang menunggu teksi selepas membeli barang keperluan di pasar
raya, kira-kira seminggu yang lalu.
“Hello Richard, ini ibu.”Mak Cik
Rosie terus merampas telefon dari genggaman Doktor Haleem.
“Ya, ibu. Adakah ibu kenal lelaki
itu?” Richard terus bertanya.
“Tidak. Tetapi seminggu yang lepas
dia menumpangkan kami dengan jeepnya. Ibu sangka dia lelaki yang baik hati.”
jelas Mak Cik Rosie tersekat-sekat. Dia terus mengalirkan air mata
berjurai-jurai.
“Saya harap ibu dapat bertenang.
Jadi, saya minta ibu segera memaklumkan perkara ini kepada pihak polis.”Richard
cuba menenangkan ibunya padahal dirinya sendiri cukup gelisah pada masa itu.
Richard melihat papan tanda di tepi
jalan. Perjalanan ke Gombak masih berbaki 20 kilometer. Dia terus gelisah.Dia
berharap pihak polis dapat menahan lelaki yang ibunya maksudkan untuk membantu
siasatan. Wajah Andy yang periang semakin kerap berlayang di fikiran.
Tiba-tiba telefon bimbitnya
berdering. Terketar-ketar tangannya ketika hendak menekan butang untuk menjawab
panggilan. Dia amat mengenali pemanggil
itu. Dia amat pasti suara yang menghubunginya kali ini adalah isterinya.
“Saya selamat melahirkan anak kita.”
Suara itu beralun rendah dan lemah.
Encik Richard sekali lagi terjeda.
Kali ini agak lama.
“Orang baru yang akan menemani Andy
bermain dan membesar bersama.”suara isteri Richard kali ini lebih ceria.
Kelibat Andy semerta-merta menjelma
di benak Richard. Dia menjadi serba-salah. Perlukah dia memberitahu perkara
yang sebenarnya terjadi pada Andy? Dia kini terkurung dalam dilema. Kadang-kadang
kesedihan itu lebih besar kesannya pada kita berbanding sesuatu yang
menggembirakan.
Richard terus mendiamkan diri. Dia
hanya menunggu isterinya untuk menyambung perbicaraan.
“Saya harap Andy gembira dengan adik
lelakinya ini. Bagaimana dengan Andy? Dia gembira dengan neneknya?”Tiba-tiba
isteri Richard mengajukan soalan sedemikian.
Andy tidak rasa dia perlu
memberitahu perkara yang sebenarnya. Lebih baik dirahsiakan sahaja perkara itu.
Apabila Andy diketemui dia akan memberitahu perkara yang sebenarnya berlaku
terhadap Andy kepada isterinya.
“Ya, dia suka tinggal dengan
neneknya. Saya minta maaf kerana tidak dapat di samping kamu, di saat kelahiran
anak kita.”suara Richard agak kesal. Namun dia sebolehnya ingin menyembunyikan
sesuatu yang lebih besar. Perbualan tidak lama selepas itu kerana isteri
Richard masih lemah setelah bersalin.
Richard masih sugul di sisi Mak Cik
Rosie di ruang tamu rumah ibunya. Laporan polis telah dibuat memandangkan Andy
masih tidak dijumpai dalam masa 24 jam. Hampir sehari suntuk mereka mencari
Andy di sekitar Gombak, tetapi usaha mereka tidak berhasil. Malam semalam dia
terpaksa berbohong kepada isterinya. Dia katakan, dia terpaksa pulang ke rumah
ibunya di Gombak kerana ibunya kurang sihat. Mujur isterinya cukup baik, malah
menyuruhnya segera ke Gombak untuk melawat ibu. Isterinya masih dirawat di
hospital swasta di ibu negara.
“Maafkan ibu, Richard.” kata-kata
itu dilontar Mak Cik Rosie sebaik melihat Richard tidak dapat duduk tenang.
Richard menekup muka dengan tangan. Di benaknya bermacam-macam perkara
berlayang-layang menghantui diri.
“Sepatutnya, ibu perlu menjaga Andy
dengan lebih berhati-hati.”Mak Cik Rosie terus menyalahkan diri sendiri.
“ Sudahlah, ibu. Perkara itu sudah
terjadi. Saya yang sepatutnya disalahkan. Kerana gagal menjadi ayah yang baik.
Saya sepatutnya lebih mengutamakan keluarga daripada perniagaan saya.” Richard
turut berasa harus dipertanggungjawabkan. Selama ini, dia sentiasa bermain
dengan pelbagai alasan untuk mengelak meluangkan masa dengan keluarga sendiri.
Padahal dia sebenarnya menghabiskan banyak masa untuk perniagaannya.
Kemewahan kini tidak memberikannya
apa-apa kecuali kesedihan dan penyesalan. Dahulu, dia menganggap kemewahan adalah
kunci kebahagian. Tetapi falsafah itu sekarang sudah boleh diabaikannya. Malah perlu dibuang jauh-jauh.
Entah mengapa hidupnya kini
dirasakan cukup tidak bermakna. Kemewahan seperti tiada sesuatu yang dapat
memikat hatinya kembali. Dia rasakan dirinya kini dihuni kegelapan yang paling
dalam. Seperti tidak kelihatan satu jalur cahaya sekali pun. Kegelapan itu
dirasakannya bersendirian. Kerana orang di sekelilingnya amat baik sekali.
Mereka sentiasa menyokong. Mereka juga mempercayai kata-kata Richard. Walaupun
Richard amat payah menghargai mereka.
Telefon bimbit Richard nyaring
berdering. Dia mengangkat telefon. Panggilan dari ibu pejabat polis. Jantung
Richard berdegup kencang. Dia cuba menjawab panggilan dengan tenang. Perbualan telefon
itu agak pendek.
“Polis sudah menemui Andy.”Richard
memberitahu Puan Rosie dalam lafaz yang tidak lancar.
Richard memandang ibunya, menangis
dalam kegembiraan. Dia turut merasa ada butir-butir hangat mengalir dari
kelopak matanya.
Richard memandang ibunya lagi. Kali ini seakan dia tidak
percaya tindakan ibunya itu. Dia melihat ibu mengangkat tangan. Seperti selalu
yang dilihatnya. Mungkin rakan-rakan Islamnya.
“Alhamdulillah, syukur padaMu
Tuhan.”Mak Cik Rosie terus memuji Allah lalu bersujud. Richard hanya memerhati
tindakan ibunya itu. Entah mengapa dia terasa ingin sekali bersujud. Untuk
menzahirkan kesyukuran barangkali.
“Ibu sudah memeluk Islam?”tanya
Richard seolah-olah tidak percaya. Anak beranak itu berpeluk dalam tangisan
kegembiraan. Richard percaya itulah sinar yang dinanti-nantikannya sebelum ini yang
dahulu merupakan satu persoalan. Inilah situasi yang paling dinanti-nantikan, hatinya bergetar, bersuara.
.
5 comments:
just an opinion. menarik. tapi macam kabur sikit ending dia. apa jadi kat pak cik misai hitam? macam mana keadaan andy? tpi, overall, ok. cubaan yg bagus. bolehlah tulis lagi. hehe.
nice..tp mcm ad sumthink yg xkena..=P
"Andy tidak rasa dia perlu memberitahu perkara yang sebenarnya. Lebih baik dirahsiakan sahaja perkara itu. Apabila Andy diketemui dia akan memberitahu perkara yang sebenarnya berlaku terhadap Andy kepada isterinya."
Andy yg 1st tu,rasenye Richard spatotnye..kan?? =)
Nice blog :)
salam kenal sobat :)
di tunggu kunjungan balik.nya ya !terimakasih ...
Terima kasih daun keladi, segala komentar amat saya hargai. Terima kasih Safiah dan Akmal kerana memberi masa memcaca cerpen tidak seberapa ini. IsA akan saya baiki kelemahan ini dari masa ke masa dalam karya yang seterusnya pula.
*Membaca
Post a Comment