Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Saya nukilkan sebuah cerpen mengenai rekaan fesyen. Semua unsur dan cerita dalam cerpen ini adalah gabungan ilham, pengalaman, dan pembacaan saya dalam bidang jahitan dan rekaan fesyen. Apa yang datang daripada Allah, dan yang buruk merupakan kelemahan saya sendiri.
Cetus Ilham
Memang saya berangan-angan mahu menghasilkan sebuah cerpen mengenai seni jahitan dan fesyen. Angan-angan ini malah sudah lama saya fikirkan. Sementalah ayahanda dan bonda saya sendiri memang mahir menjahit pakaian tradisional Melayu. Malangnya, kini ayahanda saya sudah jatuh sakit-gout. Manakala ibu saya pula sering sakit di bahagian tulang lutut yang mana membataskan kudrat mereka untuk menjahit pakaian lagi. Harapan saya cerpen ini mampu membuka minda kita, agar tanpa mengira minat kita dalam sesuatu bidang seperti sukan, fesyen, serta muzik sentiasalah kita mengingati Allah. Bidang-bidang ini memang masih ada lagi yang memandang sebagai bidang picisan dan bidang bukan budaya kita dalam masyarakat. Namun, mungkin cerpen ini ada wajarnya dibaca semua agar menjadikan kita dan penggiat bidang-budang tersebut kembali, atas rasa fitrah ingin menjadi hamba dan mentaati Allah.
Festival Fitrah
Semalam
Rudi dipelawa rakannya untuk berjumpa seorang pereka fesyen terkenal di ibu
kota. Pelajar yang mengikuti latihan praktikal di situ akan diberi elaun tambahan.
Bahkan jika prestasi kerja memberangsangkan mereka akan diambil terus bekerja
di butik pakaian itu.
Namun Rudi
tidak bersetuju. Dia tidak selesa bekerja di situ kerana butik itu menyediakan
pakaian wanita yang mendedahkan aurat pemakainya. Pakaian yang seolah-olah
menjual maruah harga diri wanita yang harus dipelihara secukupnya. Sudah sebati
dalam dirinya mengatakan, “Aku seorang pereka fesyen Muslim.” Itulah prinsip
yang dipegangnya sejak menceburkan diri dalam pengajian rekaan fesyen. Malah
memang sejak kecil dia bercita-cita mahu menjadi pereka fesyen yang berpegang
teguh pada syariat.
Keluarganya begitu kuat mengamalkan ajaran agama. Bidang
rekaan fesyen dilihat kebaratan dan dianggap bidang yang sering mencambahkan
benih dosa terutamanya soal aurat wanita.
Ayah Rudi dijemput Ilahi kerana serangan strok dua bulan lalu. Ayahnya
seorang tukang jahit, tetapi pernah membangkang Rudi menceburi bidang rekaan
pakaian. Kata ayah, bidang itu tidak sesuai dengan Rudi yang merupakan lepasan
sekolah menengah agama.
“Ayah,
saya akan buktikan yang saya akan berjaya dalam bidang ini. Biarpun apa-apa
bidang yang diceburi, mesti dilakukan berlandaskan syariat.” Rudi membahas
dalam satu perbualan dengan ayahnya beberapa tahun sebelum ini.
“Ayah
risau fasal kau. Kau lulusan sekolah agama. Kau ada ilmu. Kenapa bidang ini
yang kau pilih? Bukan senang nak cari kerja sebagai pereka fesyen.” tegas ayah.
“Saya
ingin menyambung kemahiran ayah sebagai tukang jahit. Dan sebenarnya, saya ada
niat murni ingin berdakwah dalam bidang ini memandangkan minat saya terarah
dalam rekaan pakaian.” luah Rudi memuntahkan alasan dan impiannya.
Niat Rudi
mungkin mengambur hasrat ayah, namun dalam masa yang sama menggambarkan betapa
tulus pemikiran anaknya. Ayah sebenarnya ingin sekali melihat Rudi mendalami
ilmu agama ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi hasrat murni anaknya itu
sukar sekali untuk dia halang. Dia terpaksa mendiamkan diri, membenarkan
anaknya menekuni tekstil dan gumpalan benang yang mungkin mewarisi kemahiran
jahitannya. Menjadi galang ganti setelah ketiadaannya kelak.
Rudi
kadang-kala merasa serba salah adakah minatnya itu mendapat restu ayahnya atau
tidak. Tetapi ayah ada berkata padanya beberapa hari sebelum strok menyerang. Pesan
ayah, “Usah jadikan bidang yang kau dalami ini segala-galanya. Ingat, agama adalah
utama kerana tanpa agama kita akan putus seperti layang-layang tidak bertali.”
Pesan itu
adalah wasiat yang wajib Rudi patuhi. Memang itulah benih yang ayah tanamkan pada
dirinya dan adik perempuannya, Farina sejak kecil. Hidup susah mereka tidak
menjadi tembok penghalang akan kasih sayang antara mereka sekeluarga. Bahkan
kesusahanlah mengajar mereka erti kasih sayang, simpati dan hidup berlandaskan
agama. Rudi yakin ayah telah mengerti dan merestui cita-citanya beberapa ketika
sebelum mereka berpisah. Dia bertambah yakin dan pasti. Semangat Rudi segera
bangkit ingin meneruskan perjalanan dakwah dalam bidang asing bagi lepasan
sekolah agama sepertinya.
Di hadapannya
kini sebuah kedai berdinding papan yang agak kecil. Beberapa lagi kedai turut
berderet di situ yang serupa reka bentuknya. Dia bercadang ingin melakukan
latihan praktikal di situ.
“Jangan
kau pandang rendah pak cik tu. Pengalaman dia luas seperti pereka fesyen
profesional.”
“Baiklah
aku sahut cabaran kau.” kata Rudi kepada seorang teman sekuliahnya yang
mengutip cerita dari pelajar-pelajar lain tentang seorang tukang jahit
berpengalaman itu.
“Assalamualaikum.” Ucapan salam itu menyapa pemilik kedai tersebut.
Lenyap seketika alunan mesin jahit. Herman menoleh ke arah muka pintu yang
berkeriut setelah dikuakkan sedikit oleh seorang pemuda berambut kerinting.
Herman
membuka kaca matanya. Pemuda itu belum pernah ditemuinya.
“Waalaikumsalam.
Sila masuk.” Herman membenarkan pemuda itu masuk ke kedai jahitnya yang sesak
dengan lipatan kain, dan pakaian yang ditempah pelanggan. Bunyi kipas siling
menguasai ruang ketika jeda menjadi suasana.
Di tepi dinding
berhampiran jendela tersedia kerusi kayu sedikit berhabuk. Dia mempersilakan
Rudi duduk di atasnya. Rudi teragak-agak untuk menerima pelawaannya. Memandangkan
itu adalah satu-satunya kerusi yang tersedia melainkan yang diduduki Herman,
Rudi terpaksa mengotori celananya.
“Saya
Rudi. Saya pelajar dalam jurusan rekaan fesyen...” Rudi cuba memperkenalkan
diri dengan sopan.
“Maksud
kamu, kamu mahu buat praktikal di sini?” Herman memintas ketika Rudi masih
belum habis berbicara.
“Macam
mana pak cik tahu?”
“Dah ramai
yang datang. Serupa macam kamu.”
“Oh, kalau
begitu tu baguslah pak cik.”
“Kamu
ingat senangkah selok-belok jahitan?”Suara Herman agak sinis ketika menyoal.
Dia kemudian mula meladeni jahitannya yang masih berbaki.
“Insya
Allah pak cik, saya akan bersungguh-sungguh. Saya sudah pun belajar asas-asas
jahitan di kolej.”
“Oh ya.
Masuk kau aku sudah congak, kira-kira sudah lima orang.”
“Lima
orang sahaja pak cik? Tidak lah terlalu ramai.” ujar Rudi dalam nada berseloroh.
“Lima
orang bagi minggu ini sahaja. Sepanjang aku bekerja sudah beratus-ratus.” ujar
Herman sambil menekuni jahitan tanpa menghiraukan Rudi.
Rudi
terkedu. Dia begitu runsing memikirkan
tindakan Herman yang tidak sudi menerimanya sebagai anak murid. Namun, apa-apa
yang terjadi, Rudi masih yakin dia ada tempat dalam bidang ini. Cuma dia harus berdepan
dengan masa yang adakalanya genting, dan adakalanya menyenangkan.
Deretan
kedai lama yang lapuk dan berhabuk di tepi dataran itu kelihatan lesu seolah
simpati dengan Rudi yang kecewa. Tidak jauh dari Rudi, berdiri seorang gadis
belasan tahun menunggu kelibat abangnya. Farina bertudung litup di kepala
hingga menyeluruhi sebahagian tubuhnya. Berbaju abaya biru gelap yang menyejukkan
anak mata memandang. Sesekali tudungnya ditiupi angin yang mungkin berpunca dari
kenderaan lalu-lalang atau tiupan angin petang
di bandar kecil itu. Farina segera mendekati Rudi. Lekas-lekas dia ingin
bertanya adakah Rudi berjaya. Tetapi kemahuannya segera ditandusi dengan riak
wajah Rudi yang sugul.
“Sabarlah bang.
Mungkin rezeki itu ada. Cuma kita perlu berusaha lagi.”
“Sudah
lima kali minggu ni.”
“Sabarlah
abang.”Farina mengulang lagi.
“Tak
apalah dik. Setakat ni abang ada simpanan sedikit. Nanti abang cari kerja.
Mungkin di restoran atau kilang.”
“Abang.”Farina
tersentak.
“Tak
mengapa dik. Abang sekarang ketua keluarga. Ayah dah pergi.”
“Abang,
kerjaya abang lagi penting. Bukankah abang mahu teruskan dalam bidang ini.”Farina
cuba memberi semangat.
“Tidak
dik. Tanggungjawab abang lagi utama. Jika kita hilang dunia, sekurang-kurangnya
kita ada keluarga. Kalau kita hilang keluarga, apa yang kita ada? Kita harus
mengerti nilai kasih sayang dan bukan harga harta benda.” ujar Rudi
berterus-terang. Farina tidak mampu membantah Rudi lagi.
Petang itu
cuaca agak terik disimbah panas mentari. Herman sebenarnya mengekori gerak-geri
dua beradik itu. Dia hanya ingin memastikan adakah Rudi benar-benar anak murid
yang dahagakan ilmu dan tunjuk ajar daripada pengalamannya. Tanpa disedari Rudi,
Herman telah mencuri dengar perbualan adik-beradik itu. Kata-kata Rudi kepada
Farina sebentar tadi benar-benar telah membasahi hatinya. Dia yakin kata-kata,
“Kita harus mengerti nilai kasih sayang dan bukan harga harta benda.” benar-benar
menusuk ke dalam hatinya. Herman pasti Rudi seorang yang jujur dan berprinsip
murni. Herman tergesa-gesa mendapatkan Rudi yang hampir-hampir mahu menaiki bas
bersama-sama Farina. Herman mempelawa Rudi ke kedainya semula. Rudi membiarkan
Farina menaiki bas. Farina ingin lekas pulang kerana dia ingin menyiapkan kerja
sekolah yang tertangguh. Herman beralasan bahawa dia ada sesuatu yang ingin disampaikan
pada Rudi. Rudi pada mulanya hairan tetapi mengikuti sahaja kehendak Herman
tanpa banyak soal.
Herman
menjamu tetamunya itu dengan setin air minuman isotonik sejuk yang dibeli dari penjaja
di bawah pohon angsana bersebelahan dataran daerah. Memang sesuai meredakan
kehausan dan lelah di musim kemarau.
Herman
memerhatikan Rudi yang sedang duduk di atas kerusi kayu usang yang hanya
terdapat dua biji di kedainya sambil menghirup air minuman. Dia lebih selesa
bersandar di sisi meja besar di sudut kedainya. Herman mengamati raut wajah
Rudi yang berkulit sawo matang. Rambut kerintingnya dipotong kemas melengkapkan
penampilannya dengan susuk tubuh yang kurus.
Mengakui
usaha Rudi yang bersungguh-sungguh sementalah perbicaraan Rudi dengan adiknya
dicuri dengar, dia yakin Rudi benar-benar bercita-cita besar dalam lapangan
ini. Dalam kalangan anak muridnya yang ramai, hanya beberapa orang sahaja yang
dia benar-benar percaya. Herman menyimpan kenangan yang menyakitkan. Dia telah jatuh
dalam industri rekaan fesyen kerana kepercayaannya dikhianati. Dia difitnah.
Kepercayaan yang dicabuli mereka yang tidak kenang budi dan tamak haloba. Selepas
kejadian itu, memang sukar sekali dia melepaskan kepercayaan sewenang-wenangnya.
Kepercayaan adalah terlalu mahal baginya. Sukar sekali diberi kepada mereka
yang mahu menuntut ilmu jahitan daripadanya.
Di
antaranya dan Rudi kini ada jarak beberapa kaki sahaja. Dia menimbang, adakah
Rudi boleh membeli kepercayaannya semula?
Rudi
memandang susunan beberapa helai set baju kemeja dan blazer yang telah siap digantung di satu sudut kedai. Ada pelbagai
bentuk rekaan, warna dan tekstil.
“Di sini,
saya bukan sahaja hasilkan fesyen pakaian tetapi juga mereka paternnya sekali.”
“Benar?”
“Ya.” jawab
Herman ringkas. Dia semakin mesra.
“Jahitannya
cukup kemas. Rekaan menarik.”ujar Rudi berbaur pujian seraya menunjukkan
sepasang baju kemeja berwarna hijau muda.
“Untuk
menghasilkan sesuatu yang berkualiti kamu harus berkualiti dahulu.”
“Ya, saya
sudah dapat sesuatu dari pak cik.”gurau Rudi melebarkan senyumannya.
“Kamu
betul. Ya, kamu betul.”Herman menahan ketawa.
Herman
membiarkan Rudi leka mengamati hasil jahitannya. Entah mengapa dia merasakan
mungkin perkara yang pernah menimpanya tidak akan berulang lagi kali ini. Rudi
tidak begitu. Dia yakin Rudi tidak akan mengulang semula peristiwa pahit dua
puluh tahun lalu.
Perlukah
dia ulang kembali kisah pahit itu. Bagaimanapun dia pasti peristiwa pahit itu
telah terpahat dalam diari hatinya. Helaian-helaian kenangan kecewa itu sering
kali sahaja terbuka di dalam ingatannya. Entah mengapa sukar untuk dilupakan.
Dia masih
ingat walaupun kenangan itu amat pahit untuk dirasa. Dua puluh tahun lepas
datang seorang pemuda yang akhirnya dipanggil Herman sebagai Adik. Pemuda itu
merayu kepada Herman untuk belajar selok-belok rekaan fesyen daripadanya. Sukar
hendak ditelan. Tentang bagaimana dia yang dahulunya pereka fesyen yang masyhur
memiliki sepuluh buah rangkaian butik mewah telah jatuh muflis.
Masih
segar dalam memorinya, Adik menuduhnya mencuri hasil rekaan fesyen dalam sebuah
festival busana. Reputasinya tercalar melalui akhbar-akhbar dan majalah-majalah
fesyen. Atas nasihat seorang rakan dia menyaman Adik menerusi tindakan
undang-undang kerana menuduhnya menciplak rekaan fesyen yang kononnya berasal
daripada idea Adik. Kemudiannya kerana kurang bukti yang kukuh, dia telah tewas
dalam perbicaraan itu. Malah dia pula disaman Adik atas tuduhan mencuri idea
rekaan fesyen. Bagi melangsaikan tunggakan hutang-hutang perniagaan, Herman
terpaksa menjual beberapa premis butik serta bergadai harta simpanan untuk
membayar saman Adik yang bernilai jutaan ringgit.
Kepercayaan
yang diberikan sepenuhnya pada Adik telah dikhianati. Herman pasrah atas
ketentuan itu. Adakalanya dendam pada Adik hingga hari ini masih turun naik.
Apatah lagi melihat Adik yang semakin berjaya hingga ke saat ini berpunca
daripada perbuatan fitnah suatu ketika dahulu. Orang ramai pada masa itu mula berprasangka
buruk terhadap dirinya. Masakan orang tidak percaya seorang pekerja ditindas
oleh majikannya. Sementalah dia dituduh sebagai majikan tidak berhati perut.
Memang bukan salah masyarakat. Mereka seharusnya membenci orang yang buruk
perangainya tidak kira siapa pelaku itu. Tetapi dalam hal ini dia bukan
pesalahnya. Kepercayaannya telah dikhianati. Dia percaya pada seorang yang
mengaku luhur tetapi berhati busuk sebenarnya. Itu kesilapan besar dalam
sejarah hidupnya.
Herman
percaya Rudi tidak mungkin seperti adik. Dalam dasar hatinya mengatakan Rudi
harus berjaya. Dia anak muda yang gigih.
Rudi telah
memberitahu tentang pemergian ayahnya. Sekarang Rudi tinggal bersama Farina dan
ibunya di rumah peninggalan arwah ayah. Dia seakan tahu Rudi baik akhlaknya
melalui anak mata Rudi yang sejuk dipandang. Mungkin kerana usia yang telah
menjangkau separuh abad bersama adunan pengalaman yang berat, menjadikan Herman
agak fasih membaca kelakuan seseorang.
Ramai yang
tidak tahu kemana Herman selepas peristiwa gelap itu. Sebaik Herman diisytihar
muflis, keluarganya pula berantakan. Isterinya tidak sanggup menemaninya lagi.
Segala hutang-hutang bank terpaksa dibayar dengan menjual pelbagai harta benda,
rumah dan asset-aset perniagaannya. Satu persatu hartanya lenyap. Semuanya bagaikan sekelip mata. Harta,
kerjaya, dan keluarga hilang dalam satu peristiwa pedih yang berpunca daripada
kebiadaban Adik. Adakah Adik sanggup menyuap nasi atas kerja keras orang lain?
Dan difitnah pula orang yang telah berjasa kepadanya. Dahlia isterinya, Ana dan
Fazrul anaknya telah meninggalkan Herman lalu menetap di luar negara. Mereka
mulakan hidup baru. Entah apa khabar mereka di sana. Khabarnya Dahlia bertemu
jodoh dengan seorang ahli perniagaan di Singapura. Wanita cantik, pasti ada
peminatnya. Herman tetap berfikir begitu.
“Pak cik,
sebenarnya apa yang pak cik hendak sampaikan kepada saya?”soal Rudi menyedar
Herman daripada lamunan kisah silamnya, bahkan lebih iaitu nasibnya.
Herman
meneguk air minuman di dalam tin seketika. Matanya yang tadi merenung ke luar
jendela mula mengalih tumpuan pada Rudi yang telah duduk semula di atas kerusi
kayu. Di sebelah tempat Rudi duduk ada beberapa longgok perca kain yang belum
sempat dibuangnya. Longgokan itu hanya disimpannya di dalam bungkusan plastik
jernih yang besar. Ada tiga semuanya. Herman mengheret bungkusan kain perca itu
ke satu sudut kedai. Bungkusan itu sebenarnya telah menghalang kedudukannya dan
Rudi. Rudi hanya memerhati lelaki separuh abad itu mengheret bungkusan kain
perca yang berat.
“Kamu boleh
bekerja dengan pak cik. Itu sahaja.” Jawab Herman ringkas sambil menepuk-nepuk tangannya
yang berhabuk dengan picisan benang yang berpunca daripada potongan kain perca.
“Tapi
ingat upahnya tidak lumayan. Kalau kamu sungguh-sungguh kamu boleh ambil
tempahan sendiri dengan pelanggan pak cik. Upah yang itu kamu ambillah.”sambung
Herman lagi sementara Rudi masih belum mula bersuara.
“Terima
kasih pak cik. Saya akan lakukan dengan bersungguh-sungguh.”
Sebenarnya
saya kagum dengan pak cik. Bagaimana pak cik bangun semula selepas pak cik
jatuh dalam karier ini.” tambah Rudi.
“Kamu tahu
kisah saya?”soal Herman hairan.
“Ya, pak
cik. Saya ada kaji tentang kisah hidup pak cik. Ramai pereka fesyen di luar
sana yang suatu ketika dahulu begitu mengenali butik KBH, Koleksi Busana
Herman. Tetapi sekarang mereka tidak tahu ke mana butik, pemilik dan pereka
fesyen terkenal bernama Herman menghilang.”
“Jadi dari
situ kamu jejaki saya?”
“Benar pak
cik. Kebetulan adik saya dulu pernah menempah baju abaya di kedai pak cik. Dia
yang membawa saya ke kedai ini dan memberitahu mengenai pemiliknya.”
“Oh, gadis
yang bersama kamu sebentar tadi?”
“Ya,
Farina namanya.”
“Oh,
sekarang cepat sangat saya lupa. Maklumlah umur pun sudah lanjut. Pelanggan
pula ramai.”Herman tersenyum.
Mata Rudi
mengerling ke arah sepasang baju abaya. Sama rekaannya dengan baju abaya yang
Farina pakai hari ini. Tetapi baju itu berwarna biru muda. Cuma rekaan sulaman
bunga kerawang pada pergelangan lengan baju ditambah bagi memberi kesan yang
berlainan.
“Sebut
tentang Farina dan baju abayanya. Saya terkesan pula pada pakaian wanita. Apa
pandangan kamu mengenai pakaian wanita masa kini.” soal Herman seakan ingin
menguji pemikiran pemuda berpandangan jauh itu sambil tangan kanannya
mengusap-usap janggut yang sudah banyak beruban.
“Semenjak
dahulu lagi kita sudah diingatkan dengan tabaruj iaitu tatacara hias wanita.
Wanita dilarang sama sekali berhias dan bergaya seperti bangsa non-muslim. Berhias ialah berpakaian,
bersolek, dan memperagakan diri.”tegas Rudi tanpa mempersia-siakan peluangnya
memberi pandangan.
“Jadi
maksud kamu event peragaan pakaian
oleh wanita adalah haram?”
“Ya benar.
Pakaian itu bukan untuk peragaan tetapi sebagai satu ibadah, menundukkan diri
kepada perintah Allah.”
“Saya tahu
tatacara pemakaian Islam cukup ketat. Walaupun saya kurang faham ilmu agama,
saya amat menghormati mereka yang menutup aurat. Cumanya, saya kurang mengerti
mengapa Islam hanya memberatkan soal aurat. Di mana lagi kebanggaan kita, kehebatan
kita sebagai umat Islam? Hanya pada pakaian?”
“Saya akui
syahadah adalah pegangan kita. Kekuatan kita. Akidah kita. Tetapi mahukah kita
mengakui keesaanNya dan kerasulan Nabi Muhammad, namun dalam masa yang sama
menafikan perintah Allah dan apa yang diajar Penghulu Nabi.”
“Apa
maksud kamu.?”
“Begini, andaikan
suatu hari pak cik hendak menjahit pakaian yang paling indah pernah dihasilkan
seumur hidup pak cik. Pak cik gunakan kain yang bermutu, benang yang bagus,
jahitan yang cukup kemas serta sulaman yang cantik. Tetapi pak cik telah membiarkan
beberapa bahagian yang perlu dicantum tidak berjahit.”
“Maksud
kamu. Kita harus buat seluruhnya?”Herman terus mencelah. Ingin kepastian.
“Ya, buat
seluruhnya secara bersyariat.”
“Tetapi
baju itu saya yang buat, suka hati sayalah.”
“Tidak
boleh begitu pak cik. Bukankah pak cik mahu pakai baju itu. Iaitu baju yang cantik.
Tidak kenalah seorang tukang jahit memakai baju tidak sempurna. Kemahuan itu
fitrah. Fitrah insan. Seperti kita, fitrah kita sebagai hamba mahu bertuhan.
Mahu akur pada Pencipta. Pak cik rasa bukan?”soal Rudi melengkapkan perbualan
itu.
Ketika itu
Herman semakin tekun. Sama ada meresapi kata-kata anak muda itu atau memikirkan
sesuatu yang wajib diambil peduli.
“Rasa
apa?”tangkas Herman bertanya. Dia bukan kurang pasti tetapi ingin penegasan
daripada Rudi.
“Fitrah
itu?”Suasana kedai berusia lebih dua dekad itu bungkam seketika. Rudi
tersenyum. Herman membisu.
“Ya,
kadang-kadang… Kadang-kadang…”Agak lama Herman mahu menjawab pertanyaan itu.
Dia tergumam seketika.
Herman
kembali memerhati ke luar jendela seraya menyingkap langsir yang menghalang
pandangan. Dia merenung sesuatu. Barangkali sesuatu perkara yang selama ini
dianggap enteng semakin ligat berputar di kepalanya. Kini, bertukar menjadi
penting. Rudi membiarkan lelaki itu tenggelam dalam suasana tenteram. Sebelum
pulang Rudi berjanji akan datang pada keesokan harinya. Pastinya untuk menjahit.
Bukan hanya menjahit pakaian bahkan luka pada jiwa. Seperti memulakan sulaman
yang sukar. Hari ini mungkin selembar benang. Esok, selembar lagi. Inilah festival dakwah antara pecinta Allah yang meminati fesyen. Sebuah festival fitrah sedang berlangsung.
No comments:
Post a Comment