Assalamualaikaum dan Salam Sejahtera
Kali ini saya titipkan untuk anda sebuah cerpen berjudul Denai Kecil Jalan Harapan I.
Kali ini saya titipkan untuk anda sebuah cerpen berjudul Denai Kecil Jalan Harapan I.
Denai Kecil Jalan Harapan I
Bumiku
yang kian pudar
Siapa yang melihat
Dikala kita tersedar
Mungkinkah terlewat.
Siapa yang melihat
Dikala kita tersedar
Mungkinkah terlewat.
Sebatang sungai
di hadapan cukup memberi erti kehidupan pada Apit. Airnya mula berubah.
Dahulunya sungguh jernih dan murni. Kini keruh sekeruh pemikiran yang sudah
diracuni hasad dan ketamakan.
Masih jelas
dalam ingatan Apit. Sungai inilah tempat dia dan rakan-rakan bermandi-manda.
Sungai ini
sudah tidak dapat dinimati airnya.
Jika dahulu
Apit akan ke hulu sungai untuk mencari buah-buahan hutan sebagai santapan
harian mereka sekampung. Dia sungguh mengidam pada keenakkan buah sentul serta
buah nyabung yang rasanya seperti mangga ranum juga buah pilau yang manis. Namun
kini keadaannya sudah berubah. Keadaan sudah menjadi lebih teruk.
“Sudah beberapa
kali aku katakan. Di hulu sana ada empangan besar yang sedang dibina. Kita semua
bakal kebuluran.”Jelas penduduk tua dalam kalangan mereka, Pak Jirin.
“Perlukah kita
berpindah ke tempat lain?” Apit menyoal.
“Lihatlah
nanti. Belum ada tempat yang sesuai untuk kita jadikan rumah baharu.”jelas Pak
Jirin sebaik mengetuk buah keras ke atas batu lalu dinikmati isinya dengan
segera.
Begitu pekat
kegusaran yang terpancar pada wajah penduduk desa yang baru menerima khabaran
itu. Sekali lagi Apit melihat sungai yang kian perlahan arusnya di hadapan
mereka. Warnanya pula kian keruh dan kayu-kayu sebesar pemeluk hanyut bersama.
Jelas kini mereka diancam.
“Apit! Apit!.”
Tiba-tiba Injut anak bongsu Pak Jirin meluru arahnya seraya menjerit namanya.
Apit kelihatan agak terkejut.
“Kenapa?” Apit
menyoal seperti memaksa.
“Habislah.
Habislah kita. Bukit Sarang Puyuh sudah digondol.”beritahu budak itu
termengah-mengah.
“Cis! Celaka!”
getus Apit tidak dapat menahan kemarahan.
Dia terus
memanjat sebatang pokok lalu bertempik kearah penduduk kampung.
“Kumpul semua!
Kumpul!”
Sekejap sahaja,
semua penduduk kampung berkumpul di sekitar bawah pokok tempat Apit bertenggek.
“Ayuh
keluargaku, ayuh rakan-rakanku. Di sana. Di sebalik bukit sana ada si durjana
sedang rakus meratah hutan belantara. Kumpulkan semua orang-orang kita.
Sekarang juga kita akan ke Bukit Sarang Puyuh untuk menyelamatkan masa hadapan
kita.” Seru Apit agak menjerit.
“Ya selamatkan
rimba kita! selamatkan rumah kita! selamatkan bumi kita!”teriak seorang
penduduk penuh tenaga seperti dirasuk semangat hutan.
Apit ialah
pemuda yang menjadi harapan penduduk kampung. Dia gagah, dan cekap memanjat
pokok-pokok yang besar dan tinggi. Dia juga rajin mencari makanan—buah-buahan
hutan untuk saudara-maranya.
“Hati-hatilah
dalam perjalanan. Ingat mereka tidak mudah memahami kita. Namun harapan kita
amatlah besar agar keadaan kembali seperti dahulu.” Pak Jirin memberi nasihat
kepada Apit sebagai kata-kata semangat. Pak Jirin tidak dapat menyertai mereka
kerana terlalu pikun untuk mendaki bukit yang cerun dan mencabar.
Hampir tiga
puluh pemuda kampung berjaya dikumpul. Lantas Apit mengetuai mereka menuju ke
Bukit Sarang Puyuh yang melalui denai-denai kecil yang berliku dan berbukit
untuk sampai ke puncaknya. Sekali-sekala mereka menggapai tumbuhan hutan yang
menjalar dan berbelit pada dahan pokok untuk memudahkan pergerakan mereka.
Mereka melompat dari satu pokok ke pokok yang lain dengan tangkas.
Semasa mereka
dalam gerombolan menuju ke Bukit Sarang Puyuh, Apit memulakan nyanyian tradisi
mereka. Kemudiannya kesemua mereka menyanyi bersama. Ternyata nyanian itu telah
menambah semangat yang semakin meronta-ronta mahu menyelamatkan kehidupan
mereka.
Lihatlah unggas di sana
Lihatlah pohon-pohon besar
Lihatlah sungai yang jernih
Indah alam ini kita
pelihara.
Setibanya di
kaki bukit, terdengar bunyi letupan yang menggegarkan rimba. Letupan itu
semstinya berpunca dari kawasan pembinaan empangan tidak jauh dari situ. Setiap
kali letupan meletus, mereka menjerit ‘rimba’ dengan sekuat hati.
“Rimba!” teriak
mereka bersama. Mereka menyeru semangat cintakan rimba yang sudah ditanamkan
oleh moyang ke dalam diri mereka sejak dari dahulu. Rimba telah menjadi
sebahagian darah daging mereka.
Walaupun mereka
berteriak dengan sekuat dan sepenuh tenaga, letupan itu terlalu bingit untuk
ditewaskan. Letupan itu adalah letupan kuari yang dijalankan syarikat pembinaan
projek empangan untuk mendapat batu-batuan sebagai bahan binaan.
Apit lekas
memanjat sebatang pokok yang agak tinggi melangit untuk meninjau kawasan
sekeliling. Apit melihat suasana sekeliling dengan sayu. Rimba sudah tenat.
Banyak kemusnahan telah mendominasi kawasan mereka mendapatkan hasil hutan.
Di kawasan itu
juga sebelum ini, tumbuh subur herba-herba yang sukar untuk didapatkan di
kawasan lain.
Kini, senduduk
putih penawar racun dan bisa telah tiada. Begitu juga tumbuhan-tumbuhan yang
lain. Fikiran Apit terus runsing. Jika ada dalam kalangan mereka cedera dimanakah
mahu mencari pokok ganda rusa. Kadok serta patawali yang menjadi ubat mereka jika
dijangkiti malaria juga tidak lagi kelihatan. Cuma yang kelihatan adalah
tunggul-tunggul kayu. Perdu meranti bukit atau meranti seraya yang berakar banir
itulah yang hanya jelas disaksikan. Batang dan dahannya sudah ditumbangkan.
Apit juga melihat pohon hutan yang lain seperti jelutong, mahang, gaharu dan
kapur telah ditebang. Kawasan yang dahulunya kaya dengan tumbuhan hutan kini telah
gondol dan lapang.
Apit menjadi
marah melihat rumahnya dimusnahkan
oleh tangan-tangan yang tamak dan rakus.
Apit melompat
dari pokok tempat dia meninjau kawasan ke tanah dengan pantas. Kemudian dia
meluru ke arah kawasan pembinaan itu. Rakan-rakannya terdiri daripada pemuda
kampung juga turut mengikuti Apit dari belakang segera.
“Hentikan
semua! Hentikan kerja-kerja ini! Usah rosakkan rumah kami!” Apit memberi amaran dengan nada kuat ke arah sekumpulan
pekerja yang sedang leka memotong kayu-kayu balak yang agam menggunakan mesin
pemotong.
Mereka tergamam
melihat Apit dan rakan-rakannya. Tidak lama kemudian seorang daripada mereka
yang mungkin ketua pekerja di situ mara kehadapan.
“Pergi dari
sini! Pergi!”sergah ketua pekerja itu.
“Kami melarang
kalian semua merosakkan tanah kami.” Jelas Apit dengan berani.
“Pergi!” Ketua
pekerja itu menyergah dengan lebih kuat lalu menghalakan selaras senapang tepat
ke tubuh Apit. Apit sedikit pun tidak berganjak.
Dia sebenarnya
belum pernah melihat rupa senjata sedemikian sebelum. Sebetulnya, seumur hidup
Apit belum pernah dia berjumpa dengan manusia yang rakus dan zalim seperti yang
sedang dihadapinya kini.
Kemudian, piston
senapang laras itu dilepaskan. Rusuk Apit terasa sakit yang mencengkam.
Tubuhnya terkulai layu tersembab ke atas tanah. Fikirannya melayang dan
kata-kata Pak jirin menemani khayalan itu.
“Hati-hatilah
dalam perjalanan. Ingat mereka tidak mudah memahami kita. Namun harapan kita
amatlah besar agar keadaan kembali seperti dahulu. Ingat Apit, manusia tidak
pernah cuba memahami bahasa kita.
Mereka tidak
pernah menghargai jasa kita. Padahal mereka daripada kalangan manusia yang
berfikiran bijak tidak cuba memahami kita. Sejak sekian lama, kita daripada kalangan
orang utan amat mencintai alam ini. Kita menyebarkan biji-biji benih rimba yang
kita makan buah-buahnya agar hutan ini terus hidup dengan makmur. Namun mereka
datang membawa kerosakan dan ketamakan bermaharajalela. Pupuslah kita dan anak
cucu kita.”
Pelupuk mata
Apit semakin berat. Rakan-rakan Apit meratap dan berteriak kerana satu lagi
pahlawan daripada kalangan orang utan hilang dalam perjuangan rimba. Denai
kecil jalan harapan mereka telusuri mengusung pahlawan rimba ke kampung
halaman.
Cetus Ilham
Ada segelintir pemimpin yang tidak mengambil kira dan tidak mahu mendengar pendapat rakyat. Mereka(pemimpin) beralasan pendapat itu adalah bukan pendapat kesemua rakyat dan hanya pendapat minoriti. Realitinya kumpulan minoriti inilah yang terkorban. Sedangkan rakyat(termasuk golongan minoriti) bekerja dan berkhidmat kepada negara. Malah ada juga pemimpin yang mengunakan kekuasaan mereka untuk mengaut kekayaan hasil bumi seterusnya merasakan tidak bersalah atas kerosakan yang telah mereka cetuskan terhadap alam sekitar. Aduh malang sungguh bumi bertuah ini jika dipimpin manusia seperti!
Sekian, terima kasih.
1 comment:
entry yang menarik,, mumtaz! :)
Post a Comment