Penerima Surat

Tuesday, April 9, 2013

Cerpen: Denai Kecil Jalan Harapan I

Assalamualaikaum dan Salam Sejahtera

Kali ini saya titipkan untuk anda sebuah cerpen berjudul Denai Kecil Jalan Harapan I. 




Denai Kecil Jalan Harapan I


Bumiku yang kian pudar
Siapa yang melihat
Dikala kita tersedar
Mungkinkah terlewat.

Sebatang sungai di hadapan cukup memberi erti kehidupan pada Apit. Airnya mula berubah. Dahulunya sungguh jernih dan murni. Kini keruh sekeruh pemikiran yang sudah diracuni hasad dan ketamakan.
Masih jelas dalam ingatan Apit. Sungai inilah tempat dia dan rakan-rakan bermandi-manda.
Sungai ini sudah tidak dapat dinimati airnya.
Jika dahulu Apit akan ke hulu sungai untuk mencari buah-buahan hutan sebagai santapan harian mereka sekampung. Dia sungguh mengidam pada keenakkan buah sentul serta buah nyabung yang rasanya seperti mangga ranum juga buah pilau yang manis. Namun kini keadaannya sudah berubah. Keadaan sudah menjadi lebih teruk.
“Sudah beberapa kali aku katakan. Di hulu sana ada empangan besar yang sedang dibina. Kita semua bakal kebuluran.”Jelas penduduk tua dalam kalangan mereka, Pak Jirin.
“Perlukah kita berpindah ke tempat lain?” Apit menyoal.
“Lihatlah nanti. Belum ada tempat yang sesuai untuk kita jadikan rumah baharu.”jelas Pak Jirin sebaik mengetuk buah keras ke atas batu lalu dinikmati isinya dengan segera.
Begitu pekat kegusaran yang terpancar pada wajah penduduk desa yang baru menerima khabaran itu. Sekali lagi Apit melihat sungai yang kian perlahan arusnya di hadapan mereka. Warnanya pula kian keruh dan kayu-kayu sebesar pemeluk hanyut bersama. Jelas kini mereka diancam.
“Apit! Apit!.” Tiba-tiba Injut anak bongsu Pak Jirin meluru arahnya seraya menjerit namanya. Apit kelihatan agak terkejut.
“Kenapa?” Apit menyoal seperti memaksa.
“Habislah. Habislah kita. Bukit Sarang Puyuh sudah digondol.”beritahu budak itu termengah-mengah.
“Cis! Celaka!” getus Apit tidak dapat menahan kemarahan.
Dia terus memanjat sebatang pokok lalu bertempik kearah penduduk kampung.
“Kumpul semua! Kumpul!”
Sekejap sahaja, semua penduduk kampung berkumpul di sekitar bawah pokok tempat Apit bertenggek.  
“Ayuh keluargaku, ayuh rakan-rakanku. Di sana. Di sebalik bukit sana ada si durjana sedang rakus meratah hutan belantara. Kumpulkan semua orang-orang kita. Sekarang juga kita akan ke Bukit Sarang Puyuh untuk menyelamatkan masa hadapan kita.” Seru Apit agak menjerit.
“Ya selamatkan rimba kita! selamatkan rumah kita! selamatkan bumi kita!”teriak seorang penduduk penuh tenaga seperti dirasuk semangat hutan.
Apit ialah pemuda yang menjadi harapan penduduk kampung. Dia gagah, dan cekap memanjat pokok-pokok yang besar dan tinggi. Dia juga rajin mencari makanan—buah-buahan hutan untuk saudara-maranya.
“Hati-hatilah dalam perjalanan. Ingat mereka tidak mudah memahami kita. Namun harapan kita amatlah besar agar keadaan kembali seperti dahulu.” Pak Jirin memberi nasihat kepada Apit sebagai kata-kata semangat. Pak Jirin tidak dapat menyertai mereka kerana terlalu pikun untuk mendaki bukit yang cerun dan mencabar.
Hampir tiga puluh pemuda kampung berjaya dikumpul. Lantas Apit mengetuai mereka menuju ke Bukit Sarang Puyuh yang melalui denai-denai kecil yang berliku dan berbukit untuk sampai ke puncaknya. Sekali-sekala mereka menggapai tumbuhan hutan yang menjalar dan berbelit pada dahan pokok untuk memudahkan pergerakan mereka. Mereka melompat dari satu pokok ke pokok yang lain dengan tangkas.
Semasa mereka dalam gerombolan menuju ke Bukit Sarang Puyuh, Apit memulakan nyanyian tradisi mereka. Kemudiannya kesemua mereka menyanyi bersama. Ternyata nyanian itu telah menambah semangat yang semakin meronta-ronta mahu menyelamatkan kehidupan mereka.
Lihatlah unggas di sana
Lihatlah pohon-pohon besar
Lihatlah sungai yang jernih
Indah alam ini kita pelihara.
Setibanya di kaki bukit, terdengar bunyi letupan yang menggegarkan rimba. Letupan itu semstinya berpunca dari kawasan pembinaan empangan tidak jauh dari situ. Setiap kali letupan meletus, mereka menjerit ‘rimba’ dengan sekuat hati.
“Rimba!” teriak mereka bersama. Mereka menyeru semangat cintakan rimba yang sudah ditanamkan oleh moyang ke dalam diri mereka sejak dari dahulu. Rimba telah menjadi sebahagian darah daging mereka.
Walaupun mereka berteriak dengan sekuat dan sepenuh tenaga, letupan itu terlalu bingit untuk ditewaskan. Letupan itu adalah letupan kuari yang dijalankan syarikat pembinaan projek empangan untuk mendapat batu-batuan sebagai bahan binaan.
Apit lekas memanjat sebatang pokok yang agak tinggi melangit untuk meninjau kawasan sekeliling. Apit melihat suasana sekeliling dengan sayu. Rimba sudah tenat. Banyak kemusnahan telah mendominasi kawasan mereka mendapatkan hasil hutan.
Di kawasan itu juga sebelum ini, tumbuh subur herba-herba yang sukar untuk didapatkan di kawasan lain.
Kini, senduduk putih penawar racun dan bisa telah tiada. Begitu juga tumbuhan-tumbuhan yang lain. Fikiran Apit terus runsing. Jika ada dalam kalangan mereka cedera dimanakah mahu mencari pokok ganda rusa. Kadok serta patawali yang menjadi ubat mereka jika dijangkiti malaria juga tidak lagi kelihatan. Cuma yang kelihatan adalah tunggul-tunggul kayu. Perdu meranti bukit atau meranti seraya yang berakar banir itulah yang hanya jelas disaksikan. Batang dan dahannya sudah ditumbangkan. Apit juga melihat pohon hutan yang lain seperti jelutong, mahang, gaharu dan kapur telah ditebang. Kawasan yang dahulunya kaya dengan tumbuhan hutan kini telah gondol dan lapang.
Apit menjadi marah melihat rumahnya dimusnahkan oleh tangan-tangan yang tamak dan rakus.
Apit melompat dari pokok tempat dia meninjau kawasan ke tanah dengan pantas. Kemudian dia meluru ke arah kawasan pembinaan itu. Rakan-rakannya terdiri daripada pemuda kampung juga turut mengikuti Apit dari belakang segera.
“Hentikan semua! Hentikan kerja-kerja ini! Usah rosakkan rumah kami!” Apit memberi amaran dengan nada kuat ke arah sekumpulan pekerja yang sedang leka memotong kayu-kayu balak yang agam menggunakan mesin pemotong.
Mereka tergamam melihat Apit dan rakan-rakannya. Tidak lama kemudian seorang daripada mereka yang mungkin ketua pekerja di situ mara kehadapan.
“Pergi dari sini! Pergi!”sergah ketua pekerja itu.
“Kami melarang kalian semua merosakkan tanah kami.” Jelas Apit dengan berani.
“Pergi!” Ketua pekerja itu menyergah dengan lebih kuat lalu menghalakan selaras senapang tepat ke tubuh Apit. Apit sedikit pun tidak berganjak.
Dia sebenarnya belum pernah melihat rupa senjata sedemikian sebelum. Sebetulnya, seumur hidup Apit belum pernah dia berjumpa dengan manusia yang rakus dan zalim seperti yang sedang dihadapinya kini.
Kemudian, piston senapang laras itu dilepaskan. Rusuk Apit terasa sakit yang mencengkam. Tubuhnya terkulai layu tersembab ke atas tanah. Fikirannya melayang dan kata-kata Pak jirin menemani khayalan itu.
“Hati-hatilah dalam perjalanan. Ingat mereka tidak mudah memahami kita. Namun harapan kita amatlah besar agar keadaan kembali seperti dahulu. Ingat Apit, manusia tidak pernah cuba memahami bahasa kita.
Mereka tidak pernah menghargai jasa kita. Padahal mereka daripada kalangan manusia yang berfikiran bijak tidak cuba memahami kita. Sejak sekian lama, kita daripada kalangan orang utan amat mencintai alam ini. Kita menyebarkan biji-biji benih rimba yang kita makan buah-buahnya agar hutan ini terus hidup dengan makmur. Namun mereka datang membawa kerosakan dan ketamakan bermaharajalela. Pupuslah kita dan anak cucu kita.”
Pelupuk mata Apit semakin berat. Rakan-rakan Apit meratap dan berteriak kerana satu lagi pahlawan daripada kalangan orang utan hilang dalam perjuangan rimba. Denai kecil jalan harapan mereka telusuri mengusung pahlawan rimba ke kampung halaman.







Cetus Ilham

Ada segelintir pemimpin yang tidak mengambil kira dan tidak mahu mendengar pendapat rakyat. Mereka(pemimpin) beralasan pendapat itu adalah bukan pendapat kesemua rakyat dan hanya pendapat minoriti. Realitinya kumpulan minoriti inilah yang terkorban.  Sedangkan rakyat(termasuk golongan minoriti) bekerja dan berkhidmat kepada negara. Malah ada juga pemimpin yang mengunakan kekuasaan mereka untuk mengaut kekayaan hasil bumi seterusnya merasakan tidak bersalah atas kerosakan yang telah mereka cetuskan terhadap alam sekitar. Aduh malang sungguh bumi bertuah ini jika dipimpin manusia seperti!

Sekian, terima kasih.


1 comment:

sakinahkamal said...

entry yang menarik,, mumtaz! :)