Penerima Surat

Monday, July 23, 2012

Rayuan Pendosa

Rayuan Pendosa

Ya Rab kurniaMu terlalu agung
nikmatMu tidak terhitung
aku lemah dalam kabus dunia
yang menyaluti batang tubuh ini
dengan bau kepura-puraan
dengan wangian semerbak kealpaan

Aku berasa terzalim dengan cengkaman sendiri
aku berasa terhina  dek cacian sendiri
aku pendosa yang mengharap rayu akan kelapangan. 
Aku menambah rasa kesal dalam doa 
aku menyingkir angkuh dalam sujud
ingin syukur kerana telah memberi aku waktu
menadah tangan serta menangis meminta sesuatu
menitis air mata rindu memohon segala ampun.

Harus aku sedar dalam kealpaan ini
mengikut kehendakMu yang masih
memberi ruang seluas-luas kepada hamba

Aku mengerti setiap sesuatu adalah milikMu
diberi pinjam sementara cuma 
diuji paras iman dan taqwa dalam persinggahan ini
TuhanKu aku pesalah yang harus diberi tunjuk
bimbingi aku dan selamatkan aku
dalam pelayaran bahtera merentas segara.

Harun ar-Rosyid Muhani
3 Ramadan 1433
Segamat








Cetus ilham
Sajak ini ditulis kerana kekesalan saya sebagai hamba yang lalai dan asyik akan dunia. Saya ada pandangan yang kurang baik sebelum ini. Saya kurang syukuri nikmatNya yang terlalu bermakna. Semuanya akibat cinta dunia, saya lemah. 




Firman Allah maksudnya:
"Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih."

Surah Ibrahim:7








No comments: