Penerima Surat

Sunday, September 28, 2014

Bengkel Potret #1

21 September 2014

Hari pertama bengkel potret. Aku datang awal ke fakulti. Menaiki basikal MTB. Pukul sepuluh pagi, kelibat Mus dengan housematenya muncul depan pintu lif. Aku biasa-biasa. Aku membetulkan duduk. Bernafas dengan teratur. Bersedia seadanya. 

Nama housemate Mus, Khairi. Kami bertukar maklumat latarbelakang diri. Khairi juga merupakan coursemate Mus. Fizik. Mereka budak fizik yang kini duduk di kelas seni. Bagaimanakah? Aku dapat merasakan pertembungan antara sains dan seni bakal terjadi. Sudah tentu aku bakal tenggelam dalam salji yang berupa soalan-soalan berbentuk fizik. Teori kinetik, velositi, pecutan, dan inersia. 

Aku tenang sahaja. Sambil merenung ke luar jendela untuk menjadikan pertemuan ini bermakna. Terus terang sahaja aku ujarkan pada mereka, "Aku tak ikut mana-mana kelas melukis." Aku pun sekadar suka-suka melukis. Hanya ada sekelumit bakat anugerah daripada Tuhan. Yang aku sayang jika hilang begitu sahaja. Sebab itulah, aku set up bengkel ni. Yang ada hanya minat, pensel dan kertas. Tujuan aku sebenarnya buka bengkel ini pun, sekadar mahu mengumpul rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. 

Aku bentangkan perancangan masa depan bengkel ini. Aku katakan pada mereka, "Kita boleh jual lukisan. Dengan duit hasil jualan, kita beli pula lukisan-lukisan OKU." Aku rasa itu satu bentuk bantuan. Seni tidak memandang paras rupa. Kita bukannya membeli lukisan, tetapi kita mengagumi seni. 

Kemudian, aku menyambung, "Kita juga boleh buat buku. Cerpen setiap peserta bengkel kita kumpulkan dalam satu buku. Tapi buku ni special. Kita letak ilustrasi dalam bentuk potret. Sebab itu kita kena kumpul ramai orang untuk menulis. Apa macam?" 

Khairi meneguk air liur. Dia seakan kagum. Tapi bagi aku idea ni biasa-biasa saja. Bukannya idea mahu ke angkasa lepas pun. Semua orang boleh buat. Juga, tidaklah serumit langkah Kajang pun. Sekadar duduk-duduk, lukis-lukis, dan tulis-menulis. Alah. Biasa sangatlah. Tetapi, yang biasa-biasa ini pun orang tak nak buat. 

Kita bukannya membeli lukisan, tetapi kita mengagumi seni. Sebab apa lukisan-lukisan masih mampu dijual beli? Sedangkan sudah ada teknologi dan fotografi? Sebab dalam susuk manusia itu ada ruh. Ruh kan sifatnya seni. Masakan mungkin seni membenci seni?

Khairi kemudian menanya tentang pengalaman aku melukis. Bagaimana? Bila? Di mana? Dan mengapa? Semua aku jawab. Sehinggakan ada soalan yang terpaksa aku jawab dengan memasukkan falsafah. 

"Contohnya Leonardo da Vinci. Mamat ni seorang inventor, ahli matematik dan fizik, tapi sangat expert melukis. Sebenarnya, lukisan realism ni amat berterima kasih dengan matematik sebab sediakan skala. Kalau tak, larilah semua portion potret."

Dia kelihatan amat tertarik dengan penjelasan yang aku berikan. Dia rasa fizik dan seni tak lari jauh. Kemudian kami menamatkan bengkel pertama kami. Sebelum berpisah, aku pesan kepada mereka supaya ajak lagi rakan-rakan lain yang sama kepala. Mereka meninggalkan perkarangan Mercu Alam Bina. Aku mengayuh basikal dengan girang. 

Lagenda: Nama-nama watak di atas bukan nama sebenar dan jalan cerita juga bukanlah kisah benar. 



Monday, December 23, 2013

Salam, Cinta, dan Ungu

"Ini pelan perancangan kita untuk jangka masa sepuluh tahun."
"Awak yakin?"
"Tentulah. Kalau kita gagal pun. Kita tidak rugi. Kita sebenarnya membayar kejayaan itu dengan sedikit kegagalan,"ujar Anas memberi keyakinan.

Khatijah masih ragu-ragu. Anas dapat membaca air muka tunangnya itu. Anak mata Khatijah masih merenung tepat ke arah Khairi, adik bongsunya yang ralit membelek buku cerita. Namun hatinya masih celaru. Adakah apa yang mereka rancangkan akan menjadi? Bukan kecil risikonya yang bakal ditanggung.

"Nah baca buku ni." Anas menyerahkan sebuah buku. Masih berbalut plastik.
"Terima kasih,"sahut Khatijah ringkas. Dia mengenali penulis buku itu. Seorang yang berwawasan dan berfikiran terbuka.

"Jom, kita ke masjid."
"Oh ya, sudah pukul sebelas pagi." Khatijah memimpin tangan Khairi lalu mengekori Anas dari belakang menuju ke masjid ungu bersebelahan taman rekreasi.




10 tahun kemudian.

"Alhamdulillah. Kita sudah berjaya. Kalau hendak dibandingkan dulu dengan sekarang memang macam langit dan bumi," ungkap Anas seraya mengusap ubun-ubun isterinya penuh kasih sayang.

"Alhamdulillah ini semua kurnia Allah. Kita mesti tambah amal ibadah kita lagi," kata Khatijah meluahkan rasa syukurnya.

"Ya, pelan perancangan kita sepuluh tahun dahulu berjaya. Kini, kita ada syarikat ejen hartanah sendiri. Ada beberapa rangkaian perniagaan. Dan sudah tentu kejayaan ini bukan milik kita sahaja."Anas tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya. Semalam beberapa hartanah miliknya sudah diberikan geran penuh oleh pihak bank.

"Ya, bukan senang kan bang? Turun naik office dan bank. Rugi dalam business pun dah banyak kali. Kata mentor saya, dalam perniagaan ada sepuluh kali percubaan. Sembilan daripada sepuluhnya adalah kegagalan. Manakala hanya satu sahaja yang berjaya."

"Ya, bijak isteri abang. Yang itu orang sukar nak terima. Yang mereka tahu, cuma, sembilan per sepuluh dari punca rezeki adalah daripada perniagaan. Sebenarnya kita harus berani untuk gagal. Bersedia untuk gagal,"ujar Anas bersemangat.

Hari ini pasangan bahagia itu membawa dua orang anak kecil mereka, Tariq dan Atiqah ke taman rekreasi bersebelahan masjid ungu. Anak-anak mereka sedang ralit membaca buku cerita. Taman dan masjid itu masih seperti sepuluh tahun dahulu, di mana tempat mereka merancang pelan perniagaan bersama. 

"Ramai orang tanya abang. Kenapa kita hendak kaya dan bersara muda?" Anas bersuara. Dia sebenarnya ingin mahu berkongsi sesuatu dengan Khatijah.

Khatijah hanya menggeleng-geleng sambil memuncungkan mulut. Dia sebenar sudah lama maklum hakikat itu. Sengaja bermanja-manja dengan pemimpin hidupnya.

"Satu. Kita ada matlamat lain yang lebih penting. Kedua kerana cinta kepada manusia. Ketiga, inilah option yang paling baik selain bekerja dari muda hingga usia persaraan." 

"Ingatkan orang di sekeliling abang bahawa, yang penting bukanlah perniagaan. Yang penting adalah perancangan." Khatijah menambah.

"Ya. Setiap kali abang berkongsi ilmu dengan rakan-rakan,  abang ingatkan bahawa, kekayaan semata tidak membawa apa-apa jika kita tidak mengetahui tujuan hidup ini. Biarlah kaya itu bukan tujuan tetapi sebagai alat tunggangan yang harus dirancang dan diuruskan dengan sempurna."

"Ya, sudah jam sepuluh pagi. Mari kita dhuha di masjid ungu."Khatijah mengingatkan.

Anas, Khatijah dan cahaya mata mereka berjalan berpimpingan tangan menuju ke masjid dengan ceria. 




Marilah kita menambah ilmu.
Untuk tempahan buku PM saya di https://www.facebook.com/sbutirpasir
RM24 termasuk kos penghantaran.



Friday, September 6, 2013

Puisi: Halangan

Halangan

Kita dipisahkan dalam bentuk dimensi ruang dan waktu
Aku tidak pernah menemui Muhammad Morsi-terpisah kerana berbeza ruang
Aku tidak bisa menemui Hang Tuah-terpisah kerana berbeza waktu

Tuhan menciptakan ruang diisi dengan pelbagai objek-lautan, benua, tanah, gunung-ganang
Malah Tuhan juga menciptakan waktu penuh abstrak-dahulu, kini, benci, suka, duka, aman, tenteram.

Namun cuba difikirkan kembali 
tujuan-tujuan hidup
memperhambakan diri kepadaNya
Ternyata kita sedari ruang dan waktu ini bisa dihancurkan
Objek dan abstrak turut luluh
maka bertemulah kita dalam satu dimensi yang lain
iaitu akhirat.


Wednesday, August 21, 2013

Cerpen: Rencana Tuhan


Sepanjang jalan pergerakan kenderaan tersekat-sekat. Kesal. Aliran trafik yang macet telah menjadi rutin harian. 

Atiqah suri rumahku telah menghantar pesanan ringkas. Mungkin risau aku pulang terlalu lewat. Jalan menghala ke Kuala Lumpur agak lancar pula pergerakannya. Aku cemburu melihat kenderaan yang meluncur laju di laluan sana .

Tingkap ditutup rapat. Aku memainkan CD Zikir Terapi untuk menenangkan diri. Zikir-zikir menguasai ruang. Selesa dan tenteram. Aku memandu kereta perlahan-lahan mengekori deretan kenderaan yang beratur di hadapan.

Pandanganku terpaku sejurus mengerling ke cermin pandang sisi. Cahaya merah biru berkilau di susuli siren yang bingit. Kereta dan lori mula mengimpit ke bahu jalan. Aku turut berbuat demikian dalam gelisah. Sekilas lalu sebuah trak bomba melepasiku dengan pantas. Aku tergigil dalam resah.

Dahi dan tengkuk mula melengas. Seperti rasa cemas juga. Telefon bimbit yang terlantar di atas dashboard segera kucapai.

“Saya cuma hendak pastikan awak dan anak-anak selamat. Saya risau kalau ada perkara yang tidak diingini berlaku pada keluarga kita. Entahlah tiba-tiba perasaan resah datang kembali. Rasa bersalah.”ujarku meluahkan rasa tidak menentu pada Atiqah yang aku rasakan dapat mengubat keresahanku. Hanya Atiqah yang tahu punca rasa tidak keruan ini. Setelah kuceritakan lipatan sejarah itu setelah dia menjadi teman hidup.

“Mungkin awak letih. Nanti sampai rumah awak istirehat. Jangan dikenang kisah itu lagi,”saran Atiqah. Aku sedikit reda mendegar pertuturannya.

Kenderaan di laluan yang sukar itu mula bergerak sedikit demi sedikit sebaik trak bomba melepasi mereka.

Benakku dihantui kisah pahit itu. Amat sukar aku lupakan. Benar.

 “Astaghfirullah.” Aku cuba menenangkan resah. Hairannya, perasaanku tetap kecamuk. Aku sedar rencana Tuhan siapa pun tidak mampu terlepas.

***

“Khairul aku mahu pergi dahulu.”teriakku ke arah Khairul yang hanya bercelana pendek. Dia masih berendam di dalam sungai. Timbul tenggelam. Badannya yang gelap seperti disapu minyak apabila dibasahi air. Berkilat.

“Ya. Ya, pulanglah dulu. Aku belum puas.”

“Aku ke rumah Saim. Mahu tolong Saim kutip kelapa tua. Tidaklah macam kau. Duduk bawah ketiak mak sahaja.”

“Cis! Nanti aku datang.” Khairul sempat menunjukkan buku limanya kepadaku. Dia kemudian terkinja-kinja dalam air yang tidak jernih itu.

Dalam fikiranku terus menerawang untuk menikmati isi kelapa muda yang enak dan manis. Air kelapa sungguh menyegarkan di waktu kemarau. Rumah Saim banyak pohon kelapa. Kebanyakkannya kelapa gading dan kelapa mawar.

Kelapa-kelapa yang kering kami kutip untuk dijual di pekan. Sebiji lima puluh sen. Jika ada seratus biji. Aku, Saim dan Khairul berkongsi wang sebanyak lima puluh ringgit.

Ayah dan emak Saim amat menggalakkan kami mengutip kelapa di rumahnya. Malah ayah Saim yang mengesyorkan. Katanya, “belajar berdikari”. Aku ada memendam benci dengan orang tua Saim sebenarnya. Orang tua itu memerli kami,”Usah mandi di paya longkang. Itulah sebabnya kau berkudis buta.”.

Langit petang itu elok. Tiada tompok-tompok awan mendung. Cerah sahaja. Saim kulihat sedang memungut kelapa kering yang bertaburan di atas tanah. Ada kelapa dara yang masih rendah lagi dua tiga batang.

Memang ayah Saim gemar membiakkan pokok kelapa. Mungkin sebab itu halamannya dipenuhi pokok-pokok kelapa. Aku mendongak ke sebatang pohon kelapa. Ada kelapa muda. Masih hijau cair. Bergantungan dalam gugusan. Aku mula terngiur membayangkan air kelapa muda yang enak.

“Hei, lihat ni.”Khairul berteriak tidak beberapa jauh. Dia memegang sesuatu yang kecil. Sering kutemui bersama-sama penghisap rokok. Pemetik api berwarna merah.

“Mana kau jumpa? Benda ini orang-orang tua saja yang ada.”Saim tertarik sehingga kerjanya tergendala. Baju t-shirt merah lusuhnya yang kerapkali dipakai, ditarik bucu lengannya lalu dikesat dahi berpeluh.

“Aku jumpa di tepi sungai. Itulah kau Saim tidak mahu mandi di sungai. Macam-macam kami jumpa.”kata Khairul sambil tergaru-garu tengkuk yang berdaki. Kemudian digaru pula betis yang tertedah. Dia senang bercelana pendek sama sepertiku.

“Bukan sungai tapi paya. Longkang-longkang dari rumah-rumah semua menghala ke situ. Paya itu busuk baunya. Mak dan ayah aku tak benarkan mandi di paya. Bahaya.”Saim menjuih bibir.

Khairul terdiam. Aku juga terfikir sejenak. Aku tahu dia sangat akur dengan perintah ibunya. Tidak seperti aku yang sering melanggar nasihat emak dan ayah. Semua sungai yang menurut Saim paya longkang di kampung ini, telah aku dan Khairul rasai kesejukannya. Airnya sejuk dan sukar dipercaya sumbernya adalah longkang.

“Tapi airnya tidak keruh dan sejuk pula.”Aku pula mencelah cuba membela Khairul.

“Lepas mandi kita mesti panaskan badan dengan ini.”

Khairul terus bermain api.

Aku penuh teruja. Khairul cuba mengacuhkan api pada timbunan pelepah kelapa kering. Mujur dilarang Saim. Aku merenggut pemetik api itu daripada tangan Khairul. Kemudian aku berlari ke timbunan sabut kelapa dan cuba membakarnya. Belum sempat dinyalakan api, Khairul menyergahku. Aku berlari ke perdu kelapa. Cuba memanjat tetapi tidak berjaya. Khairul mengejarku pantas. Lalu menerkam badan kurus keringku dan kami hampir-hampir tersembam atas rimbunan pandan. Khairul merangkul badanku kemudian merampas kembali pemetik api itu. Kami ketawa berdekah-dekah. Saim hanya memerhati. Aroma serai wangi menusuk hidungku. Aku menyuruh Khairul membakar serai wangi yang tumbuh di antara rimbuan pandan dan pucuk manis. Tentu baunya semerbak harum.

Saim tidak duduk senang. “Jangan main api. Jangan.”

“Kenapa?”tanyaku. Kulihat Khairul mencabut sehelai daun serai wangi yang runcing dan panjang. Baunya menusuk hidung.

“Kecil kawan, besar lawan.”

“Wah, pandai kau bersajak.”

“Bukan sajak…peribahasa.”Khairul membetulkan disambut hilai ketawa kami. Saim mengetap bibir.

“Tak mengapalah. Aku mahu bakar semak-samun di belakang sana. Biar habis terbakar semua.” Aku menakut-nakutkan Saim. Kemudian aku mengajak Khairul beredar. Khairul menuruti tanpa banyak tanya.Kelapa muda  dan isinya yang manis aku lupakan. Saim keseorangan mengurus kelapa kering.

 “Jangan main api. Kecil lawan, besar kawan,”ujarku meniru gaya Saim. Khairul  tidak serik ketawa.

Aku dan Khairul terus berlari-lari merebut pemetik api yang bagi kami bukan mudah diperolehi. Kami berebut-rebut antara satu sama lain. Aku menggayakan seorang dewasa yang sedang menyalakan rokok dengan penuh bergaya.

“Macam Popeye.”Khairul berseloroh.

“Cis, kurang ajar.” Aku membaling batu kecil ke arahnya .  Dia tangkas mengelak. Gelak ketawanya yang terkekeh-kekeh menyakitkan hati.

Dalam keletihan kejar-mengejar, aku terpesona dengan  sepohon rambutan yang sarat dengan buah yang ranum. Buah rambutan itu merah menyala. Sekali lagi membuatkan aku menelan air liur.

Aku lihat Khairul lebih dahulu memanjat pokok itu. Dia hebat memanjat. Dia memetik buah rambutan yang ranum itu lalu menyumbat isi putih yang berjus masuk ke dalam mulutnya. Mulutnya kembung. Aku lantas turut memanjat.

“Diam, jangan bising.” Bisiknya sedang bertenggek atas dahan yang besar.

“Jangan bising. Nanti tuan punya rumah nampak. Mati kita.” Dia menambah. Aku sekadar mengangguk sahaja. Buah rambutan yang merah kupetik dan ratah isinya sepuas-puasnya.

“Malam ni kita ada operasi.” Khairul masih bertenggek. Tangannya tidak putus-putus mencapai rambutan dan menyumbat masuk isinya ke dalam mulut. Di satu ketika, dia meludah semula kerana tergigit biji rambutan yang pahit. Kemudian direnggut lagi buah rambutan yang bergayut di sisinya.

“Operasi?”

“Ya. Sia-sia kalau kita tidak manfaatkan mancis ni.”

“Pemetik apilah. Lighter, kata bapak aku.”Aku menggaru-garu kaki yang berparut. Bukan kerana kudis. Sebab digigit kerengga.

“Malam ini kita buat obor. Macam cerita dulu-dulu. Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi,” kata Khairul sambil berlagak seorang pahlawan dahulu dengan mendabik dada. Aku hampir tergelak melihat telatah Khairul yang kemudiannya nyaris terjatuh. Namun tangan kanannya cukup erat memegang dahan pokok.

 “Rumah Saim ada banyak sabut kelapa. Kita ikat pada batang kayu kemudian kita curahkan minyak gas padanya. Lebih mudah dibakar,”sambung Khairul.

“Wah, bijaknya kau,”pujiku.

Aku dan Khairul kemudian bercadang untuk pergi ke rumah Saim selepas Maghrib. Khairul menyaran supaya mengambil serat kelapa di laman belakang rumahnya untuk dibuat jamung api.

Seperti yang dijanjikan aku menanti Khairul di hadapan rumah Saim usai Maghrib. Aku berlindung di balik pokok bunga raya yang berdaun lebat. Aku cuba mengelak daripada dikesan ayah Saim yang baru pulang dari surau dengan motorsikalnya. Rumah Saim terang-benderang dilimpahi cahaya lampu kalimantang dari dalam.

Khairul sampai tidak beberapa lama kemudian bersama sebatang kayu seperti cota. Kami menyusup ke laman belakang rumah Saim terhendap-hendap. Aku membayangkan jamung itu nanti akan kami bawa berjalan sekeliling kampung. Sudah tentu budak-budak kampung yang melihat akan merasa kagum. Semestinya kami merasa megah.

Khairul mula mengikat serat sabut pada batang kayu. Setiap gerak-geri dikawal. Kami tidak mahu mereka tahu. Jika ayah Saim atau emaknya tahu mesti mereka menuduh kami hendak mencuri.

Jamung itu sudah siap dirapikan. Mataku menumpu ke arah rumah Saim penuh khuatir. Tubuhku berpeluh. Khairul mengarahku supaya aku memasuki kolong rumah Saim. Sama seperti rumah aku, Khairul dan kebanyakan rumah penduduk kampung semua berkolong. Di situlah letaknya minyak gas yang diisi dalam botol kaca. Ayah Saim yang punya. Aku yakin ayah Saim pasti meradang jika tahu tindakan kami.

Kami membongkok memasuki kolong itu. Khairul mencurah kesemua isi botol tergesa-gesa. Lalu dinyalakan api menggunakan pemetik api. Belum sempat dicucuh pada jamung, api menyambar mukanya lalu dibuang jamung itu ke atas tanah.

“Argh!” Aku melihat Khairul meraung kesakitan. Pedih. Mukanya habis melecur.

Sekejap sahaja api dari jamung itu merebak. Menjamah segala barang-barang di dalam kolong itu yang dijadikan setor barangan terpakai.

Aku menarik tangan Khairul keluar. Kami berlari meninggalkan kediaman Saim yang kian dimamah api. Begitu pantas. Sekejap sahaja api marak dan membakar rumah kayu itu dengan lahap. Kepulan asap hitam meruap ke langit malam seolah-olah memberitahu penduduk kampung tentang kecelakaan itu. Api yang menjulang-julang ke langit juga aku lihat tidak putus-putus menyalahkanku.

Aku dan Khairul meluru ke rumah masing-masing. Dalam kesal, cemas dan rasa bersalah gegendang telingaku tertangkap semacam bunyi pekikan siren. Aku menjangka tentu trak bomba, ambulan dan juga barangkali kereta polis berkejar ke rumah Saim. Aku mengintai dari jendela. Kilauan cahaya merah biru memancar terang. Aku menggigil ketakutan.

Pintu bilik dikunci dan aku berkurung agak lama sehingga siang dengan hanya sedikit tidur. Kerap terjaga. Melengas dan tidak tenteram. Kadang-kadang menangis.

Paginya, aku terdengar emak dan ayah berbual ketika bersarapan. Rumah Saim separuh dijilat api. Saim dan keluarganya selamat. Aku tergamam mengenang peristiwa malam tadi. Sungguh sukar diterima. Aku kerap kali terbayang Saim, ayah dan emaknya, datang menuntut bela. 































































Sunday, July 14, 2013

Puisi: Seorang Tua di Pinggir Jalan

Seorang Tua di Pinggir Jalan

Dalam keasyikan berzikir, 
di atas sejadah syahdu,
dia menginsafi masa lalu

Embun dinihari membawanya 
mengenang dosa-dosa silam 
yang membuncah
yang meresahkan.

Butir-butir tasbih 
membujuk jiwa yang sedih
Tiada ampunan dipohon 
hanya pada Rabbnya.

Ayat-ayat suci di kala subuh yang murni,
Al Fatihah yang dimengerti,
memberi kesan di hati.
Meraih faham nurani.

Jalannya masih panjang
Walau diri sudah meniti di pinggir usia
Baru mengerti erti hidup 
erti insan, dan 
makna seorang saksi di muka bumi.

Rasa diri ingin bersama-sama 
di jalan Nabi 
Merasai sedih, pedih dan rintih. 


Harun Al Rasyid
Segamat
5 Ramadan 1434H

Sunday, July 7, 2013

Sedikit Bahagia

Kilauan lampu neon yang memancar di sepanjang jalan menemani perjalanannya seorang diri. Hujan lebat telah reda dengan sedikit saki baki rintik gerimis halus. Sekali-sekala tubuhnya disapa kedinginan angin kota yang entah masih segar selepas hujan ataupun sudah larut dalam udara tercemar. Kemeja kelabu lusuh yang menyaluti tubuhnya sedikit basah. Kesejukan yang menusuk hingga ke tulang hitam berjaya dikurangkan dengan melilit mafla hitam pada leher. Sekali sekala dia membuka topi coklat menyeka rambutnya yang kusut. Sebenarnya dia ingin sekali membilas rambutnya yang sudah lama tidak dirapikan.

Kelam. Terowong laluan motosikal itu gelap dan sempit. Lampu yang sepatutnya menerangi jalan bawah lebuhraya itu terang benderang. Barangkali lampu itu sudah tiba masanya untuk manamatkan khidmat. Pada jalan dan pada penunggang motosikal. Juga pada manusia sepertinya. Lelaki itu ada juga terfikir barangkali manusia juga begitu. Sudah tiba masa mereka berehat , setelah semua khidmat dilangsaikan. Seharusnya mati lebih baik pada masa itu. Namun apa pula nasib si bayi yang mati ketika baru sahaja menjenguk alam yang asing ini? Mungkin. Mungkin khidmat hanya satu. Tetapi lebih besar. Iaitu memberitahu manusia bahawa hidup di dunia sementara sahaja. Ataupun lebih penting lagi, mereka cuba ingin menyampaikan pada manusia bahawa kematian boleh menjemput mereka bila-bila sahaja.

Beberapa langkah dari mulut terowong itu ada tiang besar. Di celah antara tiang dan dinding terowong yang sempit itulah kamar beradunya. Selalunya dia tidak menghabiskan masa yang lama disitu. Terowong itu hanya kehidupan malamnya untuk tidur sahaja. Jika siang masih menjemput dia akan segera beredar dari dunia sempit, gelap, dan hapak itu mencari dunia yang sebenar yang menggugah banyak jiwa manusia.

Adik menangis teresak-esak. Mendengar bunyi tali pinggang besar abah yang menyentuh kulit Angah. Malah tangisan adik lebih kuat lagi bila Angah meraung kesakitan.

“Aduh! Ayah, Angah minta maaf. Angah minta maaf. Angah tak nak buat lagi.” Rayu Angah pada Ayah yang masih cermat memegang tali pinging kulit di tangannya pejal.

“Diam!” jerit Ayah yang tidak dipastikan khas kepada siapa. Sama ada pada Adik atau pada Angah. Serentak adik dan Angah terdiam dengan satu herdikkan garau itu.

Sekali lagi libasan tali pinggang menyerap kulit tubuh Angah. Kali ini pada betisnya. Angah meraung. Lebih kuat dan sungguh. Ayah membeliakkan mata.

“Rasakan. Ini padahnya orang macam kau.” Wajah Ayah memang bengis pada jari itu. Tidak pernah dia melihat wajah sebengis itu sebelum petang yang lembut dan bersahaja hari tersebut.

Zappp!!!

Deruman motosikal menggegar suasana terowong. Lelaki itu tersentak daripada tidur. Dia melihat dihujung terowong masih tiada cahaya lagi. Pantas dia bangkit membersihkan pakaiannya dengan mengibas-ngibas menggunakan tangan. Kotoran debu yang melekat cuba dihilangkannya bersungguh. Sebelum hari cerah, lelaki itu cepat-cepat keluar dari terowong itu. Bilangan motosikal yang melalui terowong itu kian bertambah. Tetapi sebenarnya agak berkurang daripada hari-hari sebelumnya. Sebelum lampu yang menerangi terowong itu rosak. Mungkin disebabkan kegelapan itu ramai orang sedar betapa yang melalui terowong itu akan menghadapi kesukaran dan mara bahaya yang sukar diduga.

Azan subuh memecah suasana hening. Udara masih segar dan dingin. Dan sungai yang mengalir di sisinya di tengah kota raya itu menyajikan bau yang bukan asing baginya pagi-pagi itu. Hari ini dia lari dari timbunan bahan buangan di balik-balik lorong. Malah ingin ke suatu tempat yang mungkin segala isi hatinya bisa diluahkan. Semangatnya hari itu telah dihangatkan dengan cita-cita. Cita-cita menuntut agar diberi peluang sekali lagi hidup dalam keadaan biasa. Biasa seperti dahulu. Di hujung laluan pejalan kaki itu, samar-samar dia melihat batang tubuh yang berjalan bertentangan arah dengannya. Dia yakin tubuh itu milik sesorang yang biasa di jumpainya. Seorang pemuda biasa yang bekerja di pusat membeli belah tidak jauh jarakknya dari situ.

“Pak Kasim, apa khabar?” Pemuda itu merebut dahulu peluang bertanya khabar.

“Hai, tiap-tiap hari kamu tanya khabar saya. Kalau boleh hendak sahaja saya kumpul seminggu pertanyaan kamu yang satu ini. Cukup seminggu baru saya jawab.” Ujar lelaki itu berseloroh.

“Ini yang buat setiap hari saya ceria. Sungguh.” Ujar pemuda itu lalu disambut deraian gelak tawa mereka berdua.

Selepas bertukar khabar dan perkhabaran kelmarin, masing-masing memilih hala tuju sendiri. Lelaki itu sebenar kurang mengerti mengapa pemuda yang sering dijumpainya sejak awal tahun lalu itu cukup rajin dan berdikari. Pemuda yang dijumpainya itu mula pergi ke tempat kerja seawal pukul 6 pagi lagi. Saban hari bekerja. Mungkin latar keluarganya yang membuatkannya sentiasa berdikari dan bersemangat.

Mungkinkah asal kampung halamannya yang serba kekurangan membuatkannya serajin itu. Apabila ke kota, peluang yang ada itu tidak disia-siakannya. Sementalah dia punya pekerjaan dan anak muda seperti itu seeloknya tidak patut dicemari dengan anasir yang menggugat impian. Malah dia punya jati diri. Tangkal agamanya juga dibawa. Entah apa anutannya. Baginya pemuda itu punya tugas dan khidmat sendiri. Barangkali pada keluarga di kampungnya malah lebih tepat lagi pada cita-cita dirinya sendiri. Cumanya seringkali lelaki itu bertanya pada dirinya sendiri. “Apa tugas aku sekarang?” seringkali lelaki yang memegang falsafah dirinya sendiri bertanya soalan demikian.

Dia bukan memegang teguh kata-katanya, cumanya persoalan yang sering berulang-ulang diajukan pada diri sendiri membuatkan semacam falsafah, menjadi sebati dalam dirinya. Faham yang melekat pada jiwanya mendorongnya berfikir setiap manusia yang wujud mempunyai tugas-tugas dan khidmat masing-masing. Bila tugas itu selesai di sisi Pencipta, maka tibalah masanya meninggalkan kehidupan dunia. Dan yang menghantuinya sekarang ialah tugasnya yang masih kabur dan semacam sudah sirna. Namun dia masih berkehidupan. Ya, di terowong sempit dan timbunan bahan terbuang.

Selipar yang dipakainya masih basah dengan wuduk. Segelas air suam ditempah pada pelayan restoran yang sering ditandanginya setiap pagi.

“Tidak mengapa hari ini saya belanja  Pak Ngah.” Pelayan restoran itu menolak bayaran yang hendak diberi lelaki itu.

“Betul ni?” Lelaki itu seakan tidak percaya.

“Ya. Hari ini saya murah hati. Lagipun Pak Ngah baik sama saya.” Balas lelaki Bangladesh itu sambil tersenyum.

Lantas lelaki itu menyimpan kembali wang syiling dua puluh sen ke dalam poket seluarnya. Air kosong segelas setiap pagi adalah menu yang paling berkhasiat baginya. Nasi dan kuah adalah menu harian. Sementalah umur yang semakin bertambah dan kesihatan yang kiat tergugat membuatkannya perlu berhati-hati memilih makanan.

Seekor kucing menggesel-gesel kepala di kakinya. Lantas dia melihat kucing kurus bertompok-tompok hitam dan putih warnanya cuba merayu simpati.

“Aku cuma meminum air suam. Sudah tentu kau tidak minum air seperti ini, bukan? Kalau kau manusia sudah tentu kuberikan wang.” Ujarnya kepada kucing itu.

Sukar baginya untuk menafikan. Hidup selama ini tidaklah sesukar ini. Mungkin sekelip mata sudah cukup mencorak perubahan yang besar pada dirinya. Seorang lelaki yang mempunyai kerjaya dengan kewangan yang kukuh, normal, berkeluarga, dan sedikit kesedaran. Itulah dia dahulu. Kini apabila sudah ditempelak, menjadi kusut, masai, luar biasa, dan tinggi kesedaran namun masih dalam samar-samar mencari destinasi.

Di hujung jalan yang cerah disinari mentari pagi, beberapa gerombolan manusia sedang berkumpul. Dari kejauhan mereka membawa kain rentang, semangat dan jiwa berkobar-kobar.

“Aku perlu ke sana. Aku sepatutnya di situ.” Lantas kakinya diatur deras ke arah gerombolan itu. Seolah-olah ingin berpadu bersama.

“Apa yang kamu perjuangkan?” tanya lelaki itu pada seorang lelaki lebih muda daripadanya. Dalam usia 30-an. Pada anggapannya lelaki muda itu lebih kurang nasibnya seperti dia. Dan mungkin mempunyai mimpi yang sama sepertinya.

“Aku nak hak aku.” Kata lelaki 30-an itu separuh jerit di tengah kicauan burung dan disahut gegak gempita gerombolan itu.

“Apa hak kau?”

“Tak perlu kau tahu. Mereka yang rampas hak aku. Mereka sepatutnya sudah tahu.”

Lelaki itu tambah keliru. Masih belum mengerti kata-kata lelaki usia muda itu. Topi dan kemeja lusuh masih membaluti tubuh yang kian bermandi peluh.

Apabila penglihatannya terpandang ke sepanduk besar yang dijulang mereka, baru dia mengerti apa maksud lelaki muda itu.

“Bagus anak ayah. Rajin. Kalau angah rajin, ayah sayang angah.” Puji ayah dengan suara yang rendah. Tangan pejal dan kasar ayah menyentuh ubun-ubun angah. Manja. Penuh kasih sayang.

“Ayah, nanti sudah besar, Angah nak jadi usahawan.”

“Usahawan apa?” tanya ayah berkerut dahi.

“Usahawan ternak lembu.”Anak mata Angah merenung tepat ke wajah ayah yang bertukar lembut pada hari itu.

“Bagus. Tetapi kena usaha sunguh-sungguh tahu. Kena belajar rajin-rajin dan jangan sesekali putus asa. Duit bukan segala-galanya.”

Itukah nasihat? Lelaki itu masih belum mengerti. Ayah telah bertukar menjadi serigala yang bukan jinak apabila tiba petang itu. Petang yang sangat perit walau suasananya lembut dan berangin.

Lelaki itu terus berjalan sepanjang laluan pejalan kaki yang ditaburi daun-daun kering dan sampah plastik.

Di taman, sinar pagi yang cerah telah mencuri masuk ke celah-celah dedaun angsana yang mekar dan rendang. Bangku panjang yang utuh masih di situ, di tepi kolam yang tenang. Masih setia menerima kehadirannya.

Lelaki itu hampir terlena dek disapa ketenangan di situ.

“Tuan. Tuan, bangun.”Tiba-tiba dia dikejutkan. Serta merta. Lelaki itu menggosok-gosok matanya yang masih berpinar-pinar.

Dia melihat Angah di hadapannya.

Sekali lagi dia menggosok-gosok matanya. Seakan tidak percaya.

“Ya. Saya Rais.” Jelas lelaki berwajah Angah itu.

“Rais?”lelaki itu membeliakkan mata.

“Ya.” Lelaki empunya nama Rais itu menyambut tangan lemah lelaki itu lalu menciumnya.

Lelaki itu bisa merasa sesuatu yang hangat mengalir dari mata Rais lalu menyentuh tangannya.

“Ayah. Maafkan angah.” Butir-butir kata Rais kian menyentuh lelaki itu. Lelaki itu belum sedar dalam gamamnya. Terus mencurah macam-macam di benaknya. Benar, sekelip mata sahaja sudah memadai untuk merubah segalanya.

“Ayah, mari kita pulang.” Rais menarik tangan ayah lembut. Sudah berbelas tahun inilah kali pertama dia merasa hidup seperti manusia biasa. Apabila Rais yang pernah menerima nasihat dan pernah dipukul itu kembali lagi dalam hidupnya.

Kini dia terngiang-ngiang; “Duit bukan segalanya.” Sementalah dia sendiri pernah terjerat dalam soal itu yang memusnahkan separuh hidupnya.

Juga, kini dia seperti merasa diberi tugas baru. Menjadi seorang ayah.







Monday, June 3, 2013

What You've Begun, You Must Finish


Title: What You've Begun, You Must Finish. 

Description: "Nanti sambung master lepas abis belajar." kata mak menasihatiku. 
"Tapi result teruk. Macam mana nak sambung?" keluhku sederhana kesal. "Relaks, kau anak bongsu. Belajar je. Felda support, abang akak support. Bende kecik je." Balas mak. Aku mengiyakan. Dalam hati berkata, "Alhamdulillah, takyah kerja ofis pergi pagi balik malam." 

Materials: A4 size white paper 80gsm, Faber-Castell 1B, 2B, and 3B pencils, Faber-Castell dust-free eraser. 

Duration: Approx. 1 hour & half

Warning: Keep your eyes 45 degrees to the screen because I used the way to draw this on paper and yet to get better elevation. 

Sunday, May 5, 2013

PRU13: "Stop Talking Politics"

Assalamualaikum dan Salam SeMalaysia

Hari ini 5 May 2013, dan pukul 8.00pagi nanti PRU13 akan membuka tirainya. Di situ rakyat akan diberi peluang mengundi pemimpin yang mereka inginkan untuk membantu masyarakat serta mengurus tadbir hal ehwal negara. 

Dalam berbicara mengenai pemerintahan negara adalah sukar untuk dipisahkan dengan politik kepartian kerana politik dan pemerintahan amat berkait rapat. Namun, harus kita sedar isi kandungan pemerintahan itu adalah soal kebajikan rakyat dan urus tadbir negara dan bukannya politik. 

Apa yang menyedihkan lewat era ini adalah ahli politik sering memainkan isu kebajikan rakyat dan urus tadbir negara. Secara tidak langsung memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa apabila berbicara mengenai pemerintahan negara, mesti kita kaitkan dengan politik. Kalau tidak perbicaran itu tidak lengkap dan lompong. Sedangkan pokok utama pemerintahan negara adalah seperti yang dinyatakan tadi iaitu, kebajikan rakyat dan urus tadbir negara. Politik hanya salah satu baja yang digunakan untuk menyuburkan pokok(baca: pemerintahan negara) itu. 

Situasi yang biasa kita ladeni dalam konteks Malaysia ialah isu-isu kebajikan rakyat dan urus tadbir negara menjadi permainan politik yang tidak kelihatan akan berakhir. Hanya masa akan membawa isu dalam politik ini yang mana lama-kelamaan ia akan menjadi lemau dan tidak lagi enak dinikmati dalam perbualan mengenai politik. 

Apa yang boleh kita lakukan sebagai rakyat adalah:
  1. Biarkan ahli politik menjalankan tugas mereka iaitu mempolitikkan sesuatu isu yang sensitif.
  2. Mari laksanakan tugas kita iaitu menentukan pemimpin yang bijak menjaga kebajikan rakyat dan urus       tadbir negara.
  3. Kita juga usah terpangaruh dengan mainan politik oleh ahli politik dalam sesuatu isu.
  4. Kita harus meneliti dan rajin berdiskusi dengan ilmuwan yang intelektual dan mengkaji tulisan-tulisan mereka dalam memahami sesuatu isu yang timbul. Kerana kita mahukan fakta dan kebenaran daripada penulisan ilmuwan tersebut. Pada akhirnya kita akan faham sesuatu isu itu adalah semata untuk kebajikan rakyat dan maslahat negara serta bukannya sekadar mainan politik.
  5. Kita mempunyai undang-undang. Andaikata pemimpin meyalahi tugas mereka dalam melaksanakan kerja kebajikan rakyat dan urus tadbir negara seperti korup haruslah dikenakan tindakan undang-undang dengan setimpal. Rakyat disini harus menolak pemimpin yang mengaut keuntungan daripada urusan kotor sebegini. Pemimpin juga bukanlah entiti yang kebal undang-undang, mereka juga tertakluk pada undang-undang negara. 
  6. Sebagai Muslim kita harus mengetahui hak-hak kita dan hak non-Muslim dalam kehidupan negara multibudaya ini.
  7. Perbezaan ras dalam Islam tidak menjadi masalah dalam pemerintahan negara, bahkan Islam tidak membezakan sesuatu ras dengan ras yang lain. Dalam Islam perbezaan ras adalah sesuatu rahmat dan menjadi satu platform untuk saling kenal-mengenali. Dalam proses kenal-mengenali ini amat menitikberatkan soal hormat antara satu sama lain, keadilan, serta keterbukaan menerima pendapat. 




Kesimpulannya, marilah kita menjadi rakyat yang matang menilai sesuatu khabaran baik dari segi sesuatu isu yang timbul mahupun  soal politik. Bicaralah mengenai kabajikan rakyat dan urus tadbir negara dengan baik dan waras kerana inilah kebebasan kita sebagai rakyat negara demokrasi untuk membicarakan serta mengetahui persoalan pemerintahan. 

Sekian, teima kasih.



Tuesday, April 9, 2013

Cerpen: Denai Kecil Jalan Harapan I

Assalamualaikaum dan Salam Sejahtera

Kali ini saya titipkan untuk anda sebuah cerpen berjudul Denai Kecil Jalan Harapan I. 




Denai Kecil Jalan Harapan I


Bumiku yang kian pudar
Siapa yang melihat
Dikala kita tersedar
Mungkinkah terlewat.

Sebatang sungai di hadapan cukup memberi erti kehidupan pada Apit. Airnya mula berubah. Dahulunya sungguh jernih dan murni. Kini keruh sekeruh pemikiran yang sudah diracuni hasad dan ketamakan.
Masih jelas dalam ingatan Apit. Sungai inilah tempat dia dan rakan-rakan bermandi-manda.
Sungai ini sudah tidak dapat dinimati airnya.
Jika dahulu Apit akan ke hulu sungai untuk mencari buah-buahan hutan sebagai santapan harian mereka sekampung. Dia sungguh mengidam pada keenakkan buah sentul serta buah nyabung yang rasanya seperti mangga ranum juga buah pilau yang manis. Namun kini keadaannya sudah berubah. Keadaan sudah menjadi lebih teruk.
“Sudah beberapa kali aku katakan. Di hulu sana ada empangan besar yang sedang dibina. Kita semua bakal kebuluran.”Jelas penduduk tua dalam kalangan mereka, Pak Jirin.
“Perlukah kita berpindah ke tempat lain?” Apit menyoal.
“Lihatlah nanti. Belum ada tempat yang sesuai untuk kita jadikan rumah baharu.”jelas Pak Jirin sebaik mengetuk buah keras ke atas batu lalu dinikmati isinya dengan segera.
Begitu pekat kegusaran yang terpancar pada wajah penduduk desa yang baru menerima khabaran itu. Sekali lagi Apit melihat sungai yang kian perlahan arusnya di hadapan mereka. Warnanya pula kian keruh dan kayu-kayu sebesar pemeluk hanyut bersama. Jelas kini mereka diancam.
“Apit! Apit!.” Tiba-tiba Injut anak bongsu Pak Jirin meluru arahnya seraya menjerit namanya. Apit kelihatan agak terkejut.
“Kenapa?” Apit menyoal seperti memaksa.
“Habislah. Habislah kita. Bukit Sarang Puyuh sudah digondol.”beritahu budak itu termengah-mengah.
“Cis! Celaka!” getus Apit tidak dapat menahan kemarahan.
Dia terus memanjat sebatang pokok lalu bertempik kearah penduduk kampung.
“Kumpul semua! Kumpul!”
Sekejap sahaja, semua penduduk kampung berkumpul di sekitar bawah pokok tempat Apit bertenggek.  
“Ayuh keluargaku, ayuh rakan-rakanku. Di sana. Di sebalik bukit sana ada si durjana sedang rakus meratah hutan belantara. Kumpulkan semua orang-orang kita. Sekarang juga kita akan ke Bukit Sarang Puyuh untuk menyelamatkan masa hadapan kita.” Seru Apit agak menjerit.
“Ya selamatkan rimba kita! selamatkan rumah kita! selamatkan bumi kita!”teriak seorang penduduk penuh tenaga seperti dirasuk semangat hutan.
Apit ialah pemuda yang menjadi harapan penduduk kampung. Dia gagah, dan cekap memanjat pokok-pokok yang besar dan tinggi. Dia juga rajin mencari makanan—buah-buahan hutan untuk saudara-maranya.
“Hati-hatilah dalam perjalanan. Ingat mereka tidak mudah memahami kita. Namun harapan kita amatlah besar agar keadaan kembali seperti dahulu.” Pak Jirin memberi nasihat kepada Apit sebagai kata-kata semangat. Pak Jirin tidak dapat menyertai mereka kerana terlalu pikun untuk mendaki bukit yang cerun dan mencabar.
Hampir tiga puluh pemuda kampung berjaya dikumpul. Lantas Apit mengetuai mereka menuju ke Bukit Sarang Puyuh yang melalui denai-denai kecil yang berliku dan berbukit untuk sampai ke puncaknya. Sekali-sekala mereka menggapai tumbuhan hutan yang menjalar dan berbelit pada dahan pokok untuk memudahkan pergerakan mereka. Mereka melompat dari satu pokok ke pokok yang lain dengan tangkas.
Semasa mereka dalam gerombolan menuju ke Bukit Sarang Puyuh, Apit memulakan nyanyian tradisi mereka. Kemudiannya kesemua mereka menyanyi bersama. Ternyata nyanian itu telah menambah semangat yang semakin meronta-ronta mahu menyelamatkan kehidupan mereka.
Lihatlah unggas di sana
Lihatlah pohon-pohon besar
Lihatlah sungai yang jernih
Indah alam ini kita pelihara.
Setibanya di kaki bukit, terdengar bunyi letupan yang menggegarkan rimba. Letupan itu semstinya berpunca dari kawasan pembinaan empangan tidak jauh dari situ. Setiap kali letupan meletus, mereka menjerit ‘rimba’ dengan sekuat hati.
“Rimba!” teriak mereka bersama. Mereka menyeru semangat cintakan rimba yang sudah ditanamkan oleh moyang ke dalam diri mereka sejak dari dahulu. Rimba telah menjadi sebahagian darah daging mereka.
Walaupun mereka berteriak dengan sekuat dan sepenuh tenaga, letupan itu terlalu bingit untuk ditewaskan. Letupan itu adalah letupan kuari yang dijalankan syarikat pembinaan projek empangan untuk mendapat batu-batuan sebagai bahan binaan.
Apit lekas memanjat sebatang pokok yang agak tinggi melangit untuk meninjau kawasan sekeliling. Apit melihat suasana sekeliling dengan sayu. Rimba sudah tenat. Banyak kemusnahan telah mendominasi kawasan mereka mendapatkan hasil hutan.
Di kawasan itu juga sebelum ini, tumbuh subur herba-herba yang sukar untuk didapatkan di kawasan lain.
Kini, senduduk putih penawar racun dan bisa telah tiada. Begitu juga tumbuhan-tumbuhan yang lain. Fikiran Apit terus runsing. Jika ada dalam kalangan mereka cedera dimanakah mahu mencari pokok ganda rusa. Kadok serta patawali yang menjadi ubat mereka jika dijangkiti malaria juga tidak lagi kelihatan. Cuma yang kelihatan adalah tunggul-tunggul kayu. Perdu meranti bukit atau meranti seraya yang berakar banir itulah yang hanya jelas disaksikan. Batang dan dahannya sudah ditumbangkan. Apit juga melihat pohon hutan yang lain seperti jelutong, mahang, gaharu dan kapur telah ditebang. Kawasan yang dahulunya kaya dengan tumbuhan hutan kini telah gondol dan lapang.
Apit menjadi marah melihat rumahnya dimusnahkan oleh tangan-tangan yang tamak dan rakus.
Apit melompat dari pokok tempat dia meninjau kawasan ke tanah dengan pantas. Kemudian dia meluru ke arah kawasan pembinaan itu. Rakan-rakannya terdiri daripada pemuda kampung juga turut mengikuti Apit dari belakang segera.
“Hentikan semua! Hentikan kerja-kerja ini! Usah rosakkan rumah kami!” Apit memberi amaran dengan nada kuat ke arah sekumpulan pekerja yang sedang leka memotong kayu-kayu balak yang agam menggunakan mesin pemotong.
Mereka tergamam melihat Apit dan rakan-rakannya. Tidak lama kemudian seorang daripada mereka yang mungkin ketua pekerja di situ mara kehadapan.
“Pergi dari sini! Pergi!”sergah ketua pekerja itu.
“Kami melarang kalian semua merosakkan tanah kami.” Jelas Apit dengan berani.
“Pergi!” Ketua pekerja itu menyergah dengan lebih kuat lalu menghalakan selaras senapang tepat ke tubuh Apit. Apit sedikit pun tidak berganjak.
Dia sebenarnya belum pernah melihat rupa senjata sedemikian sebelum. Sebetulnya, seumur hidup Apit belum pernah dia berjumpa dengan manusia yang rakus dan zalim seperti yang sedang dihadapinya kini.
Kemudian, piston senapang laras itu dilepaskan. Rusuk Apit terasa sakit yang mencengkam. Tubuhnya terkulai layu tersembab ke atas tanah. Fikirannya melayang dan kata-kata Pak jirin menemani khayalan itu.
“Hati-hatilah dalam perjalanan. Ingat mereka tidak mudah memahami kita. Namun harapan kita amatlah besar agar keadaan kembali seperti dahulu. Ingat Apit, manusia tidak pernah cuba memahami bahasa kita.
Mereka tidak pernah menghargai jasa kita. Padahal mereka daripada kalangan manusia yang berfikiran bijak tidak cuba memahami kita. Sejak sekian lama, kita daripada kalangan orang utan amat mencintai alam ini. Kita menyebarkan biji-biji benih rimba yang kita makan buah-buahnya agar hutan ini terus hidup dengan makmur. Namun mereka datang membawa kerosakan dan ketamakan bermaharajalela. Pupuslah kita dan anak cucu kita.”
Pelupuk mata Apit semakin berat. Rakan-rakan Apit meratap dan berteriak kerana satu lagi pahlawan daripada kalangan orang utan hilang dalam perjuangan rimba. Denai kecil jalan harapan mereka telusuri mengusung pahlawan rimba ke kampung halaman.







Cetus Ilham

Ada segelintir pemimpin yang tidak mengambil kira dan tidak mahu mendengar pendapat rakyat. Mereka(pemimpin) beralasan pendapat itu adalah bukan pendapat kesemua rakyat dan hanya pendapat minoriti. Realitinya kumpulan minoriti inilah yang terkorban.  Sedangkan rakyat(termasuk golongan minoriti) bekerja dan berkhidmat kepada negara. Malah ada juga pemimpin yang mengunakan kekuasaan mereka untuk mengaut kekayaan hasil bumi seterusnya merasakan tidak bersalah atas kerosakan yang telah mereka cetuskan terhadap alam sekitar. Aduh malang sungguh bumi bertuah ini jika dipimpin manusia seperti!

Sekian, terima kasih.