Sepanjang jalan
pergerakan kenderaan tersekat-sekat. Kesal. Aliran trafik yang macet telah menjadi rutin harian.
Atiqah suri
rumahku telah menghantar pesanan ringkas. Mungkin risau aku pulang terlalu
lewat. Jalan menghala ke Kuala Lumpur agak lancar pula pergerakannya. Aku cemburu
melihat kenderaan yang meluncur laju di laluan sana .
Tingkap
ditutup rapat. Aku memainkan CD Zikir Terapi untuk menenangkan diri.
Zikir-zikir menguasai ruang. Selesa dan tenteram. Aku memandu kereta
perlahan-lahan mengekori deretan kenderaan yang beratur di hadapan.
Pandanganku
terpaku sejurus mengerling ke cermin pandang sisi. Cahaya merah biru berkilau
di susuli siren yang bingit. Kereta dan lori mula mengimpit ke bahu jalan. Aku
turut berbuat demikian dalam gelisah. Sekilas lalu sebuah trak bomba melepasiku
dengan pantas. Aku tergigil dalam resah.
Dahi dan
tengkuk mula melengas. Seperti rasa cemas juga. Telefon bimbit yang terlantar
di atas dashboard segera kucapai.
“Saya cuma
hendak pastikan awak dan anak-anak selamat. Saya risau kalau ada perkara yang
tidak diingini berlaku pada keluarga kita. Entahlah tiba-tiba perasaan resah
datang kembali. Rasa bersalah.”ujarku meluahkan rasa tidak menentu pada Atiqah
yang aku rasakan dapat mengubat keresahanku. Hanya Atiqah yang tahu punca rasa
tidak keruan ini. Setelah kuceritakan lipatan sejarah itu setelah dia menjadi
teman hidup.
“Mungkin awak
letih. Nanti sampai rumah awak istirehat. Jangan dikenang kisah itu lagi,”saran
Atiqah. Aku sedikit reda mendegar pertuturannya.
Kenderaan di
laluan yang sukar itu mula bergerak sedikit demi sedikit sebaik trak bomba
melepasi mereka.
Benakku dihantui
kisah pahit itu. Amat sukar aku lupakan. Benar.
“Astaghfirullah.” Aku cuba menenangkan resah. Hairannya, perasaanku tetap
kecamuk. Aku sedar rencana Tuhan siapa pun tidak mampu terlepas.
***
“Khairul aku mahu
pergi dahulu.”teriakku ke arah Khairul yang hanya bercelana pendek. Dia masih
berendam di dalam sungai. Timbul tenggelam. Badannya yang gelap seperti disapu
minyak apabila dibasahi air. Berkilat.
“Ya. Ya,
pulanglah dulu. Aku belum puas.”
“Aku ke rumah
Saim. Mahu tolong Saim kutip kelapa tua. Tidaklah macam kau. Duduk bawah ketiak
mak sahaja.”
“Cis! Nanti aku
datang.” Khairul sempat menunjukkan buku limanya kepadaku. Dia kemudian
terkinja-kinja dalam air yang tidak jernih itu.
Dalam fikiranku
terus menerawang untuk menikmati isi kelapa muda yang enak dan manis. Air
kelapa sungguh menyegarkan di waktu kemarau. Rumah Saim banyak pohon kelapa.
Kebanyakkannya kelapa gading dan kelapa mawar.
Kelapa-kelapa
yang kering kami kutip untuk dijual di pekan. Sebiji lima puluh sen. Jika ada
seratus biji. Aku, Saim dan Khairul berkongsi wang sebanyak lima puluh ringgit.
Ayah dan emak
Saim amat menggalakkan kami mengutip kelapa di rumahnya. Malah ayah Saim yang
mengesyorkan. Katanya, “belajar berdikari”. Aku ada memendam benci dengan orang
tua Saim sebenarnya. Orang tua itu memerli kami,”Usah mandi di paya longkang.
Itulah sebabnya kau berkudis buta.”.
Langit petang
itu elok. Tiada tompok-tompok awan mendung. Cerah sahaja. Saim kulihat sedang
memungut kelapa kering yang bertaburan di atas tanah. Ada kelapa dara yang
masih rendah lagi dua tiga batang.
Memang ayah Saim
gemar membiakkan pokok kelapa. Mungkin sebab itu halamannya dipenuhi
pokok-pokok kelapa. Aku mendongak ke sebatang pohon kelapa. Ada kelapa muda.
Masih hijau cair. Bergantungan dalam gugusan. Aku mula terngiur membayangkan
air kelapa muda yang enak.
“Hei, lihat
ni.”Khairul berteriak tidak beberapa jauh. Dia memegang sesuatu yang kecil.
Sering kutemui bersama-sama penghisap rokok. Pemetik api berwarna merah.
“Mana kau jumpa?
Benda ini orang-orang tua saja yang ada.”Saim tertarik sehingga kerjanya
tergendala. Baju t-shirt merah lusuhnya yang kerapkali dipakai, ditarik bucu
lengannya lalu dikesat dahi berpeluh.
“Aku jumpa di
tepi sungai. Itulah kau Saim tidak mahu mandi di sungai. Macam-macam kami jumpa.”kata
Khairul sambil tergaru-garu tengkuk yang berdaki. Kemudian digaru pula betis
yang tertedah. Dia senang bercelana pendek sama sepertiku.
“Bukan sungai
tapi paya. Longkang-longkang dari rumah-rumah semua menghala ke situ. Paya itu
busuk baunya. Mak dan ayah aku tak benarkan mandi di paya. Bahaya.”Saim menjuih
bibir.
Khairul terdiam.
Aku juga terfikir sejenak. Aku tahu dia sangat akur dengan perintah ibunya.
Tidak seperti aku yang sering melanggar nasihat emak dan ayah. Semua sungai
yang menurut Saim paya longkang di kampung ini, telah aku dan Khairul rasai
kesejukannya. Airnya sejuk dan sukar dipercaya sumbernya adalah longkang.
“Tapi airnya tidak
keruh dan sejuk pula.”Aku pula mencelah cuba membela Khairul.
“Lepas mandi
kita mesti panaskan badan dengan ini.”
Khairul terus
bermain api.
Aku penuh
teruja. Khairul cuba mengacuhkan api pada timbunan pelepah kelapa kering. Mujur
dilarang Saim. Aku merenggut pemetik api itu daripada tangan Khairul. Kemudian
aku berlari ke timbunan sabut kelapa dan cuba membakarnya. Belum sempat
dinyalakan api, Khairul menyergahku. Aku berlari ke perdu kelapa. Cuba memanjat
tetapi tidak berjaya. Khairul mengejarku pantas. Lalu menerkam badan kurus
keringku dan kami hampir-hampir tersembam atas rimbunan pandan. Khairul merangkul
badanku kemudian merampas kembali pemetik api itu. Kami ketawa berdekah-dekah.
Saim hanya memerhati. Aroma serai wangi menusuk hidungku. Aku menyuruh Khairul
membakar serai wangi yang tumbuh di antara rimbuan pandan dan pucuk manis.
Tentu baunya semerbak harum.
Saim tidak
duduk senang. “Jangan main api. Jangan.”
“Kenapa?”tanyaku.
Kulihat Khairul mencabut sehelai daun serai wangi yang runcing dan panjang. Baunya
menusuk hidung.
“Kecil kawan,
besar lawan.”
“Wah, pandai
kau bersajak.”
“Bukan sajak…peribahasa.”Khairul
membetulkan disambut hilai ketawa kami. Saim mengetap bibir.
“Tak mengapalah.
Aku mahu bakar semak-samun di belakang sana. Biar habis terbakar semua.” Aku
menakut-nakutkan Saim. Kemudian aku mengajak Khairul beredar. Khairul menuruti tanpa
banyak tanya.Kelapa muda dan isinya yang
manis aku lupakan. Saim keseorangan mengurus kelapa kering.
“Jangan main api. Kecil lawan, besar kawan,”ujarku
meniru gaya Saim. Khairul tidak serik ketawa.
Aku dan Khairul
terus berlari-lari merebut pemetik api yang bagi kami bukan mudah diperolehi.
Kami berebut-rebut antara satu sama lain. Aku menggayakan seorang dewasa yang
sedang menyalakan rokok dengan penuh bergaya.
“Macam Popeye.”Khairul
berseloroh.
“Cis, kurang
ajar.” Aku membaling batu kecil ke arahnya .
Dia tangkas mengelak. Gelak ketawanya yang terkekeh-kekeh menyakitkan
hati.
Dalam keletihan
kejar-mengejar, aku terpesona dengan sepohon
rambutan yang sarat dengan buah yang ranum. Buah rambutan itu merah menyala.
Sekali lagi membuatkan aku menelan air liur.
Aku lihat
Khairul lebih dahulu memanjat pokok itu. Dia hebat memanjat. Dia memetik buah
rambutan yang ranum itu lalu menyumbat isi putih yang berjus masuk ke dalam
mulutnya. Mulutnya kembung. Aku lantas turut memanjat.
“Diam, jangan bising.”
Bisiknya sedang bertenggek atas dahan yang besar.
“Jangan bising.
Nanti tuan punya rumah nampak. Mati kita.” Dia menambah. Aku sekadar mengangguk
sahaja. Buah rambutan yang merah kupetik dan ratah isinya sepuas-puasnya.
“Malam ni kita ada
operasi.” Khairul masih bertenggek. Tangannya tidak putus-putus mencapai
rambutan dan menyumbat masuk isinya ke dalam mulut. Di satu ketika, dia meludah
semula kerana tergigit biji rambutan yang pahit. Kemudian direnggut lagi buah
rambutan yang bergayut di sisinya.
“Operasi?”
“Ya. Sia-sia kalau
kita tidak manfaatkan mancis ni.”
“Pemetik
apilah. Lighter, kata bapak aku.”Aku
menggaru-garu kaki yang berparut. Bukan kerana kudis. Sebab digigit kerengga.
“Malam ini kita
buat obor. Macam cerita dulu-dulu. Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang
Kasturi,” kata Khairul sambil berlagak seorang pahlawan dahulu dengan mendabik
dada. Aku hampir tergelak melihat telatah Khairul yang kemudiannya nyaris
terjatuh. Namun tangan kanannya cukup erat memegang dahan pokok.
“Rumah Saim ada banyak sabut kelapa. Kita ikat
pada batang kayu kemudian kita curahkan minyak gas padanya. Lebih mudah dibakar,”sambung
Khairul.
“Wah, bijaknya
kau,”pujiku.
Aku dan Khairul
kemudian bercadang untuk pergi ke rumah Saim selepas Maghrib. Khairul menyaran
supaya mengambil serat kelapa di laman belakang rumahnya untuk dibuat jamung
api.
Seperti yang dijanjikan
aku menanti Khairul di hadapan rumah Saim usai Maghrib. Aku berlindung di balik
pokok bunga raya yang berdaun lebat. Aku cuba mengelak daripada dikesan ayah
Saim yang baru pulang dari surau dengan motorsikalnya. Rumah Saim terang-benderang
dilimpahi cahaya lampu kalimantang dari dalam.
Khairul sampai
tidak beberapa lama kemudian bersama sebatang kayu seperti cota. Kami menyusup
ke laman belakang rumah Saim terhendap-hendap. Aku membayangkan jamung itu
nanti akan kami bawa berjalan sekeliling kampung. Sudah tentu budak-budak
kampung yang melihat akan merasa kagum. Semestinya kami merasa megah.
Khairul mula
mengikat serat sabut pada batang kayu. Setiap gerak-geri dikawal. Kami tidak
mahu mereka tahu. Jika ayah Saim atau emaknya tahu mesti mereka menuduh kami
hendak mencuri.
Jamung itu
sudah siap dirapikan. Mataku menumpu ke arah rumah Saim penuh khuatir. Tubuhku
berpeluh. Khairul mengarahku supaya aku memasuki kolong rumah Saim. Sama
seperti rumah aku, Khairul dan kebanyakan rumah penduduk kampung semua
berkolong. Di situlah letaknya minyak gas yang diisi dalam botol kaca. Ayah
Saim yang punya. Aku yakin ayah Saim pasti meradang jika tahu tindakan kami.
Kami membongkok
memasuki kolong itu. Khairul mencurah kesemua isi botol tergesa-gesa. Lalu
dinyalakan api menggunakan pemetik api. Belum sempat dicucuh pada jamung, api
menyambar mukanya lalu dibuang jamung itu ke atas tanah.
“Argh!” Aku
melihat Khairul meraung kesakitan. Pedih. Mukanya habis melecur.
Sekejap sahaja
api dari jamung itu merebak. Menjamah segala barang-barang di dalam kolong itu
yang dijadikan setor barangan terpakai.
Aku menarik
tangan Khairul keluar. Kami berlari meninggalkan kediaman Saim yang kian dimamah
api. Begitu pantas. Sekejap sahaja api marak dan membakar rumah kayu itu dengan
lahap. Kepulan asap hitam meruap ke langit malam seolah-olah memberitahu
penduduk kampung tentang kecelakaan itu. Api yang menjulang-julang ke langit
juga aku lihat tidak putus-putus menyalahkanku.
Aku dan Khairul
meluru ke rumah masing-masing. Dalam kesal, cemas dan rasa bersalah gegendang
telingaku tertangkap semacam bunyi pekikan siren. Aku menjangka tentu trak bomba,
ambulan dan juga barangkali kereta polis berkejar ke rumah Saim. Aku mengintai
dari jendela. Kilauan cahaya merah biru memancar terang. Aku menggigil ketakutan.
Pintu bilik
dikunci dan aku berkurung agak lama sehingga siang dengan hanya sedikit tidur.
Kerap terjaga. Melengas dan tidak tenteram. Kadang-kadang menangis.
Paginya, aku
terdengar emak dan ayah berbual ketika bersarapan. Rumah Saim separuh dijilat
api. Saim dan keluarganya selamat. Aku tergamam mengenang peristiwa malam tadi.
Sungguh sukar diterima. Aku kerap kali terbayang Saim, ayah dan emaknya, datang
menuntut bela.
3 comments:
sambungan??
Sebenarnya kisahnya masih menjadi mimpi ngeri dalam hidup 'Aku'. Sehingga dewasa (kini sudah berumah tangga) dia masih teringat tragedi itu yang terjadi semasa zaman kanak-kanaknya. Anda boleh andaikan punca kebakaran itu masih belum diketahui oleh Saim, ayahnya dan ibunya hingga sekarang. Sebab itulah 'Aku' masih rasa tidak tenteram hingga sekarang.
:) okay.
Post a Comment