Penerima Surat

Wednesday, August 21, 2013

Cerpen: Rencana Tuhan


Sepanjang jalan pergerakan kenderaan tersekat-sekat. Kesal. Aliran trafik yang macet telah menjadi rutin harian. 

Atiqah suri rumahku telah menghantar pesanan ringkas. Mungkin risau aku pulang terlalu lewat. Jalan menghala ke Kuala Lumpur agak lancar pula pergerakannya. Aku cemburu melihat kenderaan yang meluncur laju di laluan sana .

Tingkap ditutup rapat. Aku memainkan CD Zikir Terapi untuk menenangkan diri. Zikir-zikir menguasai ruang. Selesa dan tenteram. Aku memandu kereta perlahan-lahan mengekori deretan kenderaan yang beratur di hadapan.

Pandanganku terpaku sejurus mengerling ke cermin pandang sisi. Cahaya merah biru berkilau di susuli siren yang bingit. Kereta dan lori mula mengimpit ke bahu jalan. Aku turut berbuat demikian dalam gelisah. Sekilas lalu sebuah trak bomba melepasiku dengan pantas. Aku tergigil dalam resah.

Dahi dan tengkuk mula melengas. Seperti rasa cemas juga. Telefon bimbit yang terlantar di atas dashboard segera kucapai.

“Saya cuma hendak pastikan awak dan anak-anak selamat. Saya risau kalau ada perkara yang tidak diingini berlaku pada keluarga kita. Entahlah tiba-tiba perasaan resah datang kembali. Rasa bersalah.”ujarku meluahkan rasa tidak menentu pada Atiqah yang aku rasakan dapat mengubat keresahanku. Hanya Atiqah yang tahu punca rasa tidak keruan ini. Setelah kuceritakan lipatan sejarah itu setelah dia menjadi teman hidup.

“Mungkin awak letih. Nanti sampai rumah awak istirehat. Jangan dikenang kisah itu lagi,”saran Atiqah. Aku sedikit reda mendegar pertuturannya.

Kenderaan di laluan yang sukar itu mula bergerak sedikit demi sedikit sebaik trak bomba melepasi mereka.

Benakku dihantui kisah pahit itu. Amat sukar aku lupakan. Benar.

 “Astaghfirullah.” Aku cuba menenangkan resah. Hairannya, perasaanku tetap kecamuk. Aku sedar rencana Tuhan siapa pun tidak mampu terlepas.

***

“Khairul aku mahu pergi dahulu.”teriakku ke arah Khairul yang hanya bercelana pendek. Dia masih berendam di dalam sungai. Timbul tenggelam. Badannya yang gelap seperti disapu minyak apabila dibasahi air. Berkilat.

“Ya. Ya, pulanglah dulu. Aku belum puas.”

“Aku ke rumah Saim. Mahu tolong Saim kutip kelapa tua. Tidaklah macam kau. Duduk bawah ketiak mak sahaja.”

“Cis! Nanti aku datang.” Khairul sempat menunjukkan buku limanya kepadaku. Dia kemudian terkinja-kinja dalam air yang tidak jernih itu.

Dalam fikiranku terus menerawang untuk menikmati isi kelapa muda yang enak dan manis. Air kelapa sungguh menyegarkan di waktu kemarau. Rumah Saim banyak pohon kelapa. Kebanyakkannya kelapa gading dan kelapa mawar.

Kelapa-kelapa yang kering kami kutip untuk dijual di pekan. Sebiji lima puluh sen. Jika ada seratus biji. Aku, Saim dan Khairul berkongsi wang sebanyak lima puluh ringgit.

Ayah dan emak Saim amat menggalakkan kami mengutip kelapa di rumahnya. Malah ayah Saim yang mengesyorkan. Katanya, “belajar berdikari”. Aku ada memendam benci dengan orang tua Saim sebenarnya. Orang tua itu memerli kami,”Usah mandi di paya longkang. Itulah sebabnya kau berkudis buta.”.

Langit petang itu elok. Tiada tompok-tompok awan mendung. Cerah sahaja. Saim kulihat sedang memungut kelapa kering yang bertaburan di atas tanah. Ada kelapa dara yang masih rendah lagi dua tiga batang.

Memang ayah Saim gemar membiakkan pokok kelapa. Mungkin sebab itu halamannya dipenuhi pokok-pokok kelapa. Aku mendongak ke sebatang pohon kelapa. Ada kelapa muda. Masih hijau cair. Bergantungan dalam gugusan. Aku mula terngiur membayangkan air kelapa muda yang enak.

“Hei, lihat ni.”Khairul berteriak tidak beberapa jauh. Dia memegang sesuatu yang kecil. Sering kutemui bersama-sama penghisap rokok. Pemetik api berwarna merah.

“Mana kau jumpa? Benda ini orang-orang tua saja yang ada.”Saim tertarik sehingga kerjanya tergendala. Baju t-shirt merah lusuhnya yang kerapkali dipakai, ditarik bucu lengannya lalu dikesat dahi berpeluh.

“Aku jumpa di tepi sungai. Itulah kau Saim tidak mahu mandi di sungai. Macam-macam kami jumpa.”kata Khairul sambil tergaru-garu tengkuk yang berdaki. Kemudian digaru pula betis yang tertedah. Dia senang bercelana pendek sama sepertiku.

“Bukan sungai tapi paya. Longkang-longkang dari rumah-rumah semua menghala ke situ. Paya itu busuk baunya. Mak dan ayah aku tak benarkan mandi di paya. Bahaya.”Saim menjuih bibir.

Khairul terdiam. Aku juga terfikir sejenak. Aku tahu dia sangat akur dengan perintah ibunya. Tidak seperti aku yang sering melanggar nasihat emak dan ayah. Semua sungai yang menurut Saim paya longkang di kampung ini, telah aku dan Khairul rasai kesejukannya. Airnya sejuk dan sukar dipercaya sumbernya adalah longkang.

“Tapi airnya tidak keruh dan sejuk pula.”Aku pula mencelah cuba membela Khairul.

“Lepas mandi kita mesti panaskan badan dengan ini.”

Khairul terus bermain api.

Aku penuh teruja. Khairul cuba mengacuhkan api pada timbunan pelepah kelapa kering. Mujur dilarang Saim. Aku merenggut pemetik api itu daripada tangan Khairul. Kemudian aku berlari ke timbunan sabut kelapa dan cuba membakarnya. Belum sempat dinyalakan api, Khairul menyergahku. Aku berlari ke perdu kelapa. Cuba memanjat tetapi tidak berjaya. Khairul mengejarku pantas. Lalu menerkam badan kurus keringku dan kami hampir-hampir tersembam atas rimbunan pandan. Khairul merangkul badanku kemudian merampas kembali pemetik api itu. Kami ketawa berdekah-dekah. Saim hanya memerhati. Aroma serai wangi menusuk hidungku. Aku menyuruh Khairul membakar serai wangi yang tumbuh di antara rimbuan pandan dan pucuk manis. Tentu baunya semerbak harum.

Saim tidak duduk senang. “Jangan main api. Jangan.”

“Kenapa?”tanyaku. Kulihat Khairul mencabut sehelai daun serai wangi yang runcing dan panjang. Baunya menusuk hidung.

“Kecil kawan, besar lawan.”

“Wah, pandai kau bersajak.”

“Bukan sajak…peribahasa.”Khairul membetulkan disambut hilai ketawa kami. Saim mengetap bibir.

“Tak mengapalah. Aku mahu bakar semak-samun di belakang sana. Biar habis terbakar semua.” Aku menakut-nakutkan Saim. Kemudian aku mengajak Khairul beredar. Khairul menuruti tanpa banyak tanya.Kelapa muda  dan isinya yang manis aku lupakan. Saim keseorangan mengurus kelapa kering.

 “Jangan main api. Kecil lawan, besar kawan,”ujarku meniru gaya Saim. Khairul  tidak serik ketawa.

Aku dan Khairul terus berlari-lari merebut pemetik api yang bagi kami bukan mudah diperolehi. Kami berebut-rebut antara satu sama lain. Aku menggayakan seorang dewasa yang sedang menyalakan rokok dengan penuh bergaya.

“Macam Popeye.”Khairul berseloroh.

“Cis, kurang ajar.” Aku membaling batu kecil ke arahnya .  Dia tangkas mengelak. Gelak ketawanya yang terkekeh-kekeh menyakitkan hati.

Dalam keletihan kejar-mengejar, aku terpesona dengan  sepohon rambutan yang sarat dengan buah yang ranum. Buah rambutan itu merah menyala. Sekali lagi membuatkan aku menelan air liur.

Aku lihat Khairul lebih dahulu memanjat pokok itu. Dia hebat memanjat. Dia memetik buah rambutan yang ranum itu lalu menyumbat isi putih yang berjus masuk ke dalam mulutnya. Mulutnya kembung. Aku lantas turut memanjat.

“Diam, jangan bising.” Bisiknya sedang bertenggek atas dahan yang besar.

“Jangan bising. Nanti tuan punya rumah nampak. Mati kita.” Dia menambah. Aku sekadar mengangguk sahaja. Buah rambutan yang merah kupetik dan ratah isinya sepuas-puasnya.

“Malam ni kita ada operasi.” Khairul masih bertenggek. Tangannya tidak putus-putus mencapai rambutan dan menyumbat masuk isinya ke dalam mulut. Di satu ketika, dia meludah semula kerana tergigit biji rambutan yang pahit. Kemudian direnggut lagi buah rambutan yang bergayut di sisinya.

“Operasi?”

“Ya. Sia-sia kalau kita tidak manfaatkan mancis ni.”

“Pemetik apilah. Lighter, kata bapak aku.”Aku menggaru-garu kaki yang berparut. Bukan kerana kudis. Sebab digigit kerengga.

“Malam ini kita buat obor. Macam cerita dulu-dulu. Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi,” kata Khairul sambil berlagak seorang pahlawan dahulu dengan mendabik dada. Aku hampir tergelak melihat telatah Khairul yang kemudiannya nyaris terjatuh. Namun tangan kanannya cukup erat memegang dahan pokok.

 “Rumah Saim ada banyak sabut kelapa. Kita ikat pada batang kayu kemudian kita curahkan minyak gas padanya. Lebih mudah dibakar,”sambung Khairul.

“Wah, bijaknya kau,”pujiku.

Aku dan Khairul kemudian bercadang untuk pergi ke rumah Saim selepas Maghrib. Khairul menyaran supaya mengambil serat kelapa di laman belakang rumahnya untuk dibuat jamung api.

Seperti yang dijanjikan aku menanti Khairul di hadapan rumah Saim usai Maghrib. Aku berlindung di balik pokok bunga raya yang berdaun lebat. Aku cuba mengelak daripada dikesan ayah Saim yang baru pulang dari surau dengan motorsikalnya. Rumah Saim terang-benderang dilimpahi cahaya lampu kalimantang dari dalam.

Khairul sampai tidak beberapa lama kemudian bersama sebatang kayu seperti cota. Kami menyusup ke laman belakang rumah Saim terhendap-hendap. Aku membayangkan jamung itu nanti akan kami bawa berjalan sekeliling kampung. Sudah tentu budak-budak kampung yang melihat akan merasa kagum. Semestinya kami merasa megah.

Khairul mula mengikat serat sabut pada batang kayu. Setiap gerak-geri dikawal. Kami tidak mahu mereka tahu. Jika ayah Saim atau emaknya tahu mesti mereka menuduh kami hendak mencuri.

Jamung itu sudah siap dirapikan. Mataku menumpu ke arah rumah Saim penuh khuatir. Tubuhku berpeluh. Khairul mengarahku supaya aku memasuki kolong rumah Saim. Sama seperti rumah aku, Khairul dan kebanyakan rumah penduduk kampung semua berkolong. Di situlah letaknya minyak gas yang diisi dalam botol kaca. Ayah Saim yang punya. Aku yakin ayah Saim pasti meradang jika tahu tindakan kami.

Kami membongkok memasuki kolong itu. Khairul mencurah kesemua isi botol tergesa-gesa. Lalu dinyalakan api menggunakan pemetik api. Belum sempat dicucuh pada jamung, api menyambar mukanya lalu dibuang jamung itu ke atas tanah.

“Argh!” Aku melihat Khairul meraung kesakitan. Pedih. Mukanya habis melecur.

Sekejap sahaja api dari jamung itu merebak. Menjamah segala barang-barang di dalam kolong itu yang dijadikan setor barangan terpakai.

Aku menarik tangan Khairul keluar. Kami berlari meninggalkan kediaman Saim yang kian dimamah api. Begitu pantas. Sekejap sahaja api marak dan membakar rumah kayu itu dengan lahap. Kepulan asap hitam meruap ke langit malam seolah-olah memberitahu penduduk kampung tentang kecelakaan itu. Api yang menjulang-julang ke langit juga aku lihat tidak putus-putus menyalahkanku.

Aku dan Khairul meluru ke rumah masing-masing. Dalam kesal, cemas dan rasa bersalah gegendang telingaku tertangkap semacam bunyi pekikan siren. Aku menjangka tentu trak bomba, ambulan dan juga barangkali kereta polis berkejar ke rumah Saim. Aku mengintai dari jendela. Kilauan cahaya merah biru memancar terang. Aku menggigil ketakutan.

Pintu bilik dikunci dan aku berkurung agak lama sehingga siang dengan hanya sedikit tidur. Kerap terjaga. Melengas dan tidak tenteram. Kadang-kadang menangis.

Paginya, aku terdengar emak dan ayah berbual ketika bersarapan. Rumah Saim separuh dijilat api. Saim dan keluarganya selamat. Aku tergamam mengenang peristiwa malam tadi. Sungguh sukar diterima. Aku kerap kali terbayang Saim, ayah dan emaknya, datang menuntut bela. 































































3 comments:

Anonymous said...

sambungan??

Sebutir Pasir said...

Sebenarnya kisahnya masih menjadi mimpi ngeri dalam hidup 'Aku'. Sehingga dewasa (kini sudah berumah tangga) dia masih teringat tragedi itu yang terjadi semasa zaman kanak-kanaknya. Anda boleh andaikan punca kebakaran itu masih belum diketahui oleh Saim, ayahnya dan ibunya hingga sekarang. Sebab itulah 'Aku' masih rasa tidak tenteram hingga sekarang.

Anonymous said...

:) okay.