Penerima Surat

Sunday, September 28, 2014

Bengkel Potret #1

21 September 2014

Hari pertama bengkel potret. Aku datang awal ke fakulti. Menaiki basikal MTB. Pukul sepuluh pagi, kelibat Mus dengan housematenya muncul depan pintu lif. Aku biasa-biasa. Aku membetulkan duduk. Bernafas dengan teratur. Bersedia seadanya. 

Nama housemate Mus, Khairi. Kami bertukar maklumat latarbelakang diri. Khairi juga merupakan coursemate Mus. Fizik. Mereka budak fizik yang kini duduk di kelas seni. Bagaimanakah? Aku dapat merasakan pertembungan antara sains dan seni bakal terjadi. Sudah tentu aku bakal tenggelam dalam salji yang berupa soalan-soalan berbentuk fizik. Teori kinetik, velositi, pecutan, dan inersia. 

Aku tenang sahaja. Sambil merenung ke luar jendela untuk menjadikan pertemuan ini bermakna. Terus terang sahaja aku ujarkan pada mereka, "Aku tak ikut mana-mana kelas melukis." Aku pun sekadar suka-suka melukis. Hanya ada sekelumit bakat anugerah daripada Tuhan. Yang aku sayang jika hilang begitu sahaja. Sebab itulah, aku set up bengkel ni. Yang ada hanya minat, pensel dan kertas. Tujuan aku sebenarnya buka bengkel ini pun, sekadar mahu mengumpul rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. 

Aku bentangkan perancangan masa depan bengkel ini. Aku katakan pada mereka, "Kita boleh jual lukisan. Dengan duit hasil jualan, kita beli pula lukisan-lukisan OKU." Aku rasa itu satu bentuk bantuan. Seni tidak memandang paras rupa. Kita bukannya membeli lukisan, tetapi kita mengagumi seni. 

Kemudian, aku menyambung, "Kita juga boleh buat buku. Cerpen setiap peserta bengkel kita kumpulkan dalam satu buku. Tapi buku ni special. Kita letak ilustrasi dalam bentuk potret. Sebab itu kita kena kumpul ramai orang untuk menulis. Apa macam?" 

Khairi meneguk air liur. Dia seakan kagum. Tapi bagi aku idea ni biasa-biasa saja. Bukannya idea mahu ke angkasa lepas pun. Semua orang boleh buat. Juga, tidaklah serumit langkah Kajang pun. Sekadar duduk-duduk, lukis-lukis, dan tulis-menulis. Alah. Biasa sangatlah. Tetapi, yang biasa-biasa ini pun orang tak nak buat. 

Kita bukannya membeli lukisan, tetapi kita mengagumi seni. Sebab apa lukisan-lukisan masih mampu dijual beli? Sedangkan sudah ada teknologi dan fotografi? Sebab dalam susuk manusia itu ada ruh. Ruh kan sifatnya seni. Masakan mungkin seni membenci seni?

Khairi kemudian menanya tentang pengalaman aku melukis. Bagaimana? Bila? Di mana? Dan mengapa? Semua aku jawab. Sehinggakan ada soalan yang terpaksa aku jawab dengan memasukkan falsafah. 

"Contohnya Leonardo da Vinci. Mamat ni seorang inventor, ahli matematik dan fizik, tapi sangat expert melukis. Sebenarnya, lukisan realism ni amat berterima kasih dengan matematik sebab sediakan skala. Kalau tak, larilah semua portion potret."

Dia kelihatan amat tertarik dengan penjelasan yang aku berikan. Dia rasa fizik dan seni tak lari jauh. Kemudian kami menamatkan bengkel pertama kami. Sebelum berpisah, aku pesan kepada mereka supaya ajak lagi rakan-rakan lain yang sama kepala. Mereka meninggalkan perkarangan Mercu Alam Bina. Aku mengayuh basikal dengan girang. 

Lagenda: Nama-nama watak di atas bukan nama sebenar dan jalan cerita juga bukanlah kisah benar. 



No comments: