Kilauan
lampu neon yang memancar di sepanjang jalan menemani perjalanannya seorang
diri. Hujan lebat telah reda dengan sedikit saki baki rintik gerimis halus.
Sekali-sekala tubuhnya disapa kedinginan angin kota yang entah masih segar
selepas hujan ataupun sudah larut dalam udara tercemar. Kemeja kelabu lusuh
yang menyaluti tubuhnya sedikit basah. Kesejukan yang menusuk hingga ke tulang
hitam berjaya dikurangkan dengan melilit mafla hitam pada leher. Sekali sekala
dia membuka topi coklat menyeka rambutnya yang kusut. Sebenarnya dia ingin
sekali membilas rambutnya yang sudah lama tidak dirapikan.
Kelam.
Terowong laluan motosikal itu gelap dan sempit. Lampu yang sepatutnya menerangi
jalan bawah lebuhraya itu terang benderang. Barangkali lampu itu sudah tiba masanya
untuk manamatkan khidmat. Pada jalan dan pada penunggang motosikal. Juga pada
manusia sepertinya. Lelaki itu ada juga terfikir barangkali manusia juga
begitu. Sudah tiba masa mereka berehat , setelah semua khidmat dilangsaikan.
Seharusnya mati lebih baik pada masa itu. Namun apa pula nasib si bayi yang
mati ketika baru sahaja menjenguk alam yang asing ini? Mungkin. Mungkin khidmat
hanya satu. Tetapi lebih besar. Iaitu memberitahu manusia bahawa hidup di dunia
sementara sahaja. Ataupun lebih penting lagi, mereka cuba ingin menyampaikan
pada manusia bahawa kematian boleh menjemput mereka bila-bila sahaja.
Beberapa
langkah dari mulut terowong itu ada tiang besar. Di celah antara tiang dan
dinding terowong yang sempit itulah kamar beradunya. Selalunya dia tidak
menghabiskan masa yang lama disitu. Terowong itu hanya kehidupan malamnya untuk
tidur sahaja. Jika siang masih menjemput dia akan segera beredar dari dunia
sempit, gelap, dan hapak itu mencari dunia yang sebenar yang menggugah banyak
jiwa manusia.
Adik
menangis teresak-esak. Mendengar bunyi tali pinggang besar abah yang menyentuh
kulit Angah. Malah tangisan adik lebih kuat lagi bila Angah meraung kesakitan.
“Aduh!
Ayah, Angah minta maaf. Angah minta maaf. Angah tak nak buat lagi.” Rayu Angah
pada Ayah yang masih cermat memegang tali pinging kulit di tangannya pejal.
“Diam!”
jerit Ayah yang tidak dipastikan khas kepada siapa. Sama ada pada Adik atau
pada Angah. Serentak adik dan Angah terdiam dengan satu herdikkan garau itu.
Sekali
lagi libasan tali pinggang menyerap kulit tubuh Angah. Kali ini pada betisnya.
Angah meraung. Lebih kuat dan sungguh. Ayah membeliakkan mata.
“Rasakan.
Ini padahnya orang macam kau.” Wajah Ayah memang bengis pada jari itu. Tidak
pernah dia melihat wajah sebengis itu sebelum petang yang lembut dan bersahaja
hari tersebut.
Zappp!!!
Deruman
motosikal menggegar suasana terowong. Lelaki itu tersentak daripada tidur. Dia
melihat dihujung terowong masih tiada cahaya lagi. Pantas dia bangkit
membersihkan pakaiannya dengan mengibas-ngibas menggunakan tangan. Kotoran debu
yang melekat cuba dihilangkannya bersungguh. Sebelum hari cerah, lelaki itu
cepat-cepat keluar dari terowong itu. Bilangan motosikal yang melalui terowong
itu kian bertambah. Tetapi sebenarnya agak berkurang daripada hari-hari
sebelumnya. Sebelum lampu yang menerangi terowong itu rosak. Mungkin disebabkan
kegelapan itu ramai orang sedar betapa yang melalui terowong itu akan
menghadapi kesukaran dan mara bahaya yang sukar diduga.
Azan subuh
memecah suasana hening. Udara masih segar dan dingin. Dan sungai yang mengalir
di sisinya di tengah kota raya itu menyajikan bau yang bukan asing baginya
pagi-pagi itu. Hari ini dia lari dari timbunan bahan buangan di balik-balik
lorong. Malah ingin ke suatu tempat yang mungkin segala isi hatinya bisa
diluahkan. Semangatnya hari itu telah dihangatkan dengan cita-cita. Cita-cita
menuntut agar diberi peluang sekali lagi hidup dalam keadaan biasa. Biasa
seperti dahulu. Di hujung laluan pejalan kaki itu, samar-samar dia melihat
batang tubuh yang berjalan bertentangan arah dengannya. Dia yakin tubuh itu
milik sesorang yang biasa di jumpainya. Seorang pemuda biasa yang bekerja di
pusat membeli belah tidak jauh jarakknya dari situ.
“Pak Kasim,
apa khabar?” Pemuda itu merebut dahulu peluang bertanya khabar.
“Hai,
tiap-tiap hari kamu tanya khabar saya. Kalau boleh hendak sahaja saya kumpul
seminggu pertanyaan kamu yang satu ini. Cukup seminggu baru saya jawab.” Ujar lelaki
itu berseloroh.
“Ini yang
buat setiap hari saya ceria. Sungguh.” Ujar pemuda itu lalu disambut deraian
gelak tawa mereka berdua.
Selepas
bertukar khabar dan perkhabaran kelmarin, masing-masing memilih hala tuju sendiri. Lelaki itu
sebenar kurang mengerti mengapa pemuda yang sering dijumpainya sejak awal tahun
lalu itu cukup rajin dan berdikari. Pemuda yang dijumpainya itu mula pergi ke
tempat kerja seawal pukul 6 pagi lagi. Saban hari bekerja. Mungkin latar
keluarganya yang membuatkannya sentiasa berdikari dan bersemangat.
Mungkinkah
asal kampung halamannya yang serba kekurangan
membuatkannya serajin itu. Apabila ke kota, peluang yang ada itu tidak
disia-siakannya. Sementalah dia punya pekerjaan dan anak muda seperti itu
seeloknya tidak patut dicemari dengan anasir yang menggugat impian. Malah dia
punya jati diri. Tangkal agamanya juga dibawa. Entah apa anutannya. Baginya pemuda
itu punya tugas dan khidmat sendiri. Barangkali pada keluarga di kampungnya
malah lebih tepat lagi pada cita-cita dirinya sendiri. Cumanya seringkali
lelaki itu bertanya pada dirinya sendiri. “Apa tugas aku sekarang?” seringkali
lelaki yang memegang falsafah dirinya sendiri bertanya soalan demikian.
Dia bukan
memegang teguh kata-katanya, cumanya persoalan yang sering berulang-ulang diajukan
pada diri sendiri membuatkan semacam falsafah, menjadi sebati dalam dirinya.
Faham yang melekat pada jiwanya mendorongnya berfikir setiap manusia yang wujud
mempunyai tugas-tugas dan khidmat masing-masing. Bila tugas itu selesai di sisi
Pencipta, maka tibalah masanya meninggalkan kehidupan dunia. Dan yang
menghantuinya sekarang ialah tugasnya yang masih kabur dan semacam sudah sirna.
Namun dia masih berkehidupan. Ya, di terowong sempit dan timbunan bahan
terbuang.
Selipar
yang dipakainya masih basah dengan wuduk. Segelas air suam ditempah pada
pelayan restoran yang sering ditandanginya setiap pagi.
“Tidak mengapa
hari ini saya belanja Pak Ngah.” Pelayan
restoran itu menolak bayaran yang hendak diberi lelaki itu.
“Betul
ni?” Lelaki itu seakan tidak percaya.
“Ya. Hari
ini saya murah hati. Lagipun Pak Ngah baik sama saya.” Balas lelaki Bangladesh
itu sambil tersenyum.
Lantas lelaki
itu menyimpan kembali wang syiling dua puluh sen ke dalam poket seluarnya. Air
kosong segelas setiap pagi adalah menu yang paling berkhasiat baginya. Nasi dan
kuah adalah menu harian. Sementalah umur yang semakin bertambah dan kesihatan
yang kiat tergugat membuatkannya perlu berhati-hati memilih makanan.
Seekor
kucing menggesel-gesel kepala di kakinya. Lantas dia melihat kucing kurus
bertompok-tompok hitam dan putih warnanya cuba merayu simpati.
“Aku cuma meminum air suam. Sudah tentu kau tidak minum air seperti ini, bukan? Kalau kau manusia sudah tentu kuberikan wang.” Ujarnya kepada
kucing itu.
Sukar
baginya untuk menafikan. Hidup selama ini tidaklah sesukar ini. Mungkin sekelip
mata sudah cukup mencorak perubahan yang besar pada dirinya. Seorang lelaki
yang mempunyai kerjaya dengan kewangan yang kukuh, normal, berkeluarga, dan
sedikit kesedaran. Itulah dia dahulu. Kini apabila sudah ditempelak, menjadi
kusut, masai, luar biasa, dan tinggi kesedaran namun masih dalam samar-samar
mencari destinasi.
Di hujung
jalan yang cerah disinari mentari pagi, beberapa gerombolan manusia sedang
berkumpul. Dari kejauhan mereka membawa kain rentang, semangat dan jiwa
berkobar-kobar.
“Aku perlu
ke sana. Aku sepatutnya di situ.” Lantas kakinya diatur deras ke arah
gerombolan itu. Seolah-olah ingin berpadu bersama.
“Apa yang
kamu perjuangkan?” tanya lelaki itu pada seorang lelaki lebih muda daripadanya.
Dalam usia 30-an. Pada anggapannya lelaki muda itu lebih kurang nasibnya
seperti dia. Dan mungkin mempunyai mimpi yang sama sepertinya.
“Aku nak
hak aku.” Kata lelaki 30-an itu separuh jerit di tengah kicauan burung dan
disahut gegak gempita gerombolan itu.
“Apa hak
kau?”
“Tak perlu
kau tahu. Mereka yang rampas hak aku. Mereka sepatutnya sudah tahu.”
Lelaki itu
tambah keliru. Masih belum mengerti kata-kata lelaki usia muda itu. Topi dan
kemeja lusuh masih membaluti tubuh yang kian bermandi peluh.
Apabila
penglihatannya terpandang ke sepanduk besar yang dijulang mereka, baru dia
mengerti apa maksud lelaki muda itu.
“Bagus
anak ayah. Rajin. Kalau angah rajin, ayah sayang angah.” Puji ayah dengan suara
yang rendah. Tangan pejal dan kasar ayah menyentuh ubun-ubun angah. Manja.
Penuh kasih sayang.
“Ayah,
nanti sudah besar, Angah nak jadi usahawan.”
“Usahawan
apa?” tanya ayah berkerut dahi.
“Usahawan
ternak lembu.”Anak mata Angah merenung tepat ke wajah ayah yang bertukar lembut
pada hari itu.
“Bagus.
Tetapi kena usaha sunguh-sungguh tahu. Kena belajar rajin-rajin dan jangan
sesekali putus asa. Duit bukan segala-galanya.”
Itukah
nasihat? Lelaki itu masih belum mengerti. Ayah telah bertukar menjadi serigala
yang bukan jinak apabila tiba petang itu. Petang yang sangat perit walau
suasananya lembut dan berangin.
Lelaki itu terus
berjalan sepanjang laluan pejalan kaki yang ditaburi daun-daun kering dan
sampah plastik.
Di taman,
sinar pagi yang cerah telah mencuri masuk ke celah-celah dedaun angsana yang mekar
dan rendang. Bangku panjang yang utuh masih di situ, di tepi kolam yang tenang.
Masih setia menerima kehadirannya.
Lelaki itu
hampir terlena dek disapa ketenangan di situ.
“Tuan.
Tuan, bangun.”Tiba-tiba dia dikejutkan. Serta merta. Lelaki itu menggosok-gosok
matanya yang masih berpinar-pinar.
Dia
melihat Angah di hadapannya.
Sekali
lagi dia menggosok-gosok matanya. Seakan tidak percaya.
“Ya. Saya Rais.”
Jelas lelaki berwajah Angah itu.
“Rais?”lelaki
itu membeliakkan mata.
“Ya.” Lelaki
empunya nama Rais itu menyambut tangan lemah lelaki itu lalu menciumnya.
Lelaki itu
bisa merasa sesuatu yang hangat mengalir dari mata Rais lalu menyentuh
tangannya.
“Ayah.
Maafkan angah.” Butir-butir kata Rais kian menyentuh lelaki itu. Lelaki itu
belum sedar dalam gamamnya. Terus mencurah macam-macam di benaknya. Benar,
sekelip mata sahaja sudah memadai untuk merubah segalanya.
“Ayah,
mari kita pulang.” Rais menarik tangan ayah lembut. Sudah berbelas tahun inilah
kali pertama dia merasa hidup seperti manusia biasa. Apabila Rais yang pernah
menerima nasihat dan pernah dipukul itu kembali lagi dalam hidupnya.
Kini dia
terngiang-ngiang; “Duit bukan segalanya.” Sementalah dia sendiri pernah
terjerat dalam soal itu yang memusnahkan separuh hidupnya.
Juga, kini dia seperti
merasa diberi tugas baru. Menjadi seorang ayah.
No comments:
Post a Comment