Penerima Surat

Sunday, July 15, 2012

Situasi-Cerpen

Assalamualaikum.

Di sini saya membawakan sebuah cerpen berjudul "Situasi". Cerpen ini berkaitan dilema yg dihadapi oleh si ayah. Bagaimana penyelesaiannya? 

Diharapkan anda sudi membaca walaupun cerpen ini agak panjang. Sila komen kalau sudi.






Situasi

Taman permainan petang itu dipenuhi kanak-kanak bermain buaian, jongkang-jongkit, dan gelongsor. Cuaca agak baik di petang hari minggu tersebut. Udara pun agak nyaman dan sesuai bagi mereka yang ingin mencari ketenangan di taman rekreasi.
            Andy turut bermain seperti kanak-kanak yang lain. Dia amat tertarik dengan papan gelongsor yang berbentuk lingkaran berputar. Sudah beberapa kali dia turun naik gelongsor bagi memastikan dirinya puas bermain sebelum senja menjemputnya pulang ke rumah.
            Tubuh kecil Andy dibasahi keringat hingga lencun baju T warna jingga kesukaannya.
            Seorang lelaki bermisai tebal rupa-rupanya sudah lama memerhati Andy. Tidak jauh dari gelongsor tempat Andy bermain. Lelaki itu bersembunyi di balik pokok mempelam yang rendang . Lelaki itu berjaket hitam, berseluar jeans lusuh berwarna biru cair.
            Tiada sesiapa yang perasan gerak-geri meragukan lelaki itu.
            Apabila langit semakin gelap dan matahari hampir-hampir terbenam, lelaki itu menghampiri Andy dengan lebih dekat. Ketika itu sudah ramai kanak-kanak dijemput ibubapa  mereka untuk pulang ke rumah. Andy mahu menghabiskan satu lagi papan gelongsor pula sebelum pulang ke rumah. Andy di jaga neneknya yang tinggal tidak beberapa jauh dari taman tersebut. Ayah Andy yang menghantarnya ke rumah nenek.
            “Kenapa ayah hantar saya ke rumah nenek?” soal Andy kepada ayah beberapa minggu lalu.
            “Ada sebabnya. Yang penting, ada seseorang yang akan hadir dalam hidup kita.”kata ayah ringkas sebelum meninggalkan Andy dengan nenek. Andy hendak tanya siapa orang tersebut, tetapi ayah lekas-lekas meninggalkan Andy. Ayah memecut laju Honda City seperti dalam perlumbaan.
            Andy memandang Nenek pula.
            “Nenek tahu siapa orang yang ayah maksudkan?” soal Andy pada nenek pula. Nenek tersenyum lalu menampakkan sedikit bahagian gigi palsunya.
            Nenek memegang bahu Andy.
            “Orang itu akan menemani kamu bermain nanti.”
            “Tapi siapa?”
            “Kamu akan tahu sebaik ayah menjemput kamu .”ujar nenek ringkas.
Andy terpaksa menerima keadaan itu. Apabila orang disekeliling mahu menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya. Dia sedar kanak-kanak sepertinya tidak perlu tahu banyak perkara seperti orang dewasa. Kanak-kanak mempunyai tugas mereka sendiri. Seperti kata ayah. Kanak-kanak perlu menghabiskan masa dengan dunianya. Kerana masa kanak-kanak amat singkat.
            Andy tiba-tiba terasa ada seseorang sedang hadir ke arahnya dari arah belakang. Bunyi derap kasut semakin kuat. Andy berpaling ke belakang.
            “Oh, pak cik.”Andy agak senang dengan kehadiran lelaki itu.
            “Kamu masih ingat pakcik lagi?”Lelaki bermisai itu berlagak baik dan mesra.
            “Tentulah misai kamu seperti tidak pernah di cukur. Lagipun saya selalu terbayang pak cik dengan jeep pak cik. Bagaimana jeep tu adakah warnanya masih hitam?”
            “Oh sudah tentu. Hitam warna kegemaran saya.”Lelaki duduk disebelah Andy di atas bangku yang tersedia di taman itu. Lampu taman mula menerangi kawasan tempat duduk mereka.
            “ Saya juga sukakan hitam.”
            “Kenapa pula? Kamu sepatutnya sukakan warna cerah.”
            “Hitam seperti rahsia. Kita hanya akan lihat apa yang ada di sebalik kegelapan itu setelah cahaya di pancarkan.”ujar Andy kian mesra dengan lelaki itu.
            “Kamu seorang yang bijak. Dari mana kamu belajar semua ni?”Lelaki bermisai sengaja melayan Andy supaya kanak-kanak itu selesa dengannya.
            “Saya baca dalam sebuah komik kegemaran saya. Komik itu semuanya tentang pertarungan yang hebat. Saya banyak belajar dari komik tu.” Andy semakin leka di samping lelaki bermisai tebal tersebut, walaupun hari sudah lewat senja. Lelaki itu sentiasa membuat-buat seperti mengambil perhatian supaya muslihatnya tidak diketahui Andy.
            Mereka terdiam seketika apabila lelaki itu menyalakan rokok menggunakan pemetik api. Tidak lama kemudian lelaki bermisai tebal menghembuskan asap putih  berkepul-kepul. Andy menutup hidung lalu berlakon tercungap-cungap. Lelaki itu tergelak  melihat telatah Andy. Dia menggosok-gosok kepala Andy. Berlakon mesra.
            “Awak mahu jumpa ibu awak?”tiba-tiba lelaki bermisai tebal mengaju soalan itu.
            Andy seperti tidak percaya.
“ Sudah tentu. Ibu sudah lama tidak pulang ke rumah.”kata Andy tidak sabar-sabar.
            “Okay, kalau begitu ikut saya. Mula-mula kita makan dulu.”
            “Yeah, saya suka McD!”
            “Mmm, okay cadangan diterima.”
            “Tapi bagaimana nenek?”Andy menyatakan kerisauan tentang neneknya di rumah. Lelaki itu cuba mencari alasan bagi memastikan Andy mengikutnya.
            “Jangan risau saya sudah maklumkan pada nenek kamu. Bukankan nenek kamu pernah menumpang jeep saya? Sudah tentu nenek kamu kenal saya.”Lelaki bermisai tebal cuba memberi alasan kukuh. Andy percaya bulat-bulat  pujukan lelaki itu.
            Kemudian, mereka berjalan menuju ke sebuah jeep berwarna hitam di parkir kereta. Andy amat teruja menaiki jeep itu. Dia teringat satu rancangan televisyen yang mempamer aksi –aksi menarik sebuah jeep di laluan mencabar, seperti di kawasan gurun dan pergunungan.
            “Wow, saya harap jeep ini mampu terbang.”Andy berseloroh.
            “Ada-ada sahaja kamu ni.” Ujar lelaki bermisai  sambil ketawa lalu memulas kunci. Mereka bergegas meninggalkan taman permainan itu. Waktu itu suasana persekitaran sudah gelap. Lampu neon sudah lama menerangi sepanjang jalan di kawasan perumahan. Ketika mereka melewati rumah nenek, Andy rasa tidak sedap hati. Dia sedikit gelisah. Namun, dalam masa yang sama dia mahu berjumpa ibu.
            Mak Cik Rosie semakin risau. Kebiasaannya Andy akan ke rumah jiran mereka selepas bermain. Berjumpa dengan rakan sebayanya, Syafeeq,  anak pasangan Doktor Haleem dan Doktor Fatimah. Tetapi baru sebentar tadi nenek menghubungi Doktor Haleem. Menurut Doktor Haleem, Andy tidak datang ke rumah mereka seperti hari biasa.
            Mak Cik Rosie semakin cemas. Adakah cucunya masih di taman?
            “Ya, mungkin dia masih di taman!”dia bingkas bangun lalu memakai selendang di kepala. Dia dengan kadar segera keluar dari rumah lalu bergegas ke rumah Doktor Haleem.
            Mak Cik Rosie mengetuk pintu utama kediaman pasangan doktor perubatan itu yang bertugas di poliklinik tidak jauh dari situ. Dia juga membunyikan loceng.  Terdengar suara Doktor Haleem sedang membaca Al-Quran. Kemudian suara itu terhenti. Tidak lama kemudian pintu utama dibuka. Susuk tubuh Doktor Haleem muncul di hadapan pintu. Kelibat Syafeeq turut kelihatan di belakang ayahnya.
            “Oh, Mak Cik Rosie. Silakan masuk.”Doktor Haleem menyambut kedatangan Mak Cik Rosie sambil tersenyum menampakkan sebaris gigi yang putih. Dia tinggi lampai dan berjanggut pandak.
            “Maafkan saya. Begini, saya fikir Andy ke rumah kamu. Tetapi sampai sekarang dia tidak pulang kerumah.”Mak Cik Rosie semakin runsing. Dia menekan-nekan kepalanya yang pening.
            “ Kamu sudah mencari di taman?”Doktor Haleem ingin kepastian lanjut.
            “Belum. Sebab itu saya ingin pertolongan kamu. Saya harap kamu sudi membantu.”
            “Ya, mari kita periksa  di taman.”
            Doktor Haleem dan Mak Cik Rosie berjalan bersama-sama ke taman. Doktor Haleem membawa sekali dua biji lampu suluh. Doktor Fatimah turut kelihatan di muka pintu apabila suaminya bergegas keluar dari rumah. Dia dan Syafeeq turut risau.
            Di taman, Doktor Haleem dan Mak Cik Rosie memanggil-manggil nama Andy. Mereka mencari di setiap tempat di taman. Mak Cik Rosie menyuluh di kawasan rimbunan pokok-pokok bunga. Dia juga memeriksa setiap alatan permainan. Usahanya hanya sia-sia kerana kelibat Andy langsung tidak muncul.
            Doktor Haleem menyarankan Mak Cik Rosie meminta bantuan daripada pihak polis. Mak Cik Rosie tiba-tiba terduduk kepenatan. Dia dan Doktor Haleem kemudian pulang ke rumah untuk mengambil ubat. Mak Cik Rosie mengadu pening kepala dan rasa seperti hendak pitam.
            “Richard, saya ada sesuatu hendak beritahu kamu.”Doktor Haleem menghubungi Richard melalui telefon.
            “Mengapa Haleem? Sesuatu yang pentingkah?”
            “Begini, anak kamu tidak pulang ke rumah neneknya sejak petang tadi. Katanya dia bermain di taman. Tetapi terus tidak pulang-pulang.”Doktor Haleem cuba menjelaskan satu-persatu.
            Richard terbungkam seketika. Lidahnya seperti kelu hendak berbicara.
            “Kamu sudah mencarinya?”Richard lantas menyoal setelah terdiam beberapa saat. Tindak balasnya agak lambat setelah mendengar sesuatu yang di luar jangkaan.
            “ Sudah di taman. Kemudian saya menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan. Mereka sudah pun memulakan operasi mencari. Saya harap kamu bertenang. Ibu kamu ada di rumah saya. Dia kelihatan tidak sihat sedikit.”
            “Baiklah saya akan pulang dengan kadar segera.”Richard mengakhiri perbualan. Dia tergesa-gesa menuju ke keretanya. Dia mahu ke rumah ibunya di Gombak untuk mencari Andy.
            Richard merasa sesuatu yang tidak kena pada keretanya. Keretanya seperti tidak stabil.
            “Ah, bocor pula!”Richard membentak keras.
            Dia lekas-lekas meluru keluar lalu menahan teksi di tepi jalan. Dia tidak fikir untuk menukar tayar kereta pada masa itu kerana memakan masa. Agak mudah mendapatkan teksi di tempat kerjanya. Dia meminta pemandu teksi membawanya ke Gombak walau asalnya pemandu itu agak keberatan.
            Richard menelefon Doktor Haleem. Dia memberitahu bahawa dia tidak boleh hadir segera kerana tayar keretanya bocor. Dia meminta supaya Doktor Haleem memaklumkan kepadanya tentang apa-apa maklumat terbaru mengenai kehilangan Andy.
            Richard meminta supaya pemandu teksi itu menambah kelajuan. Dia ingin segera sampai.
            Richard tidak dapat duduk diam. Dia bertambah gelisah. Adakalanya dia buntu. Hiruk-pikuk kota menambah keresahannya. Udara nyaman di dalam teksi tidak membantu melegakan keresahannya.
“Hello Doktor. Saya harap awak boleh bantu saya.” Richard menelefon pula Doktor Haleem. Kali ini nadanya agak serius. Doktor Haleem hanya mendengar sepenuh perhatian.
            “Ada kamu tanya anak kamu, adakah dia ternampak seseorang yang mencurigakan bersama Andy?Di taman mungkin.”Richard cuba menyoal siasat. Khuatir anaknya menjadi mangsa penculikan.
            “ Oh, anak saya tidak ke taman petang tadi. Dia ada kelas belajar Al-Quran.”
            “ Kalau begitu… mungkin di hari-hari sebelumnya? Atau dimana-mana?”
            Doktor Haleem agak lama untuk menjawab. Dia mengaju beberapa soalan berkaitan Andy kepada  Syafeeq. Kemudian dia kembali dalam perbualan.
            “Mungkin perkara yang saya beritahu ini boleh diberi perhatian. Andy pernah memberitahu kami mengenai seorang lelaki bermisai tebal yang selalu memandu jeep hitam. Anak lelaki saya juga pernah lihat lelaki itu. Katanya, akhir-akhir ini, lelaki itu selalu kelihatan di kawasan sini.” Kata Doktor Haleem menyampaikan maklumat dari anaknya kepada Richard.
            Mak Cik Rosie yang turut berada di rumah Doktor Haleem terdengar perbualan itu. Tiba-tiba fikirannya teringat seorang lelaki bermisai tebal. Lelaki itu pernah menumpangkannya dan Andy untuk pulang ke rumah dengan menaiki jeep hitam seperti yang Doktor Haleem katakan. Ketika itu dia sedang menunggu teksi selepas membeli barang keperluan di pasar raya, kira-kira seminggu yang lalu.
            “Hello Richard, ini ibu.”Mak Cik Rosie terus merampas telefon dari genggaman Doktor Haleem.
            “Ya, ibu. Adakah ibu kenal lelaki itu?” Richard terus bertanya.
            “Tidak. Tetapi seminggu yang lepas dia menumpangkan kami dengan jeepnya. Ibu sangka dia lelaki yang baik hati.” jelas Mak Cik Rosie tersekat-sekat. Dia terus mengalirkan air mata berjurai-jurai.
            “Saya harap ibu dapat bertenang. Jadi, saya minta ibu segera memaklumkan perkara ini kepada pihak polis.”Richard cuba menenangkan ibunya padahal dirinya sendiri cukup gelisah pada masa itu.
            Richard melihat papan tanda di tepi jalan. Perjalanan ke Gombak masih berbaki 20 kilometer. Dia terus gelisah.Dia berharap pihak polis dapat menahan lelaki yang ibunya maksudkan untuk membantu siasatan. Wajah Andy yang periang semakin kerap berlayang di fikiran.
            Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Terketar-ketar tangannya ketika hendak menekan butang untuk menjawab panggilan.  Dia amat mengenali pemanggil itu. Dia amat pasti suara yang menghubunginya kali ini adalah isterinya.
            “Saya selamat melahirkan anak kita.” Suara itu beralun rendah dan lemah.
            Encik Richard sekali lagi terjeda. Kali ini agak lama.
            “Orang baru yang akan menemani Andy bermain dan membesar bersama.”suara isteri Richard kali ini lebih ceria.
            Kelibat Andy semerta-merta menjelma di benak Richard. Dia menjadi serba-salah. Perlukah dia memberitahu perkara yang sebenarnya terjadi pada Andy? Dia kini terkurung dalam dilema. Kadang-kadang kesedihan itu lebih besar kesannya pada kita berbanding sesuatu yang menggembirakan.
            Richard terus mendiamkan diri. Dia hanya menunggu isterinya untuk menyambung perbicaraan.
            “Saya harap Andy gembira dengan adik lelakinya ini. Bagaimana dengan Andy? Dia gembira dengan neneknya?”Tiba-tiba isteri Richard mengajukan soalan sedemikian.
            Andy tidak rasa dia perlu memberitahu perkara yang sebenarnya. Lebih baik dirahsiakan sahaja perkara itu. Apabila Andy diketemui dia akan memberitahu perkara yang sebenarnya berlaku terhadap Andy kepada isterinya.
            “Ya, dia suka tinggal dengan neneknya. Saya minta maaf kerana tidak dapat di samping kamu, di saat kelahiran anak kita.”suara Richard agak kesal. Namun dia sebolehnya ingin menyembunyikan sesuatu yang lebih besar. Perbualan tidak lama selepas itu kerana isteri Richard masih lemah setelah bersalin.
            Richard masih sugul di sisi Mak Cik Rosie di ruang tamu rumah ibunya. Laporan polis telah dibuat memandangkan Andy masih tidak dijumpai dalam masa 24 jam. Hampir sehari suntuk mereka mencari Andy di sekitar Gombak, tetapi usaha mereka tidak berhasil. Malam semalam dia terpaksa berbohong kepada isterinya. Dia katakan, dia terpaksa pulang ke rumah ibunya di Gombak kerana ibunya kurang sihat. Mujur isterinya cukup baik, malah menyuruhnya segera ke Gombak untuk melawat ibu. Isterinya masih dirawat di hospital swasta di ibu negara.
            “Maafkan ibu, Richard.” kata-kata itu dilontar Mak Cik Rosie sebaik melihat Richard tidak dapat duduk tenang. Richard menekup muka dengan tangan. Di benaknya bermacam-macam perkara berlayang-layang menghantui diri.
            “Sepatutnya, ibu perlu menjaga Andy dengan lebih berhati-hati.”Mak Cik Rosie terus menyalahkan diri sendiri.
            “ Sudahlah, ibu. Perkara itu sudah terjadi. Saya yang sepatutnya disalahkan. Kerana gagal menjadi ayah yang baik. Saya sepatutnya lebih mengutamakan keluarga daripada perniagaan saya.” Richard turut berasa harus dipertanggungjawabkan. Selama ini, dia sentiasa bermain dengan pelbagai alasan untuk mengelak meluangkan masa dengan keluarga sendiri. Padahal dia sebenarnya menghabiskan banyak masa untuk perniagaannya.
            Kemewahan kini tidak memberikannya apa-apa kecuali kesedihan dan penyesalan. Dahulu, dia menganggap kemewahan adalah kunci kebahagian. Tetapi falsafah itu sekarang sudah boleh   diabaikannya. Malah perlu dibuang jauh-jauh.
            Entah mengapa hidupnya kini dirasakan cukup tidak bermakna. Kemewahan seperti tiada sesuatu yang dapat memikat hatinya kembali. Dia rasakan dirinya kini dihuni kegelapan yang paling dalam. Seperti tidak kelihatan satu jalur cahaya sekali pun. Kegelapan itu dirasakannya bersendirian. Kerana orang di sekelilingnya amat baik sekali. Mereka sentiasa menyokong. Mereka juga mempercayai kata-kata Richard. Walaupun Richard amat payah menghargai mereka.
            Telefon bimbit Richard nyaring berdering. Dia mengangkat telefon. Panggilan dari ibu pejabat polis. Jantung Richard berdegup kencang. Dia cuba menjawab panggilan dengan tenang. Perbualan telefon itu agak pendek.
            “Polis sudah menemui Andy.”Richard memberitahu Puan Rosie dalam lafaz yang tidak lancar.
            Richard memandang ibunya, menangis dalam kegembiraan. Dia turut merasa ada butir-butir hangat mengalir dari kelopak matanya.
Richard memandang ibunya lagi. Kali ini seakan dia tidak percaya tindakan ibunya itu. Dia melihat ibu mengangkat tangan. Seperti selalu yang dilihatnya. Mungkin rakan-rakan Islamnya.
            “Alhamdulillah, syukur padaMu Tuhan.”Mak Cik Rosie terus memuji Allah lalu bersujud. Richard hanya memerhati tindakan ibunya itu. Entah mengapa dia terasa ingin sekali bersujud. Untuk menzahirkan kesyukuran barangkali.
            “Ibu sudah memeluk Islam?”tanya Richard seolah-olah tidak percaya. Anak beranak itu berpeluk dalam tangisan kegembiraan. Richard percaya itulah sinar yang dinanti-nantikannya sebelum ini yang dahulu merupakan satu persoalan. Inilah situasi yang paling dinanti-nantikan, hatinya bergetar, bersuara. 
           
           
.
           
           
           
           
           
           
           
           

5 comments:

piah asra said...

just an opinion. menarik. tapi macam kabur sikit ending dia. apa jadi kat pak cik misai hitam? macam mana keadaan andy? tpi, overall, ok. cubaan yg bagus. bolehlah tulis lagi. hehe.

am_93 said...

nice..tp mcm ad sumthink yg xkena..=P
"Andy tidak rasa dia perlu memberitahu perkara yang sebenarnya. Lebih baik dirahsiakan sahaja perkara itu. Apabila Andy diketemui dia akan memberitahu perkara yang sebenarnya berlaku terhadap Andy kepada isterinya."
Andy yg 1st tu,rasenye Richard spatotnye..kan?? =)

Outbound di malang said...

Nice blog :)
salam kenal sobat :)
di tunggu kunjungan balik.nya ya !terimakasih ...

Ho Biku Ho Bimu said...

Terima kasih daun keladi, segala komentar amat saya hargai. Terima kasih Safiah dan Akmal kerana memberi masa memcaca cerpen tidak seberapa ini. IsA akan saya baiki kelemahan ini dari masa ke masa dalam karya yang seterusnya pula.

Ho Biku Ho Bimu said...

*Membaca