Penerima Surat

Saturday, February 12, 2011

Bukan Warisan

                


         Faris sedang menonton televisyen di ruang tamu tatkala ayah pulang dari kenduri. Kehadiran ayah tidak disedarinya. Matanya tertancap pada skrin televisyen.
               
                “Wah, khusyuk menonton televisyen?”suara garau ayah memecah ruang tamu. Faris tersedar lalu tersenyum-senyum.
                “Tengok berita ni, ayah. Fasal konflik di Mesir yang sedang hangat ni.” ujar Faris memberitahu ayah.
                “Itulah akibatnya kalau pemimpin yang tamak. Mengutamakan kekayaan harta dunia.” ayah mula berhujah. Faris mula tertarik. Dia sememangnya minat dalam ilmu pentadbiran.
               
              “Pemimpin sekarang ramai yang tidak adil. Mereka lupa, bahawa merekalah pemimpin yang memimpin rakyat. Jika pemimpin korupsi rakyat apatah lagi.”Faris menambah.
               
             “Semua yang berlaku ini, bukan secara sia-sia. Peristiwa sebegini akan menjadi lipatan sejarah yang akan diingati rakyat dari satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Terutamanya yang sering ditindas. Seperti golongan miskin dan bawahan.” Ayah cuba menghurai topik perbualan. Tetapi air muka ayah mula berubah. Seperti kekesalan dizahirkan pada wajahnya.
               
           “Seperti yang atuk lakukan dahulu. Atuk dipenjara kerana disabit kesalahan rasuah.” Faris terlanjur kata. Dia tahu datuknya pernah dijatuhkan hukuman penjara kerana mahkamah menetapkan datuk terlibat menerima rasuah.

 Sebagai seorang pegurus projek binaan, memang datuk sering dikelilingi pelbagai bentuk rasuah supaya memberikan tender projek kepada orang yang tamak dan penipu. Faris pernah dengar dari ibunya mengatakan bahawa datuk telah diisytiharkan muflis. Datuk dipercayai gagal melangsaikan hutang bank.

Kata ibu lagi, keluarga ayah dirundung nasib malang apabila ayah gagal mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke universiti. Hal ini semua berkait rapat dengan kesalahan yang telah datuk lakukan. Kehidupan ayah adik beradik pula bertambah payah dan susah. Apatah lagi datuk seorang muflis. Tidak berharta lagi.

Ayah cuba menahan sebak. Tetapi memandangkan perkara itu sudah lama berlaku, ada baiknya dia letakkan jauh-jauh daripada perasaannya.

“Ya, memang atuk kau bersalah. Tetapi kita sebagai generasi seterusnya perlu menjadikan itu semua sebagai sempadan dan pengajaran.”ujar ayah memberi nasihat kepada Faris yang tidak lama lagi akan menyambung pelajaran ke Jepun.

“Saya akan pastikan peristiwa ini tidak akan berulang lagi dalam keluarga kita, ayah.”

“Jadikankanlah Rasulullah sebagi contoh teladan. Pernahkah Rasulullah mengabaikan keluarganya kerana harta?”ayah sengaja menguji fikiran Faris.

“Kedua-duanya tidak sama sekali. Rasulullah tidak pernah mengabaikan keluarganya. Rasulullah tidak pernah mengejar harta. Bukankah Fatimah dan Ali contohnya. Mereka bahagia walau tidak berharta.”

Ayah tersenyum puas mendengar jawapan Faris.

Tatkala mereka rancak berhujah, satu berita gempar terpamer di kaca televisyen. Presiden Mesir, Husni Mubarak akhirnya berundur daripada jawatannya. Faris dan ayah berpuas hati.


No comments: