Penerima Surat

Tuesday, February 15, 2011

Menyemai Benih Cinta Maulidurrasul 1432

Di Sinilah Kita Menyemai Benih Cinta



Assalamulaikum. Bismillahirrahmanirrahim.
            
       Hari ini tanggal 12 Rabiul awal 1432. Suatu ketika dahulu di Makah al mukarramah pada tahun gajah, lahirlah Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. Penghulu segala nabi.

Kehadiran Rasulullah telah dijanjikan Allah s.w.t. di dalam kitab-kitab suci terdahulu. Tentulah kita sebagai umatnya merasa beruntung kerana menjadi umat Rasul ulul anbia. Sehinggakan taat Rasulullah wafat, Rasulullah masih menyebut ummati, ummati, ummati. Inilah pengorbanan yang tiada tolok bandingnya.

Kehadiran Rasulullah juga melengkapkan cinta kepada Allah. Cinta yang membawa ke syurga.

Di dalam sebuah hadis maksudnya;

Diriwayatkan oleh Imam al-Bughawi, daripada Thauban mawla Rasulullah s.a.w. Beliau amat mencintai Rasulullah dan kurang sabar dalam hal ini. Pada suatu hari beliau bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan yang berlainan. Maka Nabi s.a.w bertanya kepada beliau:

“Apa yang mengubah keadaanmu sebegini wahai Thauban?” Jawab beliau: “ Wahai Rasulullah, aku tidak mempunyai sebarang penyakit. Hanya hatiku amat kerinduan terhadapmu apabila tidak dapat melihat dirimu. Kemudian aku terkenangkan hari akhirat. Maka aku khuatir tidak dapat lagi melihat dirimu kerana engkau akan diangkat bersama para Nabi. Sekiranya aku dapat memasuki syurga sudah tentu kedudukanku lebih rendah. Sekiranya aku tidak dapat memasuki syurga, sudah tentu aku tidak akan melihatmu lagi.”

Maka turunlah ayat 69 Surah An Nisa, terjemahannya:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan(ditempatkan di syurga) bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah  kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan( kepada orang-orang yang taat).”

Maka, bukankah hadir Rasulullah melengkapkan cinta kita kepada Allah s.w.t. Mungkin kita alpa bahawa Rasulullah perlu dicintai dirindui sebelum kita jatuhkan cinta kita kepada orang lain.

Maka eloklah kita sehari-harian mencintai Rasulullah. Jadi jika sebelum ini kita lupa eloklah hari Maulidur Rasul ini kita semaikan benih cinta kepada Rasulullah dengan mendekati kisah hidupnya dan amalkan sunnahnya yang termampu.

Marilah kita sama-sama berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.



Sedikit pesan: Mula hari ini lebih baik kita berbincang tentang peribadi Rasulullah di Facebook. Penuhkan notification kita dengan perkara bermanfaat. Bukannya bincang kosong semata-mata. Boleh tambah ilmu dan menjadikan peribadi Rasulullah sebagi contoh teladan.

Sekian, yang baik datang daripada Allah, yang buruk datang dari diri saya.

Wassalam.

No comments: