Penerima Surat

Tuesday, March 22, 2011

Cerita yang Belum Berkesudahan....

Assalamualaikum.

Saya sebenar teringin sangat nak masuk satu pertandingan menulis cerpen. Tetapi apakan daya tak ada masa nak buat. Tarikh tutup pun semakin hampir. Banyak lagi kerja yang perlu saya selesaikan dalam masa terdekat ni selain menulis cerpen. Peperiksaan akhir semester juga semakin hampir.


Jadi tak dapat nak hantar, saya poskan cerpen saya ni di entri ni je lah. Harap sesiapa yang baca jangan kecewa kerana saya tak sempat selesaikan cerpen ni. Secara tak langsung cerpen ni dibina secara tergantung dan menimbulkan persoalan....harap sudi membacanya. 










 Padaku Kau Seorang Srikandi 

Air di dalam botol yang disalurkan ke tubuh Nur Aisyah menitis satu persatu. Seorang pemuda hanya memerhati tubuh yang terbaring di atas katil itu dengan rasa sayu. Kadangkala lelaki bernama Ali Amri itu berasa sedih bercampur kagum. Kekaguman yang hadir tatkala melihat Aisyah begitu tabah mengharungi ujian. Ali perasan rakan seperjuangannya itu tidak pernah menyatakan kehampaan menerima ujian Allah yang sebegitu berat.
            
              “Saya disahkan menghidap kanser.”ujar Nur Aisyah tanpa menunjukkan reaksi duka.
“Pada tahap empat begini, peluang untuk sembuh sepenuhnya amatlah tipis. Tetapi saya optimis. Allah akan beri saya kesempatan untuk bertaubat dan membuat kebaikan.”Aisyah penuh akur menerima takdir Allah. Ali hampir-hampir menghamburkan air matanya ketika mendengar kata-kata Aisyah. Dia cuba untuk menahan dahulu tangisnya.
            
             Ketika itu Ali melihat bulu kening Aisyah sudah habis gugur. Namun muka yang pucat lesi itu sentiasa tersenyum. Cahaya yang terpancar pada wajahnya hadir dari hati yang tulus suci. Pada masa itu juga Ali melihat kaki Aisyah membengkak di bahagian lutut kiri yang ditutupi dengan kain. Memang Ali sudah maklum Aisyah menghidapi kanser tulang. Tetapi dia tidak menjangka keadaannya seteruk itu.
            Ali sudah tidak dapat tertahan lagi tangisnya. Sebaik menyeluruhi susuk tubuh Aisyah yang semakin lesu, perasaaan simpati hadir lalu memaksanya menumpahkan air mata di hadapan seorang wanita. Wanita yang tabah.
            “Terima kasih Ali. Awak sudi datang dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu. Semata-mata ingin menziarahi saya. Dan pastikan air mata yang awak bazirkan itu bukan kerana saya. Biarlah tangisan itu berpunca kerana Allah.” Aisyah sentiasa kelihatan tenang. Bahkan lebih tenang dari dahulu. Mungkin dosa-dosanya telah diampunkan Allah yang menganugerahkan penyakit kepada hambaNya sebagai kafarah.

Ali tersipu-sipu mendengar kata-kata Aisyah. Bagaimana lelaki yang selalu dilabel kuat dan gagah akhirnya menangis di hadapan wanita yang dikatakan lemah.
            
             Ali terpaksa menipu bahawa dia mempunyai masa senggang ketika itu. Jika diikutkan jadual waktu kuliahnya penuh pada minggu tersebut. Tetapi semangat persaudaraan Islam yang kuat telah mendorong dirinya untuk menziarahi Aisyah. Memang sejak dari bangku sekolah lagi Aisyah dan Ali bersama-sama terlibat dalam aktiviti dakwah dan kerohanian termasuklah program usrah.
            
            Sebagai naqib dan naqibah mereka banyak berbincang mengenai isu-isu dakwah. Ikatan ukhuwah antara sahabat-sahabat sangat menebal  dalam diri mereka. Sehinggakan sikap itu terbawa-bawa ke alam universiti. Walaupun sibuk dengan tugasan yang diberi pensyarah, Ali masih mengikuti usrah bersama-sama rakan di universiti. Aisyah dan Ali bukanlah dalam satu pengajian yang sama dan institut pengajian yang sama. Ali di Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Aisyah di Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia jurusan seni bina.
            
           Namun kedua-duanya masih memegang satu prinsip yang sama. Mereka sama-sama mempraktikkan medium dakwah yang diasaskan Rasulullah s.a.w. Salah satunya dengan berjemaah dalam melakukan kebaikan atau menyertai usrah. Kerapkali di sekolah dahulu, ustaz-ustaz yang membimbing usrah mengingatkan tentang kepentingan aqidah yang harus dijaga dan dipelihara. Aqidah dari persepsi dakwah bermula dengan menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.
            
          Juga, semangat persaudaraan telah menyebabkan Ali merelakan dirinya menggalas tanggungjawab yang berat. Atas rasa cinta terhadap saudara sesama Islam kemudiannya berteraskan cinta kepada Allah dan RasulNya, Ali Amri dengan mudah menerima tugas tersebut. Tugas yang mencabar ketabahannya. Ceritanya bermula di sini.
            
          “Ayah, jangan risau sangat. Kalau diizinkan Allah adalah rezekinya. Empat puluh ribu ringgit bukan kecil nilainya. Jangan biar pelajaran adik-adik terganggu kerana duit tu.”
            
             Ali terdengar perbincangan Aisyah dan ayahnya melalui telefon.
            
            “Kenapa Aisyah?”soal Ali, ingin tahu.
            
        “Tak ada apa-apa.”jawab Aisyah ringkas ingin menyembunyikan perkara sebenar. Kemudian memalingkan muka dari pandangan Ali.
             
          “Mustahak gayanya. Kali ini benar-benar saya ingin bantu awak. Selama ini pun awak cuba menyembunyikan penyakit awak dari pengetahuan saya sehinggalah saya paksa awak. Jadi hari ini saya sekali lagi paksa awak supaya menerima bantuan saya. Insya Allah saya akan bantu seadanya.”kali ini Ali menggunakan paksaan.
            
          Aisyah teragak-agak hendak memberitahu. Dia sebolehnya tidak mahu membebankan orang lain dengan penyakit yang dihidapinya. Cukuplah dia yang merasa sakit. Aisyah percaya Allah akan memberi setiap insan ujian dengan kadar kemampuan masing-masing. Setiap hamba Allah menerima ujian yang berbeza.
            
            “Sebaiknya awak kongsi masalah awak dengan saya. Kita umpama satu keluarga walau kita bukan mahram. Kita saudara Islam.” Ali menyakinkan Aisyah.
            
             “Baiklah kalau awak benar-benar ikhlas kerana Allah. Saya …Saya akan menjalani pembedahan pada pertengahan tahun ini.” Aisyah tidak berupaya memandang Ali. Dia segan dengan Ali. Dia tahu Ali benar-benar ingin membantu. Dia memang mengenali Ali. Suka memaksa orang lain menerima bantuannya.
            
            “Apa masalahnya?”
           
           “Kos pembedahan dalam lingkungan empat puluh ribu ringgit.”Aisyah terpaksa berterus terang.
            
            “Jadi awak ada wang tersebut? Err…Tidak mengapa saya faham. Saya cuba bantu.”Ali tahu Aisyah mungkin menghadapi kesukaran menyediakan wang tersebut. Keluarga Aisyah bukanlah orang berada. Dia seperti orang kebanyakan yang lain. Seperti dirinya. Wang empat puluh ribu ringgit itu memerlukan masa untuk disediakan.
           
            “Saya tak memaksa awak. Awak jangan risau sangat. Awak sudah di tahun akhir. Mesti sibuk selalu. Ah, jangan khuatir. Insya Allah ada jalannya.”Aisyah kini memandang Ali dengan senyuman yang mungkin diukir supaya Ali tidak merasai perit ujian yang dilandanya.
            
             Ali sememangnya iri hati dengan kecekalan insan bernama Nur Aisyah ini. Penyakit yang dihidapinya bukan penghalang untuk muslimah ini mendekati Allah. Tudung masih melekap di kepalanya walaupun Ali dapat mengagak rambut Aisyah pasti kesemuanya sudah gugur.
            
            “Mungkin ini ketentuan Allah. Saya hadir dalam waktu begini supaya saya dapat membantu awak seadanya.”
           
             “Baiklah, tetapi jangan terlalu membebankan diri awak.”ujar Aisyah memberi nasihat.
            
           Ali bermula dengan langkah pertama. Dia menghebahkan khabar tentang Aisyah yang bertarung dengan kanser kepada rakan-rakan yang masih tidak mengetahui perkara tersebut. Rakan-rakan usrah di universiti juga dimaklumkan. Dia memungut derma untuk Aisyah. Ahli-ahli usrah terutamanya. Rakan-rakan sekolah dahulu turut serta menderma. Duit yang dikutip itu terus dimasukkan kedalam akaun bank Aisyah.
            
          Di dalam dewan kuliah selepas syarahan, Ali terus memberitahu rakan-rakan sepengajian tentang Aisyah. Ali tidak berasa segan. Biarlah semua orang tahu akan kepayahan yang Aisyah hadapi. Ketabahan Aisyah yang terpaksa menangguhkan pengajian di UTM hampir setahun. Wanita yang tidak sepatutnya dilabel lemah sebaliknya tabah. Seorang muslimah yang sentiasa manis dalam senyuman walau senyuman itu sendiri mengukir seribu perit getir yang dilalui pemiliknya.
            
            Ada juga suara sumbang yang melekeh usaha Ali. Lebih kepada mencaci.
            
           “Apa kau ingat aku tak tahu. Kau pungut duit untuk apa. Entah-entah masuk poket sendiri.” Ziana. Pelajar sekuliah yang sering memperli tindakan Ali. Ziana yang mewarnakan rambut keperangan itu bukan main lancang mulutnya. Jika Ali menyampaikan tazkirah ringkas di dewan kuliah pasti Ziana yang mengetuai serangan cacian.
            
         “Diam semua. Ustaz celup nak bagi ceramah. Haha…” Pernah Ziana memalukan Ali dihadapan rakan-rakan. Jika kata-kata biadap itu keluar pasti berderai satu dewan kuliah ketawakan Ali. Ali tidak pernah berasa malu terhadap diri sendiri. Bahkan dia rasa beruntung kerana mendapat satu didikan atau tarbiah secara praktikal dalam situasi tersebut yang memantapkan kerja dakwahnya.

 Namun dia berasa segan dengan rakan-rakan yang bukan Islam. Pasti mereka keliru mengapa orang Islam berkelakuan seperti Ziana.
            
        Caci maki dan sindiran sudah menjadi asam garam dalam kehidupan Ali di kampus. Rakan-rakan dari Akademi Pengajian Islam sering menasihatinya supaya bersabar dengan ujian yang dihadapi. Jika ujian yang kita terima dibandingkan pada zaman Rasulullah, pastilah ujian yang kita terima terlalu ringan dan ringkas.
            
            Ali masih ingat naqib usrahnya ada memberitahu tentang ujian yang Rasulullah dan para sahabat terima ketika berdakwah. Bukankah bumi Taif menjadi saksi bagaimana seorang Rasul kekasih Allah dihujani dengan batu oleh penduduk yang masih tebal kejahilannya. Darah yang mengalir memenuhi sepatu yang Rasulullah guna. Tidak sangka betapa hebat ujian yang Rasulullah terima. Namun kita sungguh beruntung kerana dikurniakan Nabi yang sangat sayangkan umatnya. Jika tidak sudah tentu Taif dibinasakan sekelip mata.

 Ali Amri sering mengalirkan butir-butir mutiara dari kelopak matanya mengingat pengorbanan Rasulullah. Ketika tahajud menghiasi diniharinya.
            
         “Ya, Allah apalah perjuangan yang aku usahakan untukMu dan Rasulullah jika aku mengalah dengan ujian ringkas sebegini.
            
           Ya Allah kuatkan ketabahanku, bimbing daku pada jalanMu.”Ali terus berdoa dan berdoa setiap muhasabah yang dilakukan. Dinihari yang hening menjadi teman ketika tahajud.
            
            Lingkungan Budi masih lengang ketika pukul 7 pagi di Universiti Malaya. Matahari masih baru muncul. Hari minggu sebegitu digunakan Ali untuk bersenam setelah solat Subuh. Dia berlari anak melintasi bangunan Kolej Kediaman ke-12 berhadapan Institut Pengajian Siswazah langsung ke Akademik Pengajian Islam.
            
          Ada jalan menghala ke Bangsar di situ. Ali perasan ada sebuah kereta Honda City tersadai di tepian jalan. Dia seperti pernah mengecam  kereta itu. Rasa ingin tahu memaksa Ali menghampiri kereta tersebut. Kawasan di situ masih lengang. Cuaca masih nyaman.
            
            Dia melihat ke dalam kereta, dan dia terkejut. Ada orang di dalam kereta itu. Ali yakin dua orang. Lelaki dan wanita. Mereka tidur nyenyak di dalam kereta.
           
           “Astaghfirullah.”Ali segera beristighfar. Tetapi dia berfikir seharusnya dia tidak boleh buruk sangka. Mungkin pasangan itu sudah ada ikatan yang sah. Mungkin mereka keletihan lalu tidur di dalam kereta.
            
            Ali memandang lagi ke dalam kereta. Dia seakan mengenali wanita di dalam kereta itu. Dia yakin wanita itu seorang gadis awal 20-an. Lelaki itu pula lebih kurang sebayanya. Setelah mengamati wanita itu ialah Ziana. Tidak bukan lagi. Ali memang perasan Ziana selalu memandu kereta tersebut menghadiri kuliah.
            Tetapi setahu Ali Ziana belum berkahwin dengan mana-mana lelaki. Dengan siapakah dia di dalam kereta itu.
           
            “Ish, apa yang perlu buat ni?”soal Ali kepada dirinya sendiri.
            
            “Mungkin lelaki itu abang atau adiknya. Kalau bukan? Ah, tak mengapa aku akan kejutkan mereka juga.”Ali berteka-teki.
            
           Dia mengetuk pintu cermin kereta. Pemuda di tempat duduk pemandu tersedar. Lalu mengejutkan Ziana di tempat duduk sebelahnya. Ziana terjaga tetapi masih mamai. Pemuda itu kelihatan tergesa-gesa. Dia menghidupkan enjin kereta lalu memecut laju meninggalkan Ali di situ tanpa menghiraukannya. Kereta itu hilang dari pandangan Ali tidak lama kemudian.
            
         “Orang dah kejutkan pun kira untung. Kalau biar tadi mesti kena cekup dengan polis peronda.”leter Ali seorang diri. Entah mengapa Ali sangsi dengan status hubungan Ziana dengan pemuda tadi. Adakah mereka mahram?
            
            Ali melupakan sebentar perkara tersebut. Fikirannya kini melayang pula kepada Aishah. Entah mengapa Aisyah selalu hadir dalam benaknya. Mungkin kini tumpuannya lebih kepada Aisyah. Juga kini dia sedang berusaha membantu Aishah. Setakat ini dia sudah mengumpul hampir seribu ringgit. Masih jauh dari sasarannya iaitu lima ribu ringgit.
            
             Ali teringat semasa zaman persekolahan, Aisyah selalu mengulang satu hadis. Daripada Anas r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaranKu! Aku tidak akan mengeluarkan dari dunia (mematikan) seseorang - yang Aku hendak mengampunkan dosanya sehingga Aku sempurnakan balasan tiap-tiap kesalahan yang ditanggungnya, dengan ditimpakan penyakit pada badannya, dan kesempitan pada rezekinya."
            
           Tidak Ali sangka kini Aisyah sendiri yang mengalami mehnah dalam hadis itu. Tetapi Ali sedar ujian-ujian itu merupakan satu petunjuk, dan kifarah yang datang dari Allah. Ali dapat rasakan tujuan sebenar Aisyah memberitahu hadis tersebut. Aisyah ingin hadirkan kesedaran betapa besarnya kekuasaan Allah. Hidup dan mati dalam kekuasaanNya.
            
              Aisyah seorang gadis yang ayu. Lembut air mukanya, sejernih hatinya. Bila berbicara kepada kaum Adam terserlah kesopanannya dihiasi dengan batas-batas syariat. Bila berbicara diselit dengan zikrullah agar tidak terpesong kepada perkara lagha. Terhad kata-katanya.
            
           Khayalan Ali terputus. Disentak panggilan telefon dari Aisyah.

           “Aisyah memang suka mengangguku. Fikiran dan realiti.”desis Ali seorang diri lalu beristighfar sebelum menjawab panggilan telefon.
            
            Ali memberi salam. Tetapi tidak dijawab Aisyah.

           “Ali, saya ada sesuatu nak dibincangkan.” Aisyah mendahului perbualan.

 “Saya rasa tidak perlulah awak tolong saya.”nada suara Aisyah perlahan tetapi masih jelas kedengaran. Ali hanya mendengar bicara Aisyah seterusnya.

 “Saya tidak mahu bebankan awak. Saya tahu awak mengutip derma untuk saya. Saya rasa idea itu menyusahkan awak dan apa pula orang lain kata.”mauduk sebenar perbualan telefon itu dijelaskan Aisyah dengan berhati-hati.

“ Tetapi Aisyah saya cuba dengan ikhlas untuk bantu awak.”Ali terpaksa memotong.

“Bagaimana reaksi orang ramai. Takut jadi fitnah pula.” Aisyah menambah.

“Awak jangan risau. Mereka semua simpati dengan awak. Insya Allah, sedikit sebanyak saya akan bantu seadanya.”Ali menamatkan perbualan sebelum Aisyah menyuruhnya supaya menimbangkan usaha megutip derma kembali.

Ali kemudiannya merasa kata-kata Aisyah itu ada benarnya. Islam pun melarang umatnya meminta-minta. Bukankah lebih baik berusaha disamping bertawakal kepada Allah adalah jalan yang terbaik.


Sekian, terima kasih.

           
           
           

           
           







No comments: